Selamat Tahun Baru 2020...Ulangtahun Pertama Blog Cikgu dan Inovasi


Selamat Tahun Baru 2020

Tahun baru 2020 menjelma. Alhamdulillah diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk bertemu dengan tahun “Wawasan 2020” yang selama ini dinanti-nantikan. Masih saya ingat lagi, sejak zaman sekolah rendah selalu membuat kira-kira berapa umur saya dan rakan sebaya pada tahun 2020. Banyak papan tanda dan aktiviti sekolah pada waktu itu mempromosi Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020. Dalam kepala, masih lagi menghafal bait-bait lirik lagu Wawasan 2020, dendangan penyanyi Roy. Bagaikan dejavu, Roy muncul lagi dalam hidup kita dalam Gegar Vaganza. Diharap, abang Roy mendapat pengiktirafan sewajarnya pada tahun 2020 kerana jasanya mempromosi tahun ini dengan suaranya yang lunak patriotik sehingga membangkitkan motivasi kami generasi kanak-kanak era 90-an menuju wawasan ini.

Bangunan ikonik RTM ini sangat nostalgia dalam hidup saya. 
Di sinilah saya menimba pengalaman praktikal di Nasional FM selama 3 bulan.

Alhamdulillah, pada tahun ini genaplah umur saya 36 tahun. Dikurniakan rezeki 4 orang anak yang comel-comel belaka, isteri yang kuat mendorong, mak abah mak mertua yang sentiasa mendoakan kehidupan, saudara mara teman-teman, adik beradik dan jiran tetangga yang banyak berjasa. Inilah wawasan yang terbaik berlaku dalam hidup saya. Semoga kita dapat sama-sama menuju wawasan akhirat iaitu syurga yang kekal abadi.

1 Januari 2020, genaplah usia blog cikgudaninovasi.blogspot.com menjelajah alam maya. Harapan saya agar blog ini dapat menjadi satu medan perkongsian ilmu dan dapat mencetus kalau tidak banyak sedikit idea kepada para pengunjung bagi menjalani kehidupan yang lebih baik berbekalkan ilmu. Ia juga menjadi medan latihan menulis bagi saya. Sebelum ini saya banyak menghasilkan karya kreatif seperti koleksi puisi dan cerpen atau certot tetapi semuanya untuk simpanan peribadi sahaja. Ada lah sekali dua karya saya menjengah ke Majalah Anis dan memenangi pertandingan puisi peringkat Kolej Kediaman pada zaman universiti dulu. Yang selebihnya menjadi simpanan peribadi dan beberapa kali dideklamasikan dalam majlis-majlis dalaman di peringkat sekolah untuk hiburan dan tatapan warga kerja dan pelajar. Cuma sebagai hobi.

Tetapi tahun 2020 ini, saya berazam untuk lebih aktif menyebarkan manfaat di laman blog ini di samping berkongsi sedikit ilmu Inovasi yang ada di laman sosial facebook saya. Tahun ini banyak saya kongsikan tentang tutorial alat pembelajaran Microsoft dan aktiviti pengajaran PAK 21 saya di laman facebook sehingga kurang berkesempatan mengemaskini laman blog ini. Berkongsi di laman sosial ada sedikit kekangan untuk berceloteh panjang kerana laman sosial itu sendiri bersifat newsfeed  iaitu umpama berita yang berebut-berebut untuk dipaparkan di muka hadapan. Ia juga bersifat popular seperti berapa banyak sukaan (like), banyak komen dan perkongsian (sharing) yang ingin dicapai.

Namun, blog bersifat lebih santai tanpa tekanan bersifat popular seperti itu. Menulis di blog juga menjadi satu terapi minda yang sangat sesuai bagi melepaskan tekanan hidup seharian yang serba mencabar.  Ia umpama terapi menulis diari yang selalu budak remaja lakukan yang mampu menenangkan diri kala menghadapi masalah hidup. Tetapi blog haruslah mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri dan juga orang lain. Kalau tak ramai yang dapat manfaatnya, sedikit pun sudah dikira baik. Bak kata ilmuwan Islam, hidup biarlah bermanfaat kepada orang lain. Kalau tidak dapat menjadi orang yang mengajar, jadilah orang yang belajar.

InsyaAllah, tahun 2020 ini saya akan kongsikan lebih banyak aktiviti inovasi yang dapat memanfaatkan warga pendidik semua. Salah seorang yang menjadi insipirasi awal saya untuk melibatkan diri dalam penulisan blog ialah tok guru saya ketika di Universiti Malaya dulu iaitu Dr Mohamad Kamil bin Ab. Majid. Beliaulah yang mula-mula meminta saya untuk menciptakan satu blog untuk beliau menyebarkan ilmu dan pengalamannya. Ketika itu saya baru tamat pengajian dan bertugas sebagai Pembantu Penyelidik (RA) untuk projek kajian yang diketuai beliau. Ketika ini beliau begitu aktif berkongsi pengalaman dan ilmu beliau di medan facebook walaupun sudah berusia 70-an. Di bawah bimbingan beliau juga, saya berpeluang menimba pengalaman cukup berharga menyusun dan menulis buku bertajuk Hasan Al-Banna, Pengasas Ikhwan Muslimin bersama Sahibus Samahah Dato' Seri  Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.


Hasil penulisan saya atas bimbingan Dr. Mohamad Kamil bin Hj. Ab. Majid
(mantan Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, 
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Seterusnya, Cikgu Hailmi yang memang terkenal dengan blog pendidikannya sejak dahulu. Perkongsiannya tentang pedagogi Pembelajaran Abad 21 pada ketika itu agak ‘rare’ kerana tidak ramai pendidik yang  berkongsi dan berpengetahuan luas dalam pedagogi PAK 21. Pada ketika ini, Cikgu Hailmi telah berada pada kelasnya yang tersendiri di mana kejayaan demi kejayaan yang dicapainya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menjadikan beliau sebagai salah seorang aset berharga dan pakar rujuk dalam dunia pendidikan di Malaysia. Pernah berjumpa dengannya sekali ketika menyertai pertandingan Inovasi anjuran Fakulti Pendidikan UIAM pada tahun 2017 melihatkan betapa beliau begitu merendah diri dan sangat ramah. Mereka ini menjadi inspirasi awal kepada saya untuk mencipta blog ini. Saya juga amat mengalu-alukan komen-komen daripada rakan pengunjung yang tentu sekali begitu berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang masing-masing.
Perkongsian Cikgu Hailmi yang selalu saya jadikan inspirasi dalam kerjaya

Selamat tahun baru 2020, semoga Wawasan 2020 menjadikan kita insan yang lebih baik lagi dan bermanfaat kepada agama, bangsa, negara dan seluruh dunia.

Comments