Analisis SWOT kepada pelajar pada awal tahun


Analisis SWOT bagi meningkatkan prestasi pelajar dalam PT3

Tarikh   : 9 Januari 2019
Kelas     : Tingkatan 3 Khazin

Hari ini merupakan hari pertama buat tahun 2020 saya masuk mengajar kelas ini. Tahun ini masih mengajar kelas yang sama tetapi sebahagian pelajarnya telah berubah kerana sedikit rombakan telah dibuat untuk membawa sedikit angin perubahan bagi pelajar yang bakal menduduki PT3 pada tahun ini. Pelajar nampak positif juga dengan perubahan tersebut.

Oleh kerana ini kelas permulaan, saya mengambil kesempatan untuk mendedahkan kepada pelajar tentang kepentingan mengenal pasti kelemahan, kekuatan serta halangan-halangan yang bakal dihadapi untuk mencapai sesuatu matlamat dan kejayaan. Saya pun memperkenalkan kepada mereka tentang model SWOT. Model ini sangat mudah difahami dan juga berkesan bagi pelajar menetapkan matlamat dan memulakan gerak kerja. Pengenalan kepada model ini tidak lah saya lakukan secara terlalu mendalam kerana apa yang lebih penting saya mahukan mereka memahami tentang peri pentingnya memiliki matlamat dalam hidup dan mengenal potensi diri untuk mencapai cita-cita.

Dalam kelas ini juga, saya ingin menerapkan aspek kerja berkumpulan dan dalam masa yang sama pelajar dapat menjalankan pembelajaran kendiri dengan lebih sistematik dan dapat bersedia lebih awal lagi. Bagi pelajar PT3, bekerja secara berkumpulan sangat penting supaya mereka dapat sama-sama mencapai kecemerlangan dalam membantu sekolah meningkatkan kecemerlangan. Bekerja secara kolektif juga adalah salah satu aspek yang dititikberatkan dalam PAK-21.

Peringkat Pertama: Mengenal pasti masalah sebenar

Aktiviti ini cuma mengambil setengah jam sahaja. Pada peringkat permulaan, guru memberikan taklimat tentang sasarannya kepada pelajar bagi subjek. Saya menetapkan sasaran 90% markah dan ke atas dalam peperiksaan Semester 1 kepada setiap pelajar kelas ini. Beberapa orang pelajar memberikan alasan target tersebut sangat tinggi tetapi saya katakan kepada mereka ia bukanlah sesuatu yang mustahil dengan syarat kita kenal kelemahan dan kekuatan diri. Lalu, saya bekalkan kepada mereka ‘sticky notes’ untuk mereka tuliskan topik-topik yang mereka lemah dan tampalkan pada kertas mahjung di papan putih.

Pelajar-pelajar menampal ‘sticky notes’ mereka secara rawak. Setelah selesai, beberapa pelajar secara sukarela akan cuba membahagikan semua jawapan kawan-kawan mereka mengikut kategori. Seterusnya, sukarelawan tadi menyusun semula ‘sticky notes’ dalam beberapa kumpulan kategori dan menamakannya. Pelajar lain pula secara sukarela akan membuat analisis lanjut untuk mengira peratusan bagi setiap masalah. Dalam aktiviti ini, kita dapat menerapkan penggunaan ilmu dalam situasi sebenar. Real World Problem Solving juga merupakan di antaraperkara penting dalam PAK-21 sebagaimana yang dinyatakan dalam 21st Century Learning Design.


Dalam kelas ini, mereka dapat mengenal pasti kategori (kelemahan) sebenar dalam subjek Pendidikan Islam ialah antaranya jawi, hafazan, topik sirah, soalan susah, sikap malas dan sebagainya. Dan paling menarik, masalah sikap seperti malas antara yang mendapat rating tertinggi. Mudah lah saya rancang aktiviti seterusnya selepas ini setelah mengetahui. Sebelum ini hanya bersangka-sangka dan membuat telahan. Pelajar juga dapat melihat dengan jelas masalah sebenar mereka dan boleh merangka strategi yang tepat berdasarkan kelemahan diri sendiri.


Peringkat Kedua: Merancang Strategi

Setelah pelajar dapat melihat dengan jelas masalah sebenar mereka dalam subjek Pendidikan Islam ini, tibalah masa untuk membuat perancangan. Disebabkan kesuntukan masa, saya hanya meminta mereka membuat sasaran markah yang ingin diperolehi mereka sepanjang tahun ini. Saya meminta mereka melihat kembali markah yang mereka perolehi sejak dari Tingkatan Satu. (Jika tidak ingat, agak-agak). Sebelum aktiviti ini, pelajar-pelajar cuma menyatakan secara umum yang mereka inginkan A. Selepasnya, mereka lebih bersifat realistik dan sistematik dalam membina matlamat mereka. Mereka membina matlamat berdasarkan data sebenar dan keupayaan diri serta diimbangi dengan kelemahan yang sedang mereka hadapi
Pelajar secara sukarela mencadangkan tentang apakah kaedah terbaik untuk mereka melihat prestasi lalu mereka mencadangkan untuk membuat graf dan jadual. Setelah dibincangkan, mereka membuat keputusan untuk membuat perancangan dalam bentuk jadual kerana ia kelihatan lebih mudah dan jelas. Saya menerima pendapat mereka kerana apa yang lebih penting ialah saya mahu menerapkan sifat tanggungjawab dalam diri mereka memandangkan segala keputusan tentang proses kejayaan adalah daripada perancangan mereka sendiri. Sebelum ini, hanya guru yang membinakan perancangan untuk mereka, sekarang mereka sendiri yang membinanya  untuk diri mereka.

Rumusannya, aktiviti ini hanya sebahagian kecil daripada banyak lagi strategi yang boleh dibina untuk menghasilkan kecemerlangan pelajar. Saya lebih melihat kepada proses pembelajaran itu sendiri daripada hasil. Apabila proses yang dilalui pelajar benar-benar menguji kebolehan dan mampu menggali potensi pelajar sedalam-dalamnya, insyaAllah kejayaan yang datang nanti akan lebih dihargai dan disedari. Dalam aktiviti ini, saya mendedahkan kepada pelajar tentang pentingnya kolaborasi, penyelesaian dunia nyata dan pembelajaran kendiri yang sangat diperlukan dalam penerapan PAK-21 kepada pelajar pada masa kini. 


Comments