Pengajaran
daripada sebuah proses inovasi
Video Refleksi Kit Pembelajaran Haji dan Umrah Al-Mutawwif
Tidak
dinafikan, penghasilan Inovasi Kit Pembelajaran Haji dan Umrah Al-Mutawwif
seumpama batu loncatan dalam karier saya. Melalui proses penghasilannya, banyak
pengalaman dan pembelajaran baru yang dapat saya timba. Selain itu, pergaulan
saya bertambah luas melalui perkenalan dengan ramai inovator yang hebat-hebat
dari seluruh Malaysia.
Tahun
pertama saya mengajar di MRSM Tawau (2008) yang ketika itu baru dibuka
dan menerima pelajar tingkatan 1 dan 4 sahaja. Dengan kurangnya pengalaman dan
bukan dari latar belakang bidang pendidikan, pengalaman mengajar subjek
Pendidikan Islam Tingkatan 4 agak sedikit mencabar kerana silibus pembelajaran
mereka agak tinggi juga. Antaranya adalah bagi topik haji dan umrah. Topik
ini agak sukar dengan bermacam-macam istilah bahasa arab yang jarang didengari
pelajar dan proses haji itu sendiri bukanlah mengikut kronologi dan turutan.
Terdapat banyak pengecualian dan fleksibiliti yang tidak mudah untuk difahami terutamanya bagi
golongan pelajar sekolah.
Pada tahun
pertama ini, saya dan rakan sejawatan Ustaz Muhsi yang sama-sama baru tahun
pertama mengajar berganding bahu menganjurkan praktikal haji umrah di
persekitaran sekolah. Model Kaabah sangat ringkas kerana kami bangunkan dengan
besi dan kain hitam. Pelajar-pelajar lelaki pula hanya memakai cadar sebagai
‘ihram’. Pembelajaran seperti itu sangat
santai dan pelajar cepat faham. Tetapi ada sedikit kekangan masa dan
memerlukan ruang fizikal yang luas. Ia tidak boleh dilakukan selalu.
Jika dibuat terlalu awal, pelajar selalu lupa menjelang hari peperiksaan. Jika dibuat terlalu lewat pelajar kurang fokus dan berasa terbeban dengan komitmen pembelajaran mereka di saat akhir. Sehari sebelum SPM berlangsung bagi subjek Pendidikan Islam, masih ramai lagi pelajar berkerumun bertanyakan tentang beberapa perkara yang kurang jelas kefahaman mereka tentang hai dan umrah. Saya terfikirkan sesuatu, adakah kaedah praktikal haji skala besar yang pernah mereka lalui tidak cukup membuatkan mereka faham? Di situlah bermulanya idea untuk menghasilkan kit praktikal haji skala kecil yang boleh digunakan pada bila-bila masa.
Jika dibuat terlalu awal, pelajar selalu lupa menjelang hari peperiksaan. Jika dibuat terlalu lewat pelajar kurang fokus dan berasa terbeban dengan komitmen pembelajaran mereka di saat akhir. Sehari sebelum SPM berlangsung bagi subjek Pendidikan Islam, masih ramai lagi pelajar berkerumun bertanyakan tentang beberapa perkara yang kurang jelas kefahaman mereka tentang hai dan umrah. Saya terfikirkan sesuatu, adakah kaedah praktikal haji skala besar yang pernah mereka lalui tidak cukup membuatkan mereka faham? Di situlah bermulanya idea untuk menghasilkan kit praktikal haji skala kecil yang boleh digunakan pada bila-bila masa.
Langkah pertama pemula
kepada langkah seterusnya
Pada 2011,
saya berpindah ke MRSM Balik Pulau. Tetapi di sini, saya tidak mengajar pelajar
menengah atas (Tingkatan 4 dan 5). Saya mengajar tingkatan 1,2 dan 3. Walaupun
tidak lagi mengajar topik haji dan umrah, tetapi saya masih terkenang lagi
persoalan keberkesanan praktikal haji umrah untuk pembelajaran Pendidikan Islam
Tingkatan 4. Saya studi semula buku teks SPM dan buku berkaitan haji umrah tetapi tidak
memberikan komitmen penuh kerana tidak mengajar Tingkatan 4 dan 5. Sehingga
pada tahun 2014, saya terpandang satu iklan di portal MARANET (portal untuk
staf MARA) tentang penawaran geran untuk pembangunan produk Inovasi. Lalu, saya
ambil semula nota-nota contengan saya dan mula menulis proposal permohonan dan
perancangan produk inovasi kit pembelajaran haji dan umrah.
Tanpa
pengetahuan asas tentang ilmu Inovasi seperti Design Thinking dan
lain-lain, saya membuat perancangan produk inovasi ini hanya bersandarkan
kreativiti dan minat sahaja. Setelah beberapa bulan permohonan, saya dihubungi
oleh kakitangan Unit Inovasi dan Penyelidikan MARA, Allahyarhamah Puan Mazni
memaklumkan saya terpilih untuk temuduga geran SGPIM untuk membangunkan produk inovasi ini. Teruja dalam masa yang sama risau juga sebab ini adalah kali
pertama saya. Tiada tempat rujukan kerana rakan-rakan guru lain pun tiada yang
berpengalaman menghadapi temuduga seperti itu. Apabila kita menghadapi satu
tekanan, ia dapat menolak kita supaya lebih cepat berfikir dan berani
menghadapi cabaran baru.
Ketika
berita diterima, saya sedang makan-makan di Secret Recipe, Teluk Intan bersama isteri.
Dia juga kebetulan mengajar topik haji kepada pelajar-pelajarnya di Politeknik
Balik Pulau ketika itu. Lalu, timbul idea untuk saya bekerjasama dengannya bagi
menghasilkan kit pembelajaran ini. Melalui emel surat tawaran temuduga itu,
digalakkan bekerjasama dengan mana-mana organisasi untuk membangunkan produk inovasi. Maka termeterailah MOU kerjasama pembangunan produk inovasi antara
MRSM Balik Pulau dan Politeknik Balik Pulau secara tidak rasmi. Isteri
menghubungkan saya dengan seorang lagi pensyarah politeknik yang mahir selok
belok IT iaitu Mohd Affan Rosli. Selepas beberapa hari menyusun proposal, kami
membuat pembahagian tugas dengan saya bertindak sebagai ketua projek dan
membangunkan kit haji umrah bersama isteri, manakala Affan pula membangunkan
aplikasi nota android bagi kit tersebut.
Ahli kumpulan inovasi Kit pembelajaran Haji dan Umrah Al-Mutawwif
Fasa Baru Kehidupan Sebagai
Inovator
Dipendekkan
cerita saya berjaya dalam temuduga itu dan memperoleh geran SGPIM (Skim Geran Penyelidikan Inovasi MARA). Projek
tersebut perlu disiapkan dalam masa setahun sahaja. Kit pembelajaran ini
memerlukan lakaran, lukisan dan gambar yang banyak. Cabarannya ialah semua
itu perlu dihasilkan sendiri dan bersifat original kerana melibatkan harta
intelek. Saya pula tiada kemahiran dalam bidang grafik digital dan komputer.
Bermula pada hari itu, waktu kerja saya berlanjutan sehingga ke pukul 5.00
petang setiap hari. Sebagai guru, kami boleh mula pulang selepas pukul 1.20
petang jika tiada mesyuarat atau kelab persatuan. Sejak itu, kehidupan petang saya konsisten
diisi dengan aktiviti inovasi bermula dengan proses cuba-gagal.
Tidak
dinafikan, ramai orang berjaya dengan kaedah cuba-gagal ini tetapi ia terlalu
perit. Banyak motivasi yang diperlukan ketika cubaan-cubaan kita menemui
kegagalan. Tetapi ramai juga yang tidak bangkit semula selepas gagal. Semua
yang saya lalui untuk membangunkan inovasi pertama ini sebenarnya melalui jalan
yang sukar dan agak perit. Tetapi keperitan itu membawa saya akhirnya
mengenali proses inovasi yang sepatutnya perlu bermula dengan ilmu. Dan
ilmu asas inovasi ialah Design Thinking yang terbukti berjaya di seluruh
dunia. Ketika ini saya berpegang kepada model Design Thinking dari D.
School / IDEO. Terima kasih kepada pihak Unit Penyelidikan dan Inovasi MARA dan
Coach Megat Zainurulanuar kerana memperkenalkan saya dengan ilmu yang sangat
bermanfaat ini. Ilmu inilah yang sepatutnya para inovator kenali terlebih dahulu sebelum membangunkan satu-satu projek inovasi.
Berjumpa dengan pakar
Setelah
secara rasmi berjaya memperoleh geran, langkah pertama yang dilakukan ialah
menghubungi pakar. Disebabkan tiada pengalaman, saya sangat menghargai bantuan
yang diberikan oleh pihak UPM melalui Profesor Madya Dr. Shamsilah dan
pasukannya yang membantu saya pada peringkat paling awal dengan berkongsi
pengalaman mereka menghasikan inovasi kit pembelajaran berbentuk board game.
Beliau merupakan ketua panel geran SGPIM yang menawarkan bantuan kerjasama
jika saya memerlukan. Sesi pertemuan di UPM itu lah yang melorongkan cahaya
kepada saya tentang bagaimana saya perlu bergerak dalam masa setahun untuk
menyiapkan projek tersebut. Mereka sangat mengalu-alukan kehadiran saya tanpa
perlu surat-menyurat dan sesi temujanji yang formal. Dengan disediakan sekali
makan tengahari untuk saya. Alhamdulillah.
Selepas
itu, jalan inovasi ini Allah SWT permudahkan dengan mempertemukan
saya kembali bersama sahabat di sekolah menengah (SMAKJ, Kluang, Johor) iaitu seorang usahawan
percetakan saudara Zarihi Nubhan. Beliau seorang yang sangat berbakat dalam
melukis dan seni. Kali pertama berkolaborasi dengannya ialah ketika di
Tingkatan 4, beliau melukis komik manakala saya pula sebagai penulis jalan
cerita dan karya kami diterbitkan dalam majalah sekolah. Nubhan banyak
memudahkan urusan penghasilan inovasi ini kerana beliau bukan sahaja boleh mencetak,
tetapi juga boleh melukis grafik dan komik, punya kumpulan kartunis kreatif dan
lebih mantap lagi beliau berpengalaman menjadi mutawwif yang sudah semestinya
sangat memberikan nilai tambah dalam penghasilan kit inovasi pembelajaran haji
dan umrah ini. Akhirnya, kit pembelajaran haji umrah ini dapat disiapkan dalam
masa yang ditetapkan dan berjaya memenangi beberapa anugerah di peringkat
kebangsaan mahupun antarabangsa.
Antara pencapaian dan anugerah
yang diterima inovasi ini ialah seperti berikut:
- Anugerah Qudwatur Rasul
(Inovasi) oleh Kerajaan Negeri sempena Sambutan Maulidur Rasul
Peringkat Negeri Pulau Pinang
Peringkat Negeri Pulau Pinang
- Pengesahan produk inovasi
daripada SS Dato’ Mufti Pulau Pinang
- Pingat Emas dlm iCompEx di
Politeknik Sultan Abd Halim Shah, Jitra.
- Pingat Perak dlm Eureka
Innovation Exhibition (Peringkat Antarabangsa) di UniKL MSI, Kulim
- Pingat Perak dlm
Pertandingan Inovasi di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah
- Finalis Anugerah Inovasi
MARA anjuran MARA
- Finalis MAGRIS anjuran
Yayasan Inovasi Malaysia (16/200 produk)
Penggunaan kit inovasi dalam kelas Pendidikan Islam
Melalui
proses ini, dengan jangka masa perlu disiapkan dalam masa setahun menjadikan
saya seorang pemikir sehingga kadang-kadang terbawa-bawa ke dalam mimpi. Tetapi tidak sampai membawa kepada stress kerana kesihatan diri lebih utama. Bagi
mengimbangi tekanan berinovasi, tugas hakiki, tugas sebagai warden (Guru
Asrama) dan urusan keluarga, saya selalu bersukan bermain bola sepak. Guru dan
staf sekolah kami memang punya kelab bola sepak yang aktif dan Balik Pulau juga
ada banyak pasukan sehingga hampir setiap minggu ada sahaja perlawanan
persahabatan. Balik rumah tengok anak pun boleh jadi terapi kerana mereka ini modal syurga kita.
Rutin
hidup seharian pun banyak berubah. Saya lebih banyak membaca dan melakukan
kajian untuk memantapkan hasil inovasi. Saya juga sudah tidak malu untuk
berurusan dengan sesiapa sahaja. Alhamdulillah, sejak menggiatkan diri dengan
projek inovasi seperti ini, saya berpeluang berkolaborasi dengan pihak Mufti
Pulau Pinang dan pegawai-pegawainya, belajar berhubung dengan pihak luar
seperti Yayasan Inovasi Malaysia, MyIPPO, Tabung Haji cawangan Pulau Pinang,
UPM, Politeknik Balik Pulau dan sebagainya. Sejak itu, saya berpeluang mengenali dan berhubung rapat dengan inovator dari seluruh Malaysia. Saya mengambil inspirasi serta motivasi daripada
mereka supaya tidak cepat berputus asa meneruskan langkah-langkah usaha
ini melalui pertandingan inovasi yang disertai dan program-program anjuran Yayasan Inovasi Malaysia, pihak MARA, Microsoft Malaysia dan lain-lain.
Dalam
penulisan ini, saya tidak berhajat menerangkan aspek teknikal Kit Pembelajaran
Haji Umrah Al-Mutawwif rekaan kumpulan kami. Apa yang ingin ditekankan
adalah refleksi daripada proses inovasi yang dijalankan. Ia bukanlah mudah.
Ia adalah proses panjang yang memerlukan komitmen berterusan, motivasi diri,
sokongan orang di sekeliling, keazaman diri yang tinggi dan sifat sentiasa ingin
belajar. Selepas melalui semua ini, apabila melihat satu-satu hasil kreativiti
di pameran-pameran inovasi, saya tidak lagi melihat fungsinya semata-mata. Saya
sudah mula melihat prosesnya, keazaman para penciptanya dan pengorbanan di
sebalik semua itu dan lebih menghargai hasil kerja orang. Kerana saya sudah melaluinya.
Terima
kasih kepada Encik Abu Zaki, mantan Pengetua MRSM Balik Pulau (sekarang
Pengetua MRSM Kubang Pasu) yang sentiasa menyokong penuh dan memudahkan urusan
saya dalam aktiviti inovasi yang dijalankan. Juga buat rakan kolaborasi saya
yang juga isteri Nurul Adha Rajali yang menerima jemputan saya untuk
berkolaborasi menyiapkan projek inovasi ini. Saudara Mohd Affan Rosli,
pensyarah Politeknik Balik Pulau yang menghasilkan nota aplikasi android. Rakan-rakan seperjuangan dan ahli keluarga yang sentiasa memberikan galakan.
Prof. Madya
Dr. Shamsilah dan pihak UPM, Yayasan Inovasi Malaysia, Jabatan Mufti Pulau
Pinang, Politeknik Balik Pulau, SMK Teluk Kumbar, saudara Zarihi Nubhan dan pasukannya dan semestinya Coach Megat Zainurul Anuar serta Unit
Penyelidikan dan Inovasi MARA yang mencungkil potensi diri ini dengan sentiasa
memberikan saya peluang demi peluang untuk lebih berkembang lagi. Ketika
ini, seudah lebih setahun saya bersama 24 orang kakitangan MARA yang lain
terlibat sebagai Jurulatih Utama Inovasi MARA yang bertanggungjawab menyebarkan
ilmu asas ilmu inovasi dalam organisasi MARA dan kami sedang mengusahakan
sebuah portal inovasi untuk digunakan sebagai medium menyebarkan ilmu dan
aktiviti inovasi.
Video Aktiviti PAK-21
dengan Kit Pembelajaran Haji dan Umrah Al-Mutawwif
Junior Innovation Lab (JIL). Antara program yang dikendalikan
barisan Jurulatih Utama Inovasi MARA bagi mensyiarkan inovasi dalam
kalangan warga MARA
Comments
Post a Comment