Hikmah COVID-19 dari sudut pandang seorang pendidik


Alhamdulillah..cuti PKP ini jika dilihat dari sudut hikmah sebenarnya terlalu besar dan luas hikmahnya bagi orang-orang yang mahu berfikir dan bermuhasabah. Apa pun, sebagai hamba kita perlu melihat ini juga sebagai salah satu bentuk ujian yang Allah SWT berikan untuk melatih sifat sabar kita. Jika kita susah, fikirkan pula nasib mereka yang lebih susah dan bantulah sedaya upaya yang kita mampu bantu. Jika tiada kemampuan, doa juga salah satu bentuk bantuan yang dapat kita berikan dan mendatangkan manfaat serta motivasi kepada orang yang memerlukannya.

Sebagai pendidik, saya melihat ujian COVID_19 ini sebagai satu medan membentuk kesedaran tentang peri pentingnya pendidikan. Cuti sekolah memang satu perkara yang menggembirakan pada semua orang terutamanya pelajar. Tetapi cuti sekolah kali ini agak berbeza. Aktiviti berkisar di persekitaran rumah sahaja ekoran perintah PKP oleh kerajaan bertujuan memusnahkan rantaian wabak ini. Daripada cuti 14 hari pada permulaan, dilanjutkan 14 hari lagi. Tentunya menguji mental sesetengah daripada kita. Sudah kedengaran suara-suara kebimbangan tentang pendidikan anak-anak. Pelajar sendiri juga bimbang dengan pelajaran mereka. Buku-buku banyak yang ditinggalkan di sekolah terutamanya pelajar berasrama penuh. Kebimbangan bertambah lebih-lebih lagi mereka yang terlibat dengan peperiksaan besar seperti STPM, SPM, PT3, UPSR, UPKK dan lain-lain.

Antara jalan penyelesaian terbaik yang difikirkan oleh warga pendidikan dan pihak kerajaan adalah melaksanakan pendidikan secara atas talian. Guru-guru mula memaksakan diri mereka mempelajari aplikasi dan platform yang boleh digunakan untuk mencapai pelajar mereka. Ada yang sudah lama menggunakan teknik pembelajaran atas talian tetapi hikmahnya di musim COVID-19 ini kesedaran itu mula bertambah-tambah. Pelajar-pelajar yang sebelum ini asyik dengan hiburan terutamanya di media sosial, mula beralih perhatian mereka kepada pembelajaran atas talian menyokong sama usaha guru-guru melakasanakan PDPC secara jarak jauh tapi dekat atau lebih mudah dipanggil Remote Learning. Sama ada menggunakan internet atau pun talian telefon.

Pelbagai siri webinar pendidikan dijalankan. Istilah webinar yang sebelum ini agak janggal  didengari kini meniti di bibir para pendidik di negara kita. Atas inisiatif organisasi rasmi pendidikan sendiri sepeti Kementerian Pendidikan Malaysia, MARA dan lain-lain yang mengambil inisiatif menganjurkan kelas-kelas atas talian kepada para guru pastinya akan membuahkan hasil yang sangat bermanfaat dalam mengamalkan PAK-21. Sebagai contoh, siri webinar yang dianjurkan oleh organisasi seperti Digital Classroom Malaysia, MARA Digital Learning, Cikgu Get Certified, Mudah Mengajar yang mengumpulkan guru-guru inovatif dari seluruh Malaysia dapat menyemarakkan semangat cintakan ilmu dalam kalangan warga pendidik dan anak-anak pelajar. Belum dikira lagi kuliah-kuliah atas talian tentang PAK-21 yang dilaksanakan atas inisiatif individu pendidik. Ini semua bakal mendatangkan impak yang besar dalam bidang pendidikan di Malaysia. Saya pinjam kata-kata sahabat saya, Cikgu Aliff Othman dari MRSM Sandakan yang merupakan salah seorang ikon teknologi pendidikan di Malaysia pada masa kini iaitu 'Hasil tidak akan mengkhianati usaha'. Kata-kata ini selalu menginspirasikan saya. 

Sebagai penutup, setiap perkara baru yang dilaksanakan pastinya akan berlaku masalah. Yang perlu kita lakukan adalah, terus ambil masalah itu dan cuba menyelesaikannya dan teruskan lagi melangkah. Jangan berhenti berdepan dengan masalah. Antara masalah dan cabaran yang paling berat ialah kata-kata orang. Mudah sahaja. Kita ambil perhatian kepada kata-kata orang yang menyokong. Kata-kata yang tidak menyokong kita ambil sebagai panduan penambahbaikan. Jika tidak boleh dijadikan modal penambahbaikan, kita abaikan sahaja. Perintah Kawalan Pergerakan ini kita anggap sebagai latihan membina kesabaran dan kecekalan yang tinggi dalam menghadapi masalah-masalah seperti itu.



Comments