Inovasi, Motivasi dan Berorganisasi

Menghasilkan sesuatu inovasi pastinya memerlukan suntikan motivasi. Hal ini kerana, inovasi adalah satu perkara baru yang belum wujud sebelum ini. Selalunya, kita hanya mendapat gambaran visual yang tidak dapat dilihat oleh orang lain, kecuali mereka yang benar-benar percaya kepada keupayaan kita dan sentiasa menyokong kita. 

Orang ini lah yang akan sentiasa menjadi pendorong sekiranya kita menghadapi kesusahan dan beberapa siri kegagalan sebelum inovasi yang kita hasilkan mencapai kejayaannya. Boleh jadi mereka adalah isteri, sahabat, ibu bapa, ahli keluarga, mentor atau jurulatih kita dan sesiapa pun. 

Sebagai manusia biasa, sifat biologi diri kita seperti rasa penat, kesihatan diri, tekanan apa lagi pelbagai jenis emosi seperti marah, geram, kurang sabar, gembira, sedih pastinya akan kita lalui sepanjang menghasilkan inovasi. Di sinilah pentingnya, sumber motivasi dan sumber inspirasi untuk kita melakukan satu perkara baru (inovasi) yang penuh dengan ketidakpastian.

Biasanya, perkara ini akan berlaku kepada seseorang individu yang menghasilkan kerja inovasi secara bersendirian. Sebab itulah, inovasi lebih baik dijalankan secara berkumpulan supaya kita dapat saling menyokong dan membantu untuk mencapai satu visi yang sama. Tetapi kadangkala, kerana kita telah dibiasakan dengan sikap individualistik sejak zaman persekolahan di usia muda seperti ujian, peperiksaan yang dilalui secara individu, mementingkan pencapaian individu dalam ranking berbanding pencapaian kolektif sehingga akhirnya kita membesar sebagai seorang dewasa yang lebih selesa membuat sesuatu pekerjaan secara individu. Tidak dinafikan hasilnya memang baik. Namun, sekiranya kita mampu mencapai kemahiran bekerja di dalam aspek berkumpulan, ia pastinya mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. Sekiranya seorang jatuh tersungkur, lain-lain ahli kumpulan boleh mengendalikan semula stereng mengurus inovasi kejayaan yang telah sama-sama kita bina.



Kita pastinya pernah mendengar kisah-kisah sadis di sebalik kejayaan inovator dan inventor terdahulu yang ciptaan mereka mampu mengubah dunia tetapi diri mereka sendiri telah tersungkur. Kita boleh melihat bagaimana kisah tragis Nichola Tesla yang berakhir dengan kematiannya seorang diri di samping hasil-hasil ciptaannya yang dipercayai dirompak oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan ke atasnya. Hal ini pastinya boleh dielakkan sekiranya beliau bekerja secara berkumpulan dalam menghasilkan inovasi. Namun kisah tragis dan kehebatan tokoh ini mempunyai 1001 pengajaran yang boleh kita ambil dan jadikan tauladan. 

Kisahnya boleh kita jadikan motivasi untuk terus berkarya dan jangan berhenti berinovasi sehinggalah ke akhir hayat. Semangat juang seorang inovator perlu tinggi, dan dalam konteks Tesla, semangat juang dan sumber motivasinya adalah visi untuk membantu dunia punya masa depan lebih baik. Tesla punya satu perancangan untuk membekalkan elektrik percuma kepada seluruh dunia namun misinya ini tidak disenangi orang-orang bisnes yang nampak potensi besar di sebalik inovasi elektrik ini. 

Tesla hebat sebagai inovator dengan jiwa inovasi sejati. Edison hebat dengan keupayaannya sebagai seorang inovator dan ahli perniagaan yang melihat potensi besar elektrik sebagai barang dagangan baru yang tidak nampak tetapi boleh diniagakan dengan bentuk inovasi model bisnes terkini ketika itu yang tidak pernah dibuat lagi. Inovasi elektrik satu hal dan inovasi perniagaan elektrik satu hal lain. Kedua-duanya punya visi dan prinsip. Kedua-duannya berjaya dengan cara masing-masing. Tesla menang di jiwa penyokongnya yang mengagumi jiwa besarnya. Edison menang di jiwa para ahli perniagaan dan masyarakat yang melihat model bisnes elektriknya telah menyemarakkan kemajuan dunia. 

Dalam hal ini, saya tidak memihak kepada mana-mana di antara Tesla dan Edison kerana kedua-duanya memberikan jasa teramat besar kepada dunia terutamanya memberikan sinar cahaya dalam kehidupan kita siang dan malam. Namun, apa yang saya tekankan di sini ialah semua ini terjadi dengan adanya gabungan dan kerja berpasukan di antara Tesla dan Edison. Gabungan kehebatan kedua-duanya membawa impak yang tidak ternilai kepada dunia kita pada masa kini walaupun di akhirnya kisah mereka berdua berakhir dengan konflik prinsip peribadi yang sesekali tidak dapat ditoleransikan. Walaupun di akhirnya kita melihat Tesla yang gugur, namun beliau tetap diingati sebagai insan berjasa yang tinggi tarafnya sebagaimana penghormatan yang telah Edison dapat sejak sekian lama melalui hasil inovasi dan invensi mereka berdua.

Kesimpulannya, jangan biarkan diri kita berhenti di pertengahan jalan setelah kita memulakan langkah pertama. Apa pun yang berlaku, kita perlu menjadi berani untuk menghadapinya bersama rakan sekutu kita yang punya visi sama. Tetapi sifat berani dan rakan sekutu yang setia sahaja tidak cukup. Kita perlu lengkapkannya dengan memenuhkan diri dengan ilmu seperti Design Thinking yang telah terbukti memberikan impak kepada banyak syarikat dan organisasi kecil dan besar dari seluruh dunia. Kewujudan jabatan R&D dalam organisasi besar perlu dibawa kepada kumpulan kecil kita. Walaupun kumpulan inovasi kita kecil, tetapi jiwa kita besar seperti organisasi tersebut. Jabatan R&D kumpulan kecil kita tidak memerlukan modal wang ringgit yang mahal tetapi cukup dengan ilmu Design Thinking dahulu bagi peringkat permulaan. Dan tentunya, motivasi perlu sentiasa diperbaharui sebagaimana kita dianjurkan oleh Islam untuk sentiasa memperbaharui niat kita dalam amal seharian.


Sumber motivasi kisah The Real Iron Man Tony Stark, Elon Musk
(CEO Tesla, Space-X dll)

Comments