Di belakang tabir webinar: Pengalaman yang mendewasakan

Kali pertama mengenali webinar

Januari 2020 adalah kali pertama saya menyampaikan ceramah webinar. Encik Zulhilmi Ahmad dari Microsoft yang saya kenali melalui program Microsoft Innovative Educator Expert merancang untuk mengadakan siri webinar pendidikan melalui platform Microsoft Teams. Ketika itu, istilah webinar masih agak janggal didengari dalam kalangan pendidik. Saya mengambil jemputan beliau sebagai satu cabaran dan pengalaman baru dalam memasuki era baru sebagai pendidik. Beliau meminta saya kongsikan tentang bagaimana saya menggunakan platform Flipgrid dalam PDPC. Ketika itu tidak ramai lagi pendidik dari Malaysia menggunakan Flipgrid. Saya mengenali Flipgrid daripada rakan Skype, Cikgu Arif Zakwan dari MRSM Johor Bahru melalui posting-posting beliau di Facebook tentang Flipgrid. Sejak itu saya explore sendiri tentang Flipgrid dan selalu juga merujuk kepada tuan mentor, Cikgu Aliff Othman dari Sandakan yang mula saya kenali ketika sama-sama menjadi Jurulatih Utama Inovasi MARA.

Disebabkan masih belum biasa dengan penggunaan Microsoft Teams, saya mengambil keputusan untuk berjumpa sendiri dengan Encik Zul di Menara Shell, Kuala Lumpur, bangunan terletaknya ibu pejabat Microsoft. Kebetulan ada kursus berkaitan inovasi di Hotel Summit pada November 2019, jadi boleh lah berjumpa dengan beliau secara bersemuka. Masih saya ingat ketika mula-mula menjejakkan kaki ke ibu pejabat Microsoft, perasaan teruja tidak dapat disembunyikan lagi kerana ia umpama impian menjadi kenyataan sejak melibatkan diri dengan program pendidikan Microsoft Innovative Educator sejak 2 tahun sebelum itu. Saya menjadi semakin mahir dengan beberapa aplikasinya sejak mendapat durian runtuh apabila memenangi cabutan bertuah Surface Go pada Disember 2018 ketika menyertai Seminar Pendidikan Intel anjuran syarikat SYS (pembekal produk Joi, Intel dll) bersama isteri saya. Sejak melibatkan diri dengan MIE dan memenangi cabutan bertuah Surface Go, saya tidak menoleh ke belakang lagi dan meneruskan perjuangan untuk menguasai ilmu teknologi pendidikan melalui Microsoft Educator Center (platform pembelajaran kendiri tentang PAK-21 dan teknologi dalam pendidikan di internet).

Pertemuan dengan Encik Zulhilmi yang banyak jasanya kepada guru di Malaysia

Jadi, apabila mendapat tawaran berkongsi ilmu melalui platform online, saya tidak mahu melepaskan peluang itu dan menerimanya supaya dapat memanfaatkan sedikit ilmu yang ada dengan berkongsi bersama rakan pendidik di samping dapat terus memahirkan diri. Ketika pertemuan itu, Encik Zul belanja saya makan Chicken Grill yang sangat sedap di sebuah restoran di Menara Shell. Terima kasih banyak tuan. Beliau seorang yang ramah, murah dengan senyuman dan tidak kedekut ilmu kerana sentiasa bersiap sedia membantu guru-guru di seluruh negara dalam mengaplikasikan teknologi dalam pendidikan pada bila-bila masa. Beliau juga berpengalaman sebagai seorang guru sebelum ini. Ilmu tentang aplikasi teknologi dalam pendidikan yang saya dapat daripada beliau terutamanya bagaimana mengendalikan webinar menggunakan Microsoft Teams sangat saya hargai dan tiba masanya kini untuk kongsikan pula ilmu yang sama kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Disebabkan saya bermula dengan “zero” tentang Microsoft Teams, kami melakukan rehearsel secara dalam talian seingat saya 3 kali sebelum webinar sebenar berlangsung. Beliau membimbing saya daripada A-Z tentang bagaimana mencipta mesyuarat, menambah ahli, melakukan siaran langsung sehinggalah merakam ceramah dan sebagainya. Alhamdulillah untuk kali pertama ketika itu, webinar tersebut diikuti secara konsisten oleh 17-20 orang pendidik dari seluruh negara. Satu angka yang boleh tahan juga menurut Encik Zul, sebab masa tu orang tidak biasa lagi dengan webinar. Para peserta yang hadir pun kebanyakannya baru pertama kali mengikuti webinar.

Pengalaman berharga beraksi dalam Webinar untuk kali pertama

Kenangan Webinar Pertama

Masalah sentiasa berlaku. 

Selepas itu, saya terus menggunakan Microsoft Teams bersama-sama pelajar dengan mengamalkan konsep Flipped Classroom iaitu satu konsep pembelajaran yang boleh dilakukan di mana sahaja pada bila-bila masa dengan menjadikan kemudahan internet sebagai salah satu sumber utama penghubung di antara guru dan pelajar. Saya juga merujuk konsep Flipped Classroom ini daripada Cikgu Hailmi, seorang tokoh pendidik di Malaysia dalam blog beliau yang terkenal itu. Apa respon saya ketika mula-mula mengaplikasikan ini semua? Tentulah tidak seronok, banyak masalah teknikal, komputer makmal “hang”, berebut guna makmal komputer dengan guru lain, pelajar pun ada kekangan bawa telefon dan laptop ke kelas, dan komitmen masa saya bertambah kerana persediaan dalam mengamalkan Flipped Classroom ini boleh bikin kepala pecah kerana guru dituntut untuk sentiasa berfikiran kreatif sebab konsep pembelajaran berpusatkan pelajar. Ia tentang pelajar, bukan tentang cikgu! Tetapi lama kelamaan apabila sudah biasa, ia bukan satu masalah lagi.

Tambahan pula, saya bukan guru komputer, hanya seorang ustaz yang berminat dengan semua ini ketika usia menginjak 32 tahun dan sekarang ini tahun 2020 saya telah pun berusia 36 tahun. Masalah teknikal adalah paling mencabar dan kalau di sekolah, saya banyak merujuk masalah ini kepada staf teknikal saudara Azmi, Puan Yuriati, cikgu komputer iaitu Cikgu Aishah, Cikgu Muzammir juga Cikgu Fitri, pakar FB adds, youtuber dan Photoshop. Walaupun kadangkala agak kesal kenapa tak memulakan semua ini lebih awal, tetapi saya tetap bersyukur kerana mengamalkan teknologi dalam pendidikan menjadikan seolah-olah kita rebrand dan refresh kemahiran lalu menjadikan  diri "perasan" muda dan lebih bersemangat mengamalkan PAK-21.

Setiap perkara yang kita amalkan pastinya ada masalah. Apa masalah yang boleh diselesaikan, saya akan selesaikan atau mohon bantuan mereka yang lebih pakar. Masalah yang tidak dapat diselesaikan, biarkan saja ia berlalu. Pada pengamatan saya, masalah terbesar ialah memberi kefahaman segera kepada orang lain tentang kepentingan ini semua dan mencari orang yang betul-betul boleh menyokong apa yang kita percaya. Dalam hal ini, orang paling rapat dengan saya adalah isteri saya sendiri, Nurul Adha Rajali. Beliau adalah pakar rujuk saya untuk penggunaan media sosial termasuk Whatsapp sebab saya ada peristiwa hitam dikejarkan ke hospital dengan ambulan kerana tiba-tiba jadi pening kepala tidak tahan dengan asakan mesej-mesej di Whatsapp ketika mula-mula menggunakannya dulu sampai saya terpaksa uninstall Whatsapp selama beberapa bulan. Tapi sekarang ni saya dah biasa sampai terlebih guna pulak.hehe

COVID-19 dan Normal Baharu bidang pendidikan

Selepas itu, wabak COVID-19 pun melanda dunia dan memberikan impak sangat besar sehingga memaksa dunia berubah ke arah Normal Baharu. Dalam bidang pendidikan, sektor ini terkesan kerana sekolah tidak dapat dibuka, aktiviti pembelajaran rasmi anak-anak terhenti seketika, peperiksaan besar terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan dan banyak lagi. Konsep bekerja dari rumah mula popular dan terpaksa dijalankan bagi memastikan kelangsungan hidup dan pekerjaan kita. Siri-siri webinar, tele-konferens, remote learning dan pembelajaran dalam talian sedia mengambil alih aktiviti PDPC biasa. Guru dan pelajar terdesak untuk beradaptasi dengan semua pembaharuan ini kerana ini adalah salah satu kaedah terbaik yang boleh diamalkan buat masa ini.

Walaupun banyak kekangan seperti faktor capaian internet yang terhad, masalah penggunaan gajet, kekurangan ilmu tentang aplikasi-aplikasi bahan bantu mengajar di telefon dan internet dan lain-lain, kita tidak punya banyak pilihan dan harus belajar menggunakan semua ini sesegera mungkin demi survival bidang pendidikan. Kita selesaikan masalah di pihak kita terlebih dahulu. Masalah lain yang tiada kaitan sangat dengan kita, serahkan saja kepada mereka yang bertanggungjawab. Kita hampir tiada masa untuk beralasan dan lakukan apa yang terdaya kita lakukan. Sebagai contoh, menuntut ilmu melalui siri webinar secara langsung atau pun rakaman, atau menonton dan mula melayari tutorial yang banyak terdapat di internet untuk kemajuan diri kita. Percayalah, inilah masanya kita akan berasa lebih segar dengan ilmu baru yang sedia untuk kita aplikasikan setelah selesa dengan cara lama kita sejak sekian lama.


Di sebalik tabir Webinar MARA Digital Learning


Sejak PKP berlangsung, Puan Wan Juliana yang kami panggil Kak Julie mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan telegram MARA Digital Learning bagi menyebarkan penggunaan teknologi dalam pendidikan melalui perkongsian ilmu di laman telegram. Kak Julie, mengumpulkan kami, Microsoft Innovative Educator Expert dalam kalangan pendidik MARA untuk memberikan khidmat kami berkongsi ilmu teknologi pendidikan kepada warga MARA khususnya. Buat permulaan ini, kami menganjurkan siri webinar dalam talian yang banyak memfokuskan kepada beberapa aplikasi sebagai contoh Office 365. Setiap kakitangan MARA telah pun dibekalkan akaun Office 365. Dalam masa yang sama, aplikasi lain yang bermanfaat seperti Google Classroom, Flipgrid, Wakelet, Minecraft, Edpuzzle dan lain-lain juga dijadikan tajuk utama siri webinar ini.  Webinar dianjurkan melalui penggunaan Microsoft Teams sebagai platform utama dengan Kak Julie bertindak sebagai produser, moderator, admin kepada program ini. Cikgu Azrul (MRSM Merbok) dan Cikgu Aliff (MRSM Sandakan) juga antara mentor yang banyak  pengalamannya membimbing kami dalam kumpulan ini, begitu juga Encik Zulhilmi.

 Kak Julie seorang yang energetik dan bekerja dengan begitu pantas sekali. Juga merupakan seorang Fellow dalam program MIEE yang sangat berpengalaman dan berpengetahuan dalam 21st Century Learning Design. Beliau sentiasa menjadi pakar rujuk dalam bidang ini dan saya berasa sangat bertuah sekali dapat sama-sama dalam usaha menyemarakkan penggunaan teknologi pendidkan dalam kalangan warga MARA khususnya dan pendidik seluruh Malaysia umumnya. Beliau juga berpesan supaya tidak perlu taksub dengan satu aliran teknologi sahaja sehingga menafikan aliran yang lain. Kita gunakan sahaja apa jenis teknologi yang ada, yang penting gunakan dengan tujuan yang jelas. Bukan gunakan ia semata-mata mengikut trend atau untuk kelihatan hebat tetapi tidak memberi impak kepada proses pembelajaran dan pelajar kita.



Dalam siri webinar MARA Digital Learning ini saya bertindak sebagai penceramah keempat bagi slot Flipgrid, sebagai ahli jawatankuasa pembaca doa dan juga admin ketika sesi-sesi webinar berlangsung bagi membantu penceramah menjawab soalan-soalan para peserta. Kak Julie menetapkan disiplin dan standard yang tinggi untuk setiap sesi webinar kerana mahukan ia menjadi satu sesi yang profesional. Setiap sesi webinar memerlukan rehearsel untuk melatih kecekapan penceramah dan juga bagi menguji adaptasi teknologi. Rehearsel biasanya dijalankan pada jam 11.00 pagi sebelum sesi sebenar berlangsung pada pukul 3.00 petang. Segala teguran penambahbaikan kami sebagai penceramah dan admin ambil maklum.


Proses rehearsel ini sebagai sesi latihan yang secara tidak langsung menambahkan kemahiran kami untuk mengaplikasikan teknologi. Setiap admin yang ada dalam kumpulan MARA Digital Learning saling membantu ketika sesi webinar dijalankan secara langsung. Encik Azrul Hafiz (KKTM Indera Mahkota) contohnya memainkan peranan menggunakan kepakarannya menjalankan Live Streaming webinar melalui saluran Youtube menggunakan aplikasi OBS. Peluang menjadi admin ini saya lihat sebagai medan menuntut ilmu juga kerana kami sentiasa dapat update terkini tentang teknologi pendidikan juga masalah-masalah baru yang dihadapi oleh ahli telegram yang kami sendiri tidak pernah alami. Proses ini dapat menambah kompetensi kami dan amat bermanfaat. Kami juga sangat berbesar hati untuk kongsikan pengalaman melalui proses ini kepada rakan-rakan pendidik yang berminat.


Siri Webinar Tazkirah Ihya Ramadhan






Pengalaman mengaplikasikan webinar ini terutamanya ketika webinar MARA Digital Learning berlangsung dapat saya kongsikan bersama pihak-pihak tertentu. Terbaru, saya berkesempatan membantu pihak MARA Excellence Centre (MEC) mengendalikan siri webinar ceramah agama sempena Ramadhan kepada kakitangan MARA seluruh negara menggunakan Microsoft Teams. Saya berpeluang memberikan latihan dan praktikal penggunaan Microsoft Teams kepada kakitangan MEC. Siri webinar ini dikendalikan oleh Encik Helmi dari MEC selaku moderator, barisan ustaz ustazah MARA yang hebat belaka sebagai penceramah, manakala saya dan Ustaz Murshid dari MRSM Kepala Batas sebagai jawatankuasa teknikal. Para peserta terdiri daripada kakitangan MARA seluruh Malaysia yang rata-ratanya baru pertama kali mengikuti kursus dalam talian seperti ini. Tahniah MEC atas pembaharuan yang telah dilakukan. Lebih-lebih lagi di musim PKP dan pandemic COVID-19 ini di mana kursus tidak dapat dijalankan seperti biasa, webinar ini adalah sebagai satu allternatif kursus dalam talian yang dilaksanakan oleh MEC bagi keperluan kursus tahunan kakitangan MARA. Alhamdulillah, semoga ianya dapat dikembangkan lagi untuk manfaat bersama.

Pengalaman baru sebagai penceramah webinar anjuran Cikgu Get Certified



Satu lagi webinar yang saya sertai sebagai penceramah adalah siri webinar anjuran  Cikgu Get Certified, Pendidik Digital MY dan Jabatn Pendidikan Negeri Johor yang ditunjangi oleh Cikgu Yu. Pada mulanya saya mendapat PM daripada moderator webinar, Cikgu Goh (Top 5 Cikgu Juara Digital 2020) untuk kongsikan tentang Flipgrid dan bergandingan dengan Cikgu Arif Zakwan dari MRSM Johor Bahru dalam seminar tersebut. Saya menerima dengan senang hati walaupun ada sedikit kegusaran dalam jiwa. Yang pertama, kegusaran tentang talian internet. Saya menggunakan hotspot saja kerana belum melanggan wifi di rumah. Hotspot tidak begitu stabil lebih-lebih lagi sebagai penceramah kerana kita perlukan internet yang stabil untuk kongsikan skrin kepada khalayak peserta contohnya. Sebagai peserta untuk menonton, tidak ada masalah.

Sesi percubaan platform Streamyard. 
Pengalaman pertama menggunakannya. Sangat mudah.

 Ceramah webinar saya sebelum ini menggunakan wifi di sekolah. Tetapi dengan perintah PKP yang semakin ketat dan ini lebih kepada tugasan CSR (tiada surat arahan bekerja daripada organisasi), saya tidak dapat ke sekolah yang jaraknya 15 km dari rumah untuk akses kepada wifi. Kegusaran yang kedua ialah, webinar tersebut tidak menggunakan Microsoft Teams yang saya biasa gunakan tetapi menggunakan platform Streamyard. Namun, saya mengambil tanggungjawab ini dan sedia menghadapi masalah tersebut. Ketika webinar berlangsung, saya meminta bantuan Cikgu Arif untuk membantu mengendalikan power point ceramah kerana hotspot saya kurang stabil ekoran hujan lebat dan tidak berjaya berkongsi skrin. 


Webinar ini berjalan lancar tetapi sesekali tersangkut-sangkut taliannya kerana masalah cuaca tadi. Disebabkan ini, saya sudah mula menempah wifi Time untuk dipasang di rumah memandangkan Normal Baharu menuntut Remote Learning dan wifi adalah satu keperluan sekarang. Alhamdulillah, secara keseluruhan webinar berjalan lancar berdasarkan maklum balas peserta. Satu kejutan yang saya terima, sesi tersebut disertai oleh lebih kurang 4000 orang peserta dengan 3532 peserta menjadikannya sebagai keperluan kursus tahunan mereka. Pengalaman baru saya dengan penyertaan peserta webinar mencapai angka ribu. Itulah antara penangan Cikgu Get Certified, Pendidik Digital My dengan kerjasama JPN Johor yang punya pengikutnya sendiri dan juga semangat para pendidik di Malaysia untuk mengadaptasi teknologi dalam PDPC mereka. Tahniah rakan-rakan pendidik semua.



Kesimpulan

Coretan kali ini agak panjang kerana agak lama saya tidak kemaskini blog ini ekoran sedikit sibuk terlibat dalam beberapa siri webinar dan dalam masa yang sama perlu bekerja dari rumah untuk sesi PDPC dalam talian. Semoga perkongsian pengalaman ini memberikan manfaat sedikit sebanyak kepada para pengunjung. Sebelum memulakan blog ini, saya mengikuti blog Cikgu Hailmi sejak 5 tahun yang lepas dan penulisan beliau sangat memberikan inspirasi kepada saya untuk menjadi pendidik yang lebih baik. Ya, penulisan adalah satu cara mendapatkan inspirasi dan terapi minda. Kepada rakan-rakan pendidik, teruskan berkongsi penulisan dan ilmu anda kerana kita tidak tahu siapa yang akan terinspirasi dengan penulisan kita dan dapat mengubah mereka menjadi orang yang lebih baik. Kesan penulisan kita bukan diukur kepada sifat viralnya semata-mata. Waallahua’lam.

Comments

  1. tahniah. pengalaman yang menarik dan boleh dijadikan sumber inspirasi oleh semua orang. siapa sangka seorang ustaz dapat menguasai bidang IT malah lebih baik dari orang IT sendiri. dimana ada kemahuan disitu ada jalan. moga terus maju jaya

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah sedikit ilmu yg ada kita kongsikan utk manfaat bersama. IT dah kasih jadi keperluan bidang pendidikan masa kini, nak tak nak kena beradaptasi juga..terima kasih atas ucapan dan doa😁

    ReplyDelete

Post a Comment