Di sebalik dugaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19, tersembunyi banyak hikmah bagi
yang mencarinya. Dalam bidang pendidikan, saya ingin fokuskan pada satu perkara
iaitu WEBINAR. Ia bagaikan menjadi satu budaya dan juga keperluan bidang
pendidikan di negara kita pada masa kini untuk para pendidik dan pelajar
menimba ilmu dan menambah kemahiran IT mereka.
Di sebalik perintah kawalan
terhad, Webinar adalah salah satu penyelesaian bagi memastikan kita dapat beradaptasi
dengan apa jua cabaran yang melanda. Webinar atau pun singkatan daripada
perkataan web dan seminar adalah medan menuntut ilmu yang mudah diakses tanpa
perlukan pergerakan dan kewujudan medan fizikal. Semuanya berlaku di alam maya.
Dan banyak webinar yang ditawarkan secara percuma dari seluruh dunia. Kuarantin
diri dipenuhi dengan aktiviti menuntut ilmu adalah satu hikmah terbesar. Jika
semua ini berterusan dan menjadi budaya yang melekat dalam diri masyarakat
pendidikan, percayalah bahawa transformasi dan kualiti masyarakat kita juga
akan berkembang menjadi satu Normal Baharu yang menguntungkan serta memajukan
negara kita.
Galakan daripada pihak kerajaan
dengan semua syarikat Telco nasional memberikan tawaran penebusan 1GB penggunaan
percuma setiap hari bagi para pengguna dilihat dapat menyemarakkan Normal
Baharu ini terutamanya bagi warga pendidik. Adalah diharapkan, syarikat
pembekal internet juga dapat membuat tawaran harga murah dengan kelajuan serta
kapasiti penggunaan internet secara maksimum kepada para pengguna supaya
masyarakat kita dapat dijanakan lagi dengan budaya ilmu yang dapat memajukan
negara kita. Diharap perkara ini dapat diteruskan lagi walaupun setelah semua
ini berakhir.
Kepada para pendidik, pengamalan Remote Learning boleh dilakukan dengan pelbagai cara tidak semestinya menggunakan video conference saja yang sangat popular dalam kalangan pendidik. Pada saya, cara ini menjadi pilihan ramai kerana kita dapat merasakan hubungan kemanusiaan di antara sang pendidik dan penuntut ilmu. Berlaku interaksi secara langsung di antara dua individu tersebut. Interaksi dua hala boleh berlaku dan menjadikan diri lebih selesa dengan sesi tersebut. Namun, kaedah ini menuntut komitmen masa dan juga tahap penggunaan internet yang lebih kuat.
Kaedah biasa yang boleh digunakan adalah melalui tontonan video rakaman seperti dalam Youtube, melalui menjawab soalan menggunakan platform seperti Kahoot, Quizizz, Microsoft atau Google Forms dan sebagainya. Antara kaedah paling ringkas dan juga memberikan kesan yang besar adalah interaksi remote learning secara langsung melalui medium komunikasi seperti WhatsApp dan telegram dan lain-lain.
Medium ini telah lama disediakan penggunaan bersama seluruh dunia. Namun di musim PKP ini ia menjadi lebih popular dan masyarakat sudah mula biasa menggunakannya. Ini lah antara Normal Baharu positif yang akan menjadi budaya hidup kita. Teruskan menggunakannya. Semoga memberikan impak besar yang positif dalam kehidupan kita.
Comments
Post a Comment