Menyusun kerja sekolah anak daripada group WhatsApp sekolah


Menyusun kerja sekolah anak daripada group WhatsApp sekolah

Ada sesetengah sekolah mewujudkan group WhatsApp ibu bapa sempena PKP ini sebagai medium perantara untuk menyampaikan maklumat tentang kerja sekolah anak-anak. Sifirnya mudah, semua orang ada WhatsApp. Ia nampak mudah pada peringkat permulaan tetapi setelah beberapa minggu, tugasan demi tugasan yang diberikan oleh guru-guru berbeza sudah kelihatan seperti longgokan yang tidak mudah diurus lagi. Ibu bapa sedikit lemas melihat group yang sudah mula penuh dengan maklumat yang tidak tersusun.

Ditambah pula dengan kepelbagaian format atau platform yang digunakan oleh guru-guru untuk menjalankan pengajaran secara dalam talian. Ada guru yang bagi pautan/link ke laman tertentu seperti Kahoot, Quizizz, Google Classroom, Microsoft Teams dan lain-lain. Ada yang bagi gambar dalam bentuk jpeg atau png. Ada yang minta salin atau print dan macam-macam lagi. Ibu bapa sudah mula pening sehingga ada yang terpaksa memilih untuk membiarkan saja group tersebut atas pelbagai alasan seperti masalah internet, kerja sekolah terlalu banyak dan sebagainya. Lebih-lebih lagi, pembelajaran dalam talian ini bukan paksaan bagi sesetengah sekolah. Ada ibu bapa yang gigih, melayari semula maklumat daripada hari pertama group WhatsApp diwujudkan dan menyediakan senarai semak sendiri supaya anak-anak tidak tertinggal satu pun kerja sekolah yang diberikan.

Dalam situasi ini saya memilih untuk mengambil jalan tengah. Tidak menyalahkan guru, tidak juga menyalahkan ibu bapa kerana ini semua adalah Norma Baharu. Saya ialah seorang guru, saya juga seorang bapa. Kita perlu berlapang dada menerima kekurangan yang ada dan membaikinya dari semasa ke semasa. Semua ini berlaku secara mengejut tanpa persediaan secukupnya. Kita menghadapi serangan yang tidak terjangka dan terpaksa menggunakan apa sahaja sumber yang ada dan yang kita ketahui bagi menghadapi situasi ini. Paling penting, anak-anak perlukan ilmu dan pelajaran. Ibu bapa dan guru pastinya mahu buat yang terbaik untuk anak-anak.

Sebagai cadangan, ibu bapa atau guru boleh mencuba menggunakan platform Wakelet untuk membina koleksi kerja sekolah anak dengan lebih tersusun. Wakelet memang dicipta untuk membina koleksi dan mengumpulkan segala jenis link/pautan yang terdapat di dalam atau di luar peranti kita seperti laptop dan telefon pintar. Dan lebih menarik lagi, apabila koleksi telah siap, anda atau anak-anak boleh muatnaik kerja sekolah dalam koleksi tersebut, dan bagi pautan/link kepada guru untuk membuat semakan secara dalam talian. 

Jom, ikuti sedikit tutorial ringkas ini untuk mengetahui bagaimana menggunakan Wakelet untuk membina senarai semak kerja sekolah anak-anak kita. Sila klik pautan ini https://www.facebook.com/faisal.fadzil.7/posts/10221349279337715 untuk mendapatkan tutorial.






Comments