Lawatan Delegasi MRSM Balik Pulau ke USM


Lawatan Muhibah MRSM Balik Pulau Ke Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, 
Universiti Sains Malaysia

Tarikh                 : 14 Julai 2020 (Selasa)
Masa                   : 10.00 pagi – 2.00 petang
Tempat               : Bilik Persidangan Idris Babjee, PPIP, USM
Kehadiran          : TPKA, Ketua-ketua Jabatan, Penyelaras JK PAK-21, Penyelaras Jadual


Pada 14 Julai 2020 lepas, MRSM Balik Pulau telah membuat lawatan muhibah ke Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM bagi menjalin kerjasama dan mendapatkan tunjuk ajar daripada pihak USM dalam ilmu pengurusan pendidikan. Antara objektif lawatan ini adalah untuk mendapatkan khidmat kepakaran USM dalam bidang pendidikan terutamanya dalam aspek pembangunan profesionalisme perguruan dan kemenjadian pelajar dalam bidang akademik serta sahsiah.

Kehadiran delegasi MRSM Balik Pulau ke Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM disambut mesra oleh Encik Mohd Faizal Bin Md Osman, Ketua Penolong Pendaftar dengan pengamalan Normal Baharu iaitu pemeriksaan suhu badan dan pendaftaran buku log. Lebih istimewa lagi, pihak Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Dekan, Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Bin Mohamed Ismail sudi hadir beramah mesra dengan pihak MRSM. Kami dijemput untuk menikmati santapan dengan pelbagai hidangan dan aneka juadah yang disediakan oleh pihak USM.

Sepanjang sesi makan bersama, kemesraan Yang Berbahagia Dato’ TNC begitu dirasai. Banyak input juga yang kami dapat walaupun dalam sembang-sembag santai sambil menikmati juadah yang sedap-sedap belaka. Lebih-lebih lagi Yang Berbahagia Dato’ TNC merupakan bekas pelajar MRSM Kulim dan berpengalaman menjadi Presiden MUAFAKAT kepada MRSM Transkrian dan MRSM Taiping. Pengalaman beliau bersama MARA dari dahulu sehingga kini tidak lah dapat disangkal lagi. Beliau juga merupakan seorang Ikon bagi warga MARA terutamanya MRSM dan menjadi contoh serta inspirasi kepada kami dalam mencapai kejayaan. Beliau juga pernah kami jemput dalam memberi ucaptama, perasmi dan penyampai dalam majlis graduasi di MRSM Balik Pulau.

Mengutip mutiara-mutiara berharga daripada para ilmuan

Ucapan Dekan

Selepas itu, kami semua berkumpul di Bilik Persidangan Idris Babjee, untuk sesi taklimat dan dialog di antara kedua-dua belah pihak. Sesi ini dimulakan dengan Dekan, Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Bin Mohamed Ismail terlebih dahulu menyampaikan kata-kata aluan. Beliau memperkenalkan barisan kepimpinan penting yang hadir dan serba sedikit latar belakang mereka.
Antaranya ialah Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), Dr. Syed Mohamad Bin Syed Abdullah, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi Dan Libatsama Industri-Komuniti), Profesor Madya Dr. Salmiza Binti Saleh, Ketua Penolong Pendaftar, Encik Mohd Faizal Bin Md Osman dan beberapa orang lagi pensyarah yang memegang portfolio kepimpinan berkaitan kaunseling, STEM dan lain-lain.  Dalam ucapan beliau menyatakan, pihak USM sangat berbesar hati untuk bekerjasama dan sedia membantu sekiranya diperlukan. Beliau menceritakan serba sedikit latar belakang USM yang antara lain menempa kejayaan sebagai 150-200 universiti terbaik di dunia dalam program Ijazah Tinggi mereka.
 Beliau juga memperkenalkan kami dengan program-program pasca-siswazah yang ditawarkan untuk pembangunan kerjaya seperti program Sarjana dan Doktor Falsafah. Antaranya, bagi program Sarjana (Master), beberapa kaedah pembelajaran dijalankan sama ada secara penyelidikan sepenuhnya (Fully Research), Mix-Mode (Research atau Course Work), Offshore (pihak USM datang ke pusat), EDD (program Ph.D dengan kaedah kelas dan penyelidikan) dan lain-lain.

Pihak Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan juga aktif dalam menjalankan khidmat komuniti kepada masyarakat seperti menjalankan tuisyen hujung minggu kepada pelajar-pelajar miskin. Program ini telah dijalankan secara konsisten selama 10 tahun.  Ada juga beberapa sekolah yang bekerjasama dengan pihak mereka untuk memberikan tunjuk ajar dan kelas tambahan bagi pelajar yang tercicir dan lemah dalam subjek tertentu dalam pelajaran. Bagi perkhidmatan kaunseling, pihak USM juga punya pelbagai modul untuk dilaksanakan bagi tujuan pembangunan diri pelajar serta guru. Pihak kaunselor USM juga telah melaksanakan beberapa modul kaunseling kepada beberapa institusi seperti Kolej MARA Kulim.

Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan juga mendapat kepercayaan daripada pihak kerajaan Malaysia  melalui ICU, NCIA dan lain-lain apabila menerima sejumlah peruntukan yang besar untuk melaksanakan program-program pendidikan komuniti yan
g melibatkan pelajar, ibu bapa dan guru. Bagi pihak MRSM Balik Pulau, kami juga berhasrat untuk turut serta dalam program-program anjuran pihak USM pada masa akan datang sekiranya berpeluang.

Penyelaras Jawatankuasa PAK-21 &
Penyelaras Jadual Waktu
         

Ucapan TNC

Kemudian, Dekan menjemput Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyampaikan amanat beliau dalam pertemuan tersebut. Beliau mengalu-alukan kehadiran kami dan sedia menawarkan kepakaran USM bagi membantu MRSM Balik Pulau meningkatkan lagi kualiti pendidikan dan pembangunan profesionalisme para pendidik. Menurutnya, sistem pendidikan MRSM bukan sahaja menjadi contoh terbaik di Malaysia, malah ia telah terbukti mampu melahirkan produk kepimpinan bertaraf antarabangsa sehingga mahu dicontohi dan dipelajari sistemnya oleh pihak luar.

Beliau menyatakan rasa kagumnya bagaimana sistem pendidikan MRSM mampu membantu golongan sederhana dalam bidang pembelajaran yang pada mulanya masuk ke MRSM dengan pencapaian agak rendah, tetapi akhirnya apabila tamat pembelajaran di MRSM mampu mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik dan berjaya melanjutkan pembelajaran ke luar negara. Beliau memberikan contoh seorang pelajar MRSM Balik Pulau yang pernah ditemui beliau yang masuk dengan kelayakan minimum 3A dalam UPSR akhirnya berjaya melanjutkan dan bergraduat di salah sebuah universiti dari Australia.

Beliau juga menyatakan hasratnya supaya para pelajar mengekalkan minat mereka dalam bidang Sains, kerana pada masa kini dan akan datang, negara sangat memerlukan lulusan bidang STEM bagi tujuan pembangunan dan kemajuan negara. Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed merupakan salah seorang pemikir dan tokoh yang banyak menyumbang kepakaran beliau dalam memacu kemajuan pembangunan STEM di Malaysia. Pihak USM juga sedia membantu dalam memberikan khidmat kaunseling kerjaya kepada para pelajar kerana terdapat beberapa kes ada pelajar yang meminati bidang kerjaya tertentu seperti perubatan tetapi tidak mengambil subjek Biologi bagi menyokong minat mereka itu. Mengetahui laluan kerjaya yang betul lebih awal dapat membantu pelajar memilih kerjaya yang bertepatan dengan minat mereka. 

Ucapan TPKA, MRSM Balik Pulau

Kemudian, program diteruskan lagi dengan ucapan Timbalan Pengetua Kecemerlangan Akademik, Tuan Haji Norfairizam Nordin yang menyatakan rasa terharu atas sambutan yang diterima oleh delegasi MRSM Balik Pulau dalam sesi lawatan ini. Beliau mengucapkan penghargaan atas kesudian pihak USM menerima kehadiran kami lebih-lebih lagi apabila pihak Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed sendiri hadir dalam pertemuan tersebut dan menyambut kami. Dalam ucapan tersebut, beliau melahirkan hasrat untuk mendapatkan bimbingan pihak USM untuk berkongsi kepakaran dalam membangunkan profesionalisme guru-guru MRSM Balik Pulau terutamanya dalam aspek berkaitan pembangunan bahan pengajaran, pedagogi dan penguasaan terhadap teknologi pendidikan.

Ada beberapa aspek yang pihak kami agak ketinggalan seperti pengetahuan tentang pembinaan instrument, pengetahuan tentang dapatan dan data kaji selidik terhadap pedagogi terbaik. Perkara-perkara ini diharapkan oleh pihak kami agar mendapat tunjuk ajar darpada kepakaran pihak USM.TPKA memetik kata-kata daripada puan pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA yang menyatakan bahawa MRSM perlu mempelopori bidang STEM di negara ini. Beliau juga berpesan supaya pihak MRSM menggunakan kebijaksanaan untuk menjalin kerjasama dengan pihak luar bagi menambahbaik kemahiran kakitangan terutamanya dalam PDPC.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah pusat pendidikan yang telah diiktiraf sebagai IB World School, guru-guru di MSRSM Balik Pulau sentiasa komited dan sanggup pulang lewat malam bagi memastikan status sebagai  sekolah bertaraf antarabangsa dapat dicapai. Untuk itu, pihak maktab memerlukan bimbingan dan perkongsian kepakaran pihak USM bagi mengekekalkan kecemerlangan tersebut melalui kerjasama pintar di antara kedua belah pihak.


Diskusi spesifik.

Selepas ucapan daripada pihak TPKA, program seterusnya adalah pertemuan empat mata dalam kumpulan-kumpulan kecil untuk mengetahui secara mendalam tentang bidang kepakaran yang ditawarkan USM. Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), Dr. Syed Mohamad Bin Syed Abdullah mengambil peranan mempengerusikan program tersebut dengan membuka peluang kepada delegasi kami untuk berdiskusi tentang topik pilihan masing-masing dan berjumpa dengan beberapa orang pakar dan kepimpinan universiti untuk mengetahui secara mendalam tentang bidang tugas masing-masing.

Antara kumpulan yang disediakan ialah Program Pengijazahan Tinggi, Pembangunan Inovasi, Program Kaunseling, Program STEM dan Pembangunan Modul. Kami berpecah kepada kumpulan kecil dan mengambil peluang yang diberikan untuk bertanyakan secara terus kepada pakar-pakar dalam bidang masing-masing. Suasana perbincangan yang berlangsung dalam suasana santai dan mesra sangat menggalakkan percambahan idea dan memberikan kami suntikan semangat untuk berkongsikan pengetahuan yang kami terima daripada sesi ini kepada rakan-rakan seperjuangan di MRSM Balik Pulau. Daripada sesi diskusi kumpulan kecil ini, kami mendapat lebih maklumat tentang program-program menarik dan idea kolaborasi yang boleh dilaksanakan bersama pada masa akan datang.


Kesimpulannya, program lawatan ini dapat menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih mantap di antara dua institusi pendidikan iaitu MRSM Balik Pulau dan USM. Melalui kerjasama yang dibentuk ini diharapkan bakal melahirkan generasi pendidik yang berkebolehan tinggi dan generasi masa hadapan yang bersedia menghadapi arus masa hadapan yang serba mencabar. Terima kasih pihak Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM kerana sudi menerima kehadiran kami dan berkongsi kepakaran ilmu bersama pihak kami.

Comments