Alhamdulillah, sepanjang berlangsungnya PKP akibat pandemik Covid-19, beberapa pencapaian telah saya perolehi bagi meningkatkan lagi kerjaya.
Saya melihat, teknologi untuk pendidikan pada masa kini bergerak dengan sangat pantas sehingga tidak terkejar semuanya. Bak kata orang-orang lama, kalau tak dapat nak kejar semua jangan tinggal semua.
Bagi saya, ruang masa yang lebih fleksibel ketika tempoh PKP ini dapat digunakan untuk terus belajar dan cuba memperolehi beberapa pencapaian di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Alhamdulillah, baru-baru ini beberapa pencapaian telah saya perolehi, antaranya:
1. Microsoft Innovative Educator Expert (MIEExpert) bagi Sesi 2020/2021
MIEExpert adalah satu program yang dianjurkan oleh Microsoft Education bagi mengiktiraf kepakaran para pendidik yang aktif menggunakan teknologi dalam pendidikan terutamanya aplikasi-aplikasi pendidikan Microsoft. Permohonan untuk menjadi MIEExpert dibuka pada setiap tahun.
Permohonan yang berjaya akan disenaraikan dalam Global List. Para MIEExpert yang berpeluang membina jaringan antarabangsa sesama mereka dalam mengaplikasikan PAK-21 melalui komuniti yang dibina ini. ereka juga akan mendapat pelbagai maklumat mengenai kemaskini terkini bidang teknologi pendidikan dan banyak lagi kelebihan yang diperolehi.
Khabarnya, pada tahun ini lebih daripada 1000 orang pendidik Malaysia memohon untuk menjadi MIEExpert berbanding tahun lepas seramai 200 lebih permohonan. Tahniah kepada para pendidik di negara kita yang semakin ramai menyertai komuniti antarabangsa.
Alhamdulillah saya telah bergiat sebagai MIEExpert ini sejak 2018 lagi dan berhasrat untuk kekal dan meneruskan komitmen saya dalam program ini kerana banyak perubahan yang telah berlaku dalam kaedah PDPC saya dan paling utama sekali saya dapat mengenali guru-guru yang sangat komited dan hebat dan dapat menuntut ilmu teknologi pendidikan daripada mereka semua sama ada dalam negara mahupun luar negara.
2. Wakelet Ambassador
Wakelet Ambassador pula adalah satu program yang mengiktiraf para pendidik yang mengguna pakai aplikasi pendidikan Wakelet secara aktif dan juga aktif menyebarluaskan penggunaannya kepada kalangan masyarakat. Wakelet adalah satu aplikasi yang memudahkan penyusunan dokumen, fail, apa saja jenis pautan secara dalam talian.
Dengan menggunakan Wakelet, pengurusan kerja, pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih mudah dan menyumbang kepada kehijauan alam seperti menjimatkan penggunaan kertas dan fail fizikal. Saya banyak menggunakan Wakelet untuk menguruskan dokumen kerja dan menjalankan kelas secara dalam talian.
Dengan pencapaian ini, saya berazam untuk menyebarluaskan lagi ilmu berkaitan teknologi pendidikan kepada rakan-rakan pendidik dari seluruh negara supaya kita dapat membudayakan Pembelajaran Abad Ke-21.
Selain itu, pada bulan Ogos ini juga satu badge/lencana baru telah dilancarkan oleh pihak Wakelet bagi mengiktiraf peranan aktif para pendidik yang menyebarluaskan faedah penggunaan Wakelet kepada masyarakat sekeliling. Lencana baru ini dinamakan Wakelet Community Leader. Alhamdulillah, ramai juga dari Malaysia yang mendapat pengiktirafan ini terutamanya mereka yang telah mendapat Wakelet Ambassador. Tahniah rakan-rakan semua.
Comments
Post a Comment