Alhamdulillah, hari ini berkesempatan berkongsi tentang topik Doa bersama kakitangan MRSM Balik Pulau dalam siri Bicara Ilmu anjuran Kelab Guru dan Kakitangan maktab. Program ini dianjurkan pada setiap hari Selasa dan Khamis petang dengan para ustaz dan ustazah bergilir-gilir menyampaikan tazkirah. Ia sebagai satu program kerohanian untuk warga MRSM Balik Pulau di samping kehadiran dalam program ini juga dikira dalam kursus wajib tahunan.
Sedikit petikan daripada perkongsian tadi, saya merujuk kepada buku Indahnya Hidup Bersyariat susunan Almarhum Ustaz Dato' Ismail Kamus bersama Mohd Azrul Azlen. Tazkirah hari ini ringkas sahaja, cuma 30 minit, jadi saya hanya sempat kongsikan tentang adab-adab dan waktu mustajab berdoa.
Antaranya, waktu-waktu mustajab berdoa ketika hari Jumaat, ketika hari hujan, 1/3 awal malam (6-10mlm), 1/3 pagi (selepas 2 pagi) dan banyak lagi.
Antara adab berdoa ialah jangan tergesa-gesa, mengambil wuduk, menutup aurat, menadah tangan, mulakan dengan pujian kepada Allah, sertakan selawat kepada nabi dan lain-lain. Saudara-saudari boleh merujuk kepada buku ini pada muka surat 274-276 untuk melihat perbincangan lebih terperinci tentang topik ini.
Buku ini sangat bagus untuk dimiliki oleh semua umat Islam, sekurang-kurangnya 1 rumah 1 buku sebagai dan panduan dalam menjalani amalan fardu ain mahupun fardu kifyah dalam kehidupan seharian kita. Bermula daripada lahirnya seseorang individu muslim, perjalanan hidup seharian sehinggalah berakhirnya kehidupan kita di liang lahad, buku ini begitu langkap dengan panduan yang sangat menarik.
Dengan disertakan gambar sebenar, jadual-jadual ringkas, susunan huruf perkataan yang mudah-mudah, menjadikan buku ini sebagai wajib ada untuk seisi keluarga. Sesi tazkirah saya untuk slot Bicara Ilmiah adalah berdasarkan buku ini.
Al-fatihah buat salah seorang penulisnya yang telah pergi menghadap Ilahi. Walaupun beliau sudah tiada, namun penulisannya sentiasa hidup dan memberikan manfaat buat selamanya, insyaAllah.
Comments
Post a Comment