Sebagai seorang content creator, lebih-lebih lagi yang bertaraf influencer pastinya perlu mencipta isi kandungan yang menarik dan menyentuh emosi ramai. Bukan kerja mudah. Banyak cara digunakan untuk tujuan tersebut berdasarkan kreativiti masing-masing. |
Cuma menegur secara umum tanpa mengaitkan mana-mana pihak, saya sangat tidak setuju jika video mahupun rancangan televisyen yang memaparkan aksi pembaziran makanan. Sebagai contoh, aksi makan tak habis, aksi buang-buang makanan, melenyek makanan dengan tayar kereta yang menjadi trending di media sosial.
Kalau dulu saya cuma lihat semua ini dilakukan oleh content creator dari luar negara sahaja. Tetapi semua ini semakin menjadi-jadi apabila menjadi ikutan penggiat dalam kalangan anak tempatan. Seolah-oleh direstui, para peminat ramai komen murni-murni, ingin melihat aksi lebih power pada masa akan datang dan menganggap itu adalah normal.
Hanya sebagai contoh, saya perhatikan ketika ini tengah trending juga pasal inovasi b**i air yang terang-terang mempromosikan pembaziran. Apa tujuan inovasi kalian itu?Benda asalnya adalah untuk tujuan perubatan, dibeli banyak-banyak, rendam semuanya dalam air bukan untuk kegunaan asal yang sepatutnya ditampal di kepala, dah berjaya kembang jadi b**i air, akhirnya kamu tunjuk aksi buang macam itu saja? Kalau satu dua untuk jadikan mainan budak-budak atau bahan eksperimen pembelajaran boleh diterima lagi.
Paling mendukacitakan, promosi ini berjaya kerana content pembaziran ini wow sungguh sehingga menjentik emosi penonton yang melihat. Makin membazir maka semakin wow lah video tersebut, dan semakin bertambahlah subscribers mereka.
Tahniah kerana aksi kamu berjaya. Likers berlambak, komen ramai puji. Tentu terhasil banyak wang dan cukup nak balik modal pembaziran kamu tadi. Tetapi aksi itu tidak elok untuk tatapan, mempromosi pembaziran. Kan membazir itu amalan syaitan yang perlu dijauhi.
Saya bukanlah orang yang selayaknya untuk komen tentang aspek teknikal sebagai seorang content dengan creator.Mungkin mempromosikan pembaziran adalah sebahagian daripada tips penting menjadi influencer berjaya. Tetapi banyak lagi cara lain yang boleh digunakan, yang mengikut syarak.
Walaubagaimanapun, saya juga refleksi diri sendiri, mungkin ini akibat daripada kesilapan generasi kami juga yang membudayakan pembaziran dan menganggapnya adat biasa satu ketika dulu.
Paling mudah, contoh aksi yang kita anggap kebiasaan tetapi sebenarnya adat ialah meniup tepung untuk ambil gula-gula. Dapat gula-gula buat makan, tepung yang sepatutnya boleh dibuat cucur, terbuang membazir ditiup angin begitu saja.
Justeru, saya menyeru supaya semua ini dapat dihentikan dan tidak lagi menjadi budaya hidup yang dinormalisasikan oleh kita semua. Keadaan hidup semakin sempit, ramai yang kelaparan. Makanan bukan mainan. Pembaziran bukan pilihan. Bantulah mereka yang lebih memerlukan.
Comments
Post a Comment