Lihat: Guru redah lumpur demi anak murid |
Jika hendak bercerita tentang kegigihan guru dalam menyampaikan ilmu, ia terlalu banyak dan tidak dapat disenaraikan semuanya. Apa yang ingin diketengahkan di sini ialah beberapa contoh dalam pemerhatian peribadi yang saya ikuti melalui media massa dan media sosial.
Antaranya:
- Webinar Pendidikan
Sejak tahun 2020, webinar pendidikan di Malaysia begitu popular dalam kalangan pendidik. Ekoran pandemik Covid-19 yang melanda, para pendidik begitu ghairah menambah ilmu dan menaik taraf pengetahuan masing-masing melalui siri-siri webinar yang kebanyakannya dijalankan secara percuma. Perkongsian para pendidik dalam siri-siri webinar yang berlangsung amat bermanfaat selain dapat memberikan inspirasi kepada rakan-rakan yang lain.
Apa yang dikagumi, kebanyakan perkongsian yang dijalankan adalah secara sukarela, dengan imbuhan yang sekadarnya sahaja atau lebih tepat lagi secara percuma. Semakin ramai guru-guru yang mula berani ke hadapan, berkongsi tentang pengalaman dan pengetahuan masing-masing walaupun kurang pengalaman atau baru berjinak-jinak dengan webinar.
Langkah pertama sudah dimulai. Teruskan melangkah sehingga ke akhirnya. Itulah semangat yang harus dicontohi. Antara yang aktif dalam menganjurkan webinar seperti Cikgu Get Certified, Pendidik Digital MY, Digital Classroom, MARA Digital Learning dan banyak lagi yang tidak saya sebutkan di sini.
- Youtubers
Youtube semakin hari semakin popular kerana sifat audio-visual dan mudah akses daripada telefon. Kebersamaan orang ramai dengan telefon yang boleh diibaratkan seperti isi dengan kuku daripada siang membawa ke malam hari menambahkan lagi populariti Youtube. Semakin ramai pendidik di negara ini yang mewujudkan saluran Youtube masing-masing untuk berkongsi ilmu.
Konten pendidikan sememangnya sangat diperlukan kerana yang lebih menguasai carta teratas Youtube ketika ini adalah konten hiburan yang rata-ratanya bersifat ringan semata-mata melepaskan tekanan seharian. Konten ilmiah pastinya dapat membuka minda dan hati dalam membina jambatan ilmu. Kewujudan saluran-saluran Youtube para pendidik sangat dikagumi.
Saya melihat, guru-guru tersebut tidak lah mengejar populariti, likers atau subscribers sahaja, tetapi kepuasan berkongsi ilmu yang bermanfaat adalah melebihi daripada segala-galanya. Antara yang popular di Youtube seperti Cikgu Hailmi, Cikgu Romie dan ramai lagi.
Lebih-lebih lagi, ramai pendidik disatukan melalui organisasi seperti CikgooTube, Akademi Youtuber Malaysia (AYU) yang memberikan bimbingan secara langsung kepada para pendidik Youtubers. Syabas diucapkan!
- Influencer
Pendidik influencer memainkan peranan yang cukup besar dalam media sosial. Mereka mampu menjentik emosi, motivasi para pendidik dalam menempuhi era pendidikan masa kini yang serba mencabar. Ada juga rungutan daripada sebahagian guru yang kadangkala habis cara untuk mengatasi masalah pelajar.
Saya yakin pencapaian akademik pelajar bukanlah masalah utama para pendidik, tetapi lebih kepada masalah sikap dan keperibadian pelajar yang menjadi cabaran utama para guru masa kini. Sekurang-kurangnya, dengan adanya pendidik influencer ini yang selalu berkongsikan pembawaan diri mereka bersama para pelajar dapat kita jadikan panduan dan inspirasi dalam melalui cabaran demi cabaran dalam profesion kita.
Antara cikgu influencer yang berpengaruh di media sosial ialah Cikgu Mohd Fadli Salleh yang banyak memperjuangkan isu kebajikan rakyat dan kerja amal untuk masyarakat. Ikon Pendidikan seperti Cikgu Aman, Cikgu Hailmi, Cikgu Samuel Isaiah dan ramai lagi.
- Tik Tokers
Ini adalah sesuatu yang masih baru dalam kalangan pendidik. Tik Tok pada masa kini sangat popular dalam kalangan warga maya terutamnaya para remaja. Ketika awal popularitinya sebelum ini, Tik Tok banyak dikaitkan dengan gejala negatif seperti babak-babak tarian dan lawak jenaka yang tidak bermanfaat dan sia-sia. Tetapi ia sangat popular, seolah-olah tidak mampu dihentikan gejalanya di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Kemudian wujud sebahagian kecil pendidik yang melihat Tik Tok sebagai peluang untuk mereka menyelitkan sama unsur pendidikan bagi menyesuaikan diri dengan peredaran zaman. Saya secara peribadi memuji kesungguhan mereka kerana sekurang-kurangnya, Tik Tok dapat diimbangi dengan sifat-sifat positif yang berunsur keilmuan.
Antara yang menggunakannya secara aktif ialah Cikgu Herryan Syah atau Cikgu Herry, Cikgu Hailmi, Cikgu Arif Zakwan, Cikgu Kamariah Awang, Cikgu Fadli Salam dan lain-lain. Apabila guru dan ibu bapa sudah mula menggunakan Tik Tok, keghairahan anak-anak bertiktok secara negatif juga dapat dikawal.
- Kreatif
Melalui perkongsian di media sosial dan media massa kadangkala keluar berita tentang macam-macam cara kreatif yang para pendidik gunakan untuk menarik minat pelajar masing-masing. Kerana minat adalah nombor satu. Jika pelajar dapat belajar dengan penuh minat, kesannya lebih besar kerana inisiatif untuk belajar lahir daripada kehendak sendiri bukanlah dipaksa-paksa.
Pelajar adalah manusia, makhluk yang punya emosi dan perasaan. Ada guru yang sanggup berlagak seperti adiwira, membuat persembahan pentas, menghasilkan pelbagai inovasi pendidikan dan macam-macam lagi untuk menarik minat pelajar. Pedagogi pada masa kini bersifat sangat kompleks.
Teori pendidikan yang dipelajari ketika zaman diploma dan ijazah dahulu memerlukan sifat kreatif guru untuk disesuaikan dengan keperluan semasa. Taksanomi Bloom juga berubah untuk menghadapi masa sekarang, tidak seperti bentuknya yang asal.
Perubahan pada Taksanomi Bloom |
Lihat: Cikgu 'Captain America' |
- Berkorban
Hal ini selalu bikin hati remuk dan mengundang air mata. Terlalu banyak pengorbanan pendidik yang tidak disedari oleh orang lain. Nama pun pengorbanan. Sesekali keluar kisah pengorbanan para pendidik yang sanggup meredah kesusahan demi kelangsungan akademik para pelajar mereka, berita-berita ini amat menyentuh hati.
Ada guru yang sanggup pergi rumah ke rumah, meredah sungai, laluan berliku, hujan lebat, kesesakan trafik dan banyak lagi semata-mata mahu menghantar lembaran kerja kepada pelajar pada musim Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan pelajar mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran. Ada yang menghabiskan duit poket sendiri untuk hiasan kelas, penyediaan alat tulis, hanya untuk memastikan pelajar mereka selesa dan seronok dengan aktiviti pembelajaran.
Juga, yang melaksanakan kelas tambahan percuma tidak kira waktu, bersengkang mata menjadi guru asrama atau warden demi menjaga kebajikan pelajar, menghantar ke hospital dan sebagainya.
Cuma, sebagai pendidik jika telah dilaksanakan semua itu, janganlah kita mengungkit dan patah hati jika semua itu seolah-olah tidak dihargai oleh manusia yang tidak nampak dan tidak mengingati. Kerana kita percaya, Allah SWT pasti membalasnya di syurga dan mengampunkan dosa-dosa kita.
Lihat: Pengorbanan Cikgu Nazmi |
Rumusannya, peranan guru dalam mendidik pelajar memang tidak dapat disangkal lagi sejak dulu sampai bila-bila. Walaupun teknologi semakin hebat, robot atau AI sekalipun tidak dapat menggantikan peranan seorang guru. Namun, guru boleh menggunakan teknologi bagi memastikan pencapaian dan keberkesanan lebih baik. Teruslah menjadi pendidik yang gigih, kerana anda selalu menjadi inspirasi ramai orang sama ada anda ketahui atau pun tidak.
Comments
Post a Comment