Selamat datang 2021: Cikgu dan Inovasi memasuki tahun ketiga

Alhamdulillah kita telah berjaya mengharungi segala cabaran tahun 2020. Covid-19 telah membawa impak dan cabaran yang begitu besar dan pastinya 2021 juga begitu. Cuma, 2021 ini kita sudah terbiasa dengan beberapa norma baharu yang boleh saya katakan menjadi norma atau amalan biasa seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan menjaga jarak di antara satu sama lain.

Bagi bidang pendidikan, usaha dalam penggunaan teknologi nampaknya semakin berkembang luas. Ramai guru yang membuat perkongsian dan memberikan pencerahan kepada rakan-rakan sejawat tentang teknologi pendidikan. Pelajar-pelajar juga telah mendapat pendedahan yang berterusan ketika PDPR dijalankan. Tetapi masih ramai juga guru dan pelajar yang menghadapi masalah kekurangan fasiliti terutamanya akses internet yang menyukarkan mereka menjalani era pendidikan norma baharu ini. Diharapkan masalah ini diselesaikan secepat mungkin oleh pihak yang terlibat.

2021 menyaksikan blog pendidikan cikgudaninovasi.blogspot.com genap berusia 2 tahun dan memasuki tahun ketiga. Alhamdulillah, pada tahun 2020, pelbagai kemaskini dan program telah dilaksanakan oleh pihak kami. Di antaranya, blog pendidikan ini telah menjalankan 3 Siri Webinar Siri Tutorial Asas Teknologi Pendidikan Abad Ke-21, secara kecil-kecilan kepada para pendidik berkenaan asas penggunaan  Microsoft Teams dan Wakelet hasil kerjasama dengan saluran Youtube Cikgu Fitri pada November 2020.

Selain itu, satu lagi aktiviti ialah pelancaran semula saluran Youtube Cikgu dan Inovasi sebagai salah satu medium untuk penyebaran ilmu inovasi dan teknologi pendidikan. Pada tahun ini pula, beberapa perancangan untuk memantapkan lagi blog pendidikan ini sedang direncanakan. Kami sedang merancang untuk menukar domain blogspot ini kepada .com bagi meluaskan lagi akses blog ini kepada masyarakat. Juga, beberapa ciptaan inovasi bidang pendidikan sedang diusahakan sebagai membantu para pendidik dalam melaksanakan tugas mereka dalam PDPC. Semoga semua perancangan ini berjalan lancar.

Akhir kata, semoga segala pengalaman tahun 2020 dapat kita ambil pengajaran dalam melalui kehidupan tahun 2021 yang masih lagi mencabar. Diharapkan dengan adanya vaksin Covid-19 ini akan menyelesaikan masalah pandemik ini dan memberikan kualiti hidup yang lebih baik daripada sebelum-sebelum ini. Diharapkan rakan-rakan semua bertabah dan saling sokong-menyokong dalam mengharungi cabaran kehidupan seharian. 

SELAMAT DATANG 2021, SELAMAT TINGGAL 2020, HIDUP DITERUSKAN, TERUS BERGANTUNG HARAP PADA YANG MAHA ESA

Comments