Pelantikan sebagai Jurulatih Inovasi MARA 2021



Alhamdulillah, bulan April ini telah berlangsung kursus Training of Trainer bagi Jurulatih Inovasi MARA (JIM) bermula pada 29 Mac-20 April 2021 anjuran Bahagian Inovasi dan Teknologi Kreatif MARA. Kursus ini dijalankan sepenuhnya dalam talian (seminggu sekali secara live, 9.00 - 1.00 pm) dan diberikan beberapa tugasan berkumpulan untuk disiapkan pada setiap minggu.

Kursus dijalankan sepenuhnya secara dalam talian
menggunakan Zoom, LMS & Telegram

Sebelum ini, sebahagian daripada peserta mempunyai sedikit pengalaman sebagai Jurulatih Utama Inovasi MARA lebih kurang 2 tahun (kira-kira 25 orang jurulatih). Program ini diteruskan lagi, kali ini dengan penglibatan lebih ramai jurulatih (kira-kira 76 orang) yang dipilih dalam kalangan warga MARA dengan penjenamaan sebagai Jurulatih Inovasi MARA. Usaha ini  pasti akan membuahkan hasil dalam membudayakan inovasi berasaskan ilmu pengetahuan dalam organisasi MARA khususnya dan negara amnya.

Pada mulanya agak mencabar juga, kerana kursus dan tugasan dijalankan secara dalam talian, terutamanya untuk membuat tugasan berkumpulan sedangkan kebanyakan daripada kami tidak mengenali di antara satu sama lain. 

Namun, berkat kerjasama semua dan  profesionalisme yang tinggi, semua tugasan yang diberikan dapat disiapkan dan mendapat pujian serta beberapa penambahbaikan daripada jurulatih kami, iaitu Coach Khairul Anwar. 

Beberapa sesi kuliah bersama Coach Khairul Anwar yang
sememangnya pakar dalam bidang latihan inovasi

Dalam kursus ini kami didedahkan dengan asas kepada Design Thinking, Business Model Canvas, Sustainable Development Goals (SDGs), Module Development dan lain-lain pengetahuan inovasi. Dalam sesi pertama, kami dikehendaki mengambil kursus secara dalam talian dalam LMS yang disediakan pihak konsultan. 


Kami memulakan pembelajaran dengan asas Design Thinking iaitu proses Emphatize, Define, Ideate, Prototype dan Test (EDIPT) melalui tontonan video-video, bahan bacaan berbentuk teks/e-book dan diakhiri dengan menjawab beberapa siri kuiz yang disediakan dalam LMS tersebut yang sarat dengan ilmu pengetahuan mengenai inovasi. Pada akhirnya,  mereka yang berjaya menyelesaikan proses pembelajaran akan memperoleh sijil.

LMS yang digunakan sangat menarik dengan pelbagai jenis kursus disediakan

Kemudian pada sesi kedua, barulah kami berkumpul dalam platform Zoom untuk mendengar dan menuntut ilmu daripada Coach Khairul Anwar mengenai Design Thinking. Apa yang kami tidak faham dalam platform LMS diterangkan dengan begitu jelas oleh Coach. Para peserta juga aktif bersoal jawab dan memberikan pandangan serta respon masing sepanjang kursus berlangsung.  

Bagi memantapkan pengetahuan para jurulatih, Coach Khairul Anwar memberikan tugasan kepada kami untuk menyediakan satu pembentangan produk yang melalui proses Design Thinking bagi tugasan pertama.

Secara teori, nampak mudah, tetapi bila nak mulakan produk dengan melalui proses yang betul ia bukanlah semudah yang disangka. Banyak faktor perlu diambil kira sebelum sesuatu produk inovasi itu dibangunkan terutamanya pada langkah pertama Design Thinking iaitu proses Emphatize. 

Bersama ahli kumpulan (warga MARA) dari seluruh Malaysia yang
sememangnya pakar dalam bidang masing-masing

Coach tidak memberikan arahan yang terlalu terperinci supaya kami dapat bebas berfikir mengikut kreativiti dan pengetahuan masing-masing. Di sini, saya dapat mengambil pengajaran supaya pelajar-pelajar perlu diberikan kebebasan berkreativiti tanpa terlalu bergantung kepada guru terutamanya dalam sesi PDPC. 

Tetapi, pengetahuan terhadap teori perlu ditekankan terlebih dahulu kepada pelajar sebelum dilepaskan untuk berkreativiti supaya mendapat hasil yang mantap mengikut jalan yang betul. 

Setelah tamat sesi dengan Coach, kami diberikan masa dalam lebih kurang seminggu untuk menyiapkan setiap tugasan. Kumpulan kami mengambil inisiatif melakukan perbincangan kumpulan pada setiap hari Khamis/Jumaat melalui platform Microsoft Teams serta Whatsapp dan berkolaboratif melalui akaun Office 365 MARA masing-masing. 

Kami mengedit dokumen Power Point dan Microsoft Word Online melalui fungsi Share yang terdapat dalam Office 365. Selain itu, kami juga menggunakan Wakelet, Onedrive dan aplikasi pendidikan Thinglink sebagai pendokumentasian segala nota dan hasil tugasan bagi memudahkan rujukan pada masa akan datang. 


Perbincangan dan edit tugasan melalui Word/Power Point Online Office 365

Proses ini berlangsung selama hampir sebulan dengan pertemuan rasmi bersama Coach pada setiap hari Selasa dan perbincangan kumpulan pada setiap Khamis/Jumaat (kumpulan kami). Pelbagai jenis tugasan perlu disiapkan dengan matlamat utamanya para jurulatih dapat menyediakan beberapa jenis modul untuk kegunaan bengkel-bengkel inovasi anjuran MARA.

Para peserta juga melakukan soal jawab dan perkongsian melalui Telegram rasmi kursus di mana pihak Coach menjawab segala persoalan. Nota-nota, rakaman video sesi rasmi dan maklumat kursus diedarkan juga melalui Telegram. 

Kumpulan kami mengambil inisiatif mengumpulkan sebahagian nota dan semua tugasan dalam platform Wakelet dan Thinglink. Wakelet dan Thinglink adalah dua jenis platform pendidikan untuk menyusun atur dokumentasi daripada pelbagai jenis link atau pautan yang terdapat di internet. Kami menyimpan kebanyakan nota dalam ruangan One Drive, kemudian menghubungkan nota-nota tersebut melalui Wakelet dan Thinglink. Kedua-dua aplikasi percuma ini sangat berbaloi untuk digunakan terutamanya oleh golongan pendidik.

Tugasan yang dihasilkan menggunakan platform Thinglink. Klik di sini.

Koleksi nota & tugasan kumpulan dikumpulkan dalam Wakelet. Klik di sini.

Kursus ini diakhiri dengan pembentangan modul akhir dari setiap kumpulan. Modul-modul yang ditambahbaik melalui sesi bersama pihak Coach ini dihantar kepada pihak konsultan untuk dimajukan kepada pihak MARA sebagai cadangan untuk digunakan dalam bengkel-bengkel inovasi anjuran MARA iaitu Junior Innovation Lab (JIL), Staff Innovation Lab (SIL), Youth Innovation Lab (YIL) dan Entrepreneur Innovation Lab (EIL).  

InsyaAllah, khidmat para jurulatih akan diperlukan untuk menyebarkan ilmu inovasi terutamanya Design Thinking, BMC dan lain-lain kepada warga MARA dalam siri bengkel inovasi selepas ini. Ilmu pengetahuan yang diperolehi sepanjang kursus ini sangat berharga kerana ia sememangnya terbukti berjaya dalam melahirkan produk-produk inovasi super. Terima kasih Bahagian Inovasi dan Teknologi Kreatif MARA dan pihak Coach Khairul Anwar atas pengalaman yang sangat berharga ini.

 

 


Comments