Cikgu dan Tik Tok


Cikgudaninovasi pada masa ini sedang melebarkan sayap ke saluran Tik Tok. Walaupun agak lambat sedikit bermula di Tik Tok berbanding rakan-rakan pendidik yang lain, saya melihat masih luas lagi ruang yang boleh diisi untuk memenuhkan Tik Tok dengan konten berkaitan pendidikan.

Medan Tik Tok yang sememangnya popular dengan konten berbentuk ringan dan hiburan perlu diimbangi dengan konten berbentuk pendidikan kerana di sinilah generasi muda remaja berkumpul dan bersosial di alam maya. 

Jika mereka selalu terdedah dengan konten hiburan yang kurang bermanfaat, budaya hedonisme akan berakar umbi dalam diri yang akhirnya akan membentuk generasi yang kurang menghargai budaya ilmu. Kita perlu mengambil peluang mempromosi ilmu dalam mana-mana platform termasuk Tik Tok.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab orang yang lebih tahu, para ilmuwan dan saya memfokuskan kepada para pendidik untuk membentuk budaya cintakan ilmu dalam kalangan generasi ini. 

Segmen belajar Jawi yang sedang diusahakan di TikTok Cikgudaninovasi

Tik Tok untuk tujuan pendidikan boleh menerapkan konsep didik hibur jika ingin mengikut trend. Selain didik hibur, dengan pendekatan serius pun boleh juga. Pada pendapat saya, terpulang mengikut kesesuaian konten kita. 

Daripada pemerhatian ringkas, saya dapat melihat ramai pendidik menggunakan Tik Tok untuk berkongsi tentang topik pembelajaran dengan cara ringkas tetapi menarik. Ramai yang berkongsi berkongsi tentang tips ilmu, fakta yang menarik, tutorial ringkas dan pelbagai lagi berdasarkan kreativiti masing-masing.

Tik Tok dan media sosial yang ada pada masa kini adalah hasil daripada peredaran zaman. Kita dapat melihat bagaimana sistem pendidikan beradaptasi dengan peredaran zaman seperti papan hitam bertukar kepada papan putih, beralih kepada penggunaan OHP berkembang kepada projektor LCD, beralih pula kepada Smart Board dan lain-lain. 

Maka, tidak hairanlah medium komunikasi dalam bidang pendidikan yang menghubungkan di antara guru dan pelajar seperti Tik Tok dan media sosial yang lain boleh menjadi medan pembelajaran yang boleh digunakan demi kebaikan sistem pendidikan itu sendiri. 

Kesimpulannya, cepat atau lambat, kita pasti perlu beradaptasi dengan kemunculan teknologi baru. Apa pun platform yang kita gunakan, pastikan ia membawa manfaat dan kembali kepada tujuan asal pendidikan iaitu menuntut ilmu untuk mendapat keredhaan-Nya. 

Ikuti Tik Tok cikgudaninovasi di pautan ini https://www.tiktok.com/@cikgudaninovasi?lang=en😊

 


Comments