Bodoh-bodoh

Isu yang hangat. Perlawanan di antara yang menyokong dan tidak, nampak seimbang. Kita lah pengadilnya, di pihak mana kita, itu pilihan masing-masing. Tak berhajat nak menyentuh tentang bodo*-bodo* dalam soal rumahtangga atau jodoh. Cuma nak sentuh tentang kehidupan kita hari ini.


Situasi 1 (Membina hubungan)

Satu masa, aku mencari alasan macam mana nak membina hubungan dengan guru-guru. Bilik guru adalah satu tempat yang best tapi jarang-jarang pelajar dapat pergi sebab tiada urusan. Ada satu perkataan, Modus Operandi, masa tu aku tak faham apa maksudnya. 

Sebenarnya, boleh je tanya kawan yang pandai BM. Tapi aku jadikan ni alasan nak bina hubungan baik dengan guru, orang kata buat bodo*-bodo*. Lalu aku ke Bilik Guru, jumpa cikgu BM, aku tanya pada dia. 

Cikgu buka kamus, tulis atas kertas, bagi pada aku jawapan bertulis dan explain dekat aku maksudnya. Cikgu buka kamus bukan cikgu tak tahu, tapi cikgu tunjuk proses yang betul bagaimana mencari jawapan. Itu menjadi titik tolak pertama untuk membina hubungan dengan orang lain.

Kadang-kadang, kita kena berbodo*-bodo* dahulu sebelum berbijak-bijak kemudian terutamanya dalam mencari ilmu.


Situasi 2 (Merendah diri)

Kebergantungan kita dengan teknologi sangat tinggi. Nak cari arah jalan sekarang ini sangat mudah. Hanya dengan Waze, Google Maps atau mana-mana apps. Dulu, ramai yang berhenti ke stesen minyak untuk tanya arah jalan pada pekerja di situ. 

Tidak kira status, kereta besar ke kereta kecil ke, apa pun bangsa dan warna kulit, kita sapa mereka dengan sopan, bagi salam tanya arah, ucap terima kasih atas pertolongan yang nampak kecil tapi sangat bermakna. 

Kita buat banyak kali setiap kali tak tahu arah jalan. Ternyata, bodo*-bodo* itu melatih diri bersifat sopan, menghargai dan mengucapkan terima kasih (perkataan yang berat bagi sesetengah orang). 

Sifat rendah diri, kemahiran bergaul, menghargai orang lain semakin terhakis. Mungkinkah teknologi puncanya?


Situasi 3 (Negatif)

Orang kita ada alergik tentang beberapa perkara sejak dahulu lagi. Alergik dengan orang yang buat-buat pandai sehingga wujud momokan dan gelaran pada orang yang sebegini. Gelaran poyo misalnya. Ramai antara kita tak berani ke depan bercakap di khalayak, malu alah nak sumbangkan idea dalam mesyuarat, sampai nak bertanya itu ini, macam-macam soalan pun tidak mahu. 

Kerana momokan takut digelar poyo (pandai konon), atau paling risau takut orang anggap kita bodoh, tak tahu apa. 

Bodo*-bodo* pada situasi ini dah jadi kebiasaan orang kita. Bodo*-bodo* ini jangan dibiarkan membarah. Orang kita kena kritis dan selalu bertanya supaya jadi check and balance macam dalam parlimen. 


Kesimpulan

Apa pun pandangan dan pendapat orang tentang perkara ini, kita kena saling menghormati. Netizen kita dalam soal mengecam tidak pernah memilih bulu sehingga Israel pun boleh goyang dek budaya mengecam orang kita. 

Cuma aku mengimpikan suatu masa, budaya puji memuji di media sosial sama kuatnya dengan budaya kecam-mengecam. Artis ke kita, pemimpin ke kita, jutawan ke kita (orang yang selalu dikecam), kita hanya insan biasa yang punya hati dan perasaan. Pasti terkesan dek kecaman.

Bak kata pepatah, mata pena itu (baca:keyboard) lebih tajam daripada mata pedang.

Comments