Walaupun bekerja dari rumah dan melaksanakan PdPR, cikgudaninovasi juga terlibat dengan beberapa aktiviti dan program dalam talian. Walaupun agak sedikit sibuk, cikgudaninovasi berasa sangat bermotivasi dalam melalui hari-hari pada bulan Jun ini.
Antara kenangan yang begitu memotivasikan cikgudaninovasi adalah:
- Kursus Asas Penjurian MARA
Alhamdulillah, baru-baru ini cikgudaninovasi berkesempatan mengikuti kursus asas penjurian anjuran pihak MARA. Kursus ini disertai oleh lebih kurang 50 orang kakitangan dan pihak pengurusan tertinggi MARA sebagai latihan menjadi juri bagi pertandingan-pertandingan inovasi. Kursus ini dijalankan secara dalam talian menggunakan medium Zoom dan Microsoft Teams.
Antara ilmu yang diajarkan kepada kami ialah bagaimana menilai produk inovasi berdasarkan kaedah Technology Readiness Level (TRL) yang digunakan oleh pihak NASA. Kaedah TRL yang mempunyai 9 peringkat inovasi sangat berkesan bagi menilai tahap ketersediaan dan kematangan satu-satu produk inovasi supaya ia berada pada landasan yang tepat untuk dikomersialkan.
Kursus ini dikendalikan oleh PROTEMP Exhibitions & Conferences Sdn Bhd yang sangat berpengalaman dalam mengendalikan pelbagai jenis aktiviti inovasi bersaiz mega seperti Malaysia Technology Expo (MTE) dan lain-lain. Pelbagai jenis ilmu dan kemahiran yang dikongsikan kepada para peserta seperti pemasaran produk inovasi, Business Model, pengkomersialan, Product Fit, Product Positioning, Pitching dan lain-lain.
Sesi dikendalikan oleh beberapa orang penceramah dan inovator yang berpengalaman luas seperti Profesor Madya Dr. Herman dari UTEM dan Encik Hussein Mohd Ariff, Presiden MACRI (Malaysian Assosiation of Creativity and Innovation)
- Majlis Bacaan Yaasin SPM 2021 secara dalam talian
Program ini disertai oleh para pendidik, ibu bapa, pihak pengurusan dan para pelajar MRSM Balik Pulau yang bakal menduduki peperiksaan SPM 2021. Dalam majlis ini, cikgudaninovasi bertindak sebagai moderator dan Jawatankuasa Teknikal dengan mengendalikan sesi bacaan Yaasin menggunakan Microsoft Teams. Penggunaan medium Teams ini tidak menjadi masalah besar kepada kami kerana ia adalah medium rasmi yang digunakan oleh pelajar dan guru sepanjang berlangsungnya PdPR.
Bacaan Yaasin diketuai oleh Ustaz Romei, pendidik MRSM Balik Pulau |
Sesi fotografi di akhir sesi |
Majlis dimulakan dengan ucapan Pengetua, Tuan Haji Khairul Anuar, ucapan wakil ibu bapa pelajar seterusnya bacaan Yaasin diketuai oleh Ustaz Mohd Romei bin Ngah bermula pada pukul 8.00 malam. Setelah selesai bacaan doa penutup, majlis diakhiri dengan sesi fotografi secara beramai-ramai secara dalam talian menggunakan fungsi Together Mode dalam MS Teams. Hadirin begitu teruja sekali dengan sesi ini kerana masing-masing dapat melihat wajah satu sama lain walaupun jarak memisahkan.
- Program "Puberty Science Fact"
Program selama 1 jam 30 minit ini adalah anjuran Dr. Maryam Sulaiman, pendidik di MRSM Balik Pulau. Ia sebagai satu kaedah menjadikan sesi PdPR lebih menarik dengan menjemput profesional untuk bercakap mengenai topik dalam silibus pembelajaran subjek Sains.
Dalam program ini, saya bertindak sebagai moderator dan penceramah jemputan ialah Dr. Zubaidah Md Sani, Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Sultanah Bahiyah. Sesi yang dijalankan secara dialog dan sembang santai ini dapat membuka minda para pelajar Tingkatan 1, MRSM Balik Pulau tentang pentingnya mengenal diri dan persediaan dalam menghadapi akil baligh.
Dr. Zubaidah menerangkan fakta dengan begitu jelas dan memberikan pelbagai contoh menarik sepanjang sesi berlangsung sehingga tidak menang tangan melayan persoalan demi persoalan oleh para peserta. Seminar ini dilangsungkan menggunakan medium Microsoft Teams.
- Mesyuarat Jawatankuasa Alumni Universiti
Saya juga bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang ahli jawatankuasa bagi alumni Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Dapatlah saya menumpahkan semula bakti kepada tempat menuntut ilmu satu ketika dahulu.
Mesyuarat yang dijalankan menggunakan medium Google Meet ini dipengerusikan oleh pensyarah kami, Dr. Nor Raudhah binti Hj. Siren yang kami panggil Bonda. Beliau adalah orang kuat di sebalik penubuhan jawatankuasa alumni yang bernaung di bawah Kelab Mantap Daie.
Pelbagai aktiviti yang kami bincangkan dalam mesyuarat tersebut antaranya bagaimana untuk mempromosikan dan meningkatkan bilangan keahlian kelab alumni, menambah dana kelab, penganjuran program dakwah dan sebagainya.
Saya memegang portfolio ketua Unit Perkaderan, Keahlian dan Alumni dibantu oleh Puan Musfirah. Kami membawa cadangan agar latihan memperkasakan para pendakwah dengan ilmu berkaitan teknologi semasa seperti kemahiran media sosial, suntingan video, literasi teknologi maklumat, pengurusan dokumen secara dalam talian dan lain-lain yang bermanfaat dalam melahirkan Tekno-Daie.
Comments
Post a Comment