Masuk Pertandingan Inovasi i-MARATech 2021


Alhamdulillah, telah selesai penjurian bagi peringkat saringan pertandingan inovasi iMARATech 2021 pada 16 Ogos 2021 yang lepas. Penjurian dijalankan secara langsung menggunakan Microsoft Teams.

Kumpulan kami dianggotai oleh saya sendiri dan Ustaz Mohd Romei sebagai penasihat bahagian modul. Kami berdua dari MRSM Balik Pulau😊


Kali ini kami mencuba nasib bertanding dalam kategori Inovasi Sistem Staf MARA dengan mempertaruhkan produk KENDIRI Online, iaitu platform pembelajaran kendiri bagi pelajar sekolah menengah. Buat masa ini untuk subjek Pendidikan Islam.

Bidang yang sangat mencabar sebenarnya, kerana produk para pesaing canggih-canggih belaka. Kami juga bukanlah daripada latar belakang ICT tetapi melihat kepada pentingnya ICT pada masa kini, kami cuba membuat sumbangan kecil mana yang termampu.

Produk ini menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan dalam masa 1 tahun, apabila telah diakses lebih daripada 5000 kali (bagi Tingkatan 1-5) oleh para pelajar dari seluruh negara.



Terima kasih para juri daripada pihak MARA dan agensi luar yang memberikan kata perangsang, nasihat dan melihat potensi produk ini untuk berkembang dengan lebih jauh lagi. Juga kepada rakan-rakan yang menyebarkan manfaat kepada para pengguna dalam kalangan anak-anak pelajar.



Semoga KENDIRI Online menjadi produk yang menyumbang kepada kecemerlangan akademik para pelajar dan menjadikan mereka lebih cemerlang dalam mengaplikasikan skil pembelajaran secara kendiri yang amat penting sesuai dengan konsep Pembelajaran Abad Ke-21.


Sebahagian dapatan daripada 398 orang pengguna

Apa pun keputusan, menang kalah adalah adat pertandingan. Masuk pertandingan inovasi dapat menjadi platform untuk kami mengetengahkan idea ini dan yang utama kami mendapat komen penambahbaikan dan nasihat yang berharga daripada para juri yang banyak pengalaman.

Kami akan cuba bergerak ke fasa 2 pula untuk bersedia ke peringkat pengkomersilan. Perjalanan yang masih jauh. Doakan kejayaan kami😊








Comments