Praktikal haji menggunakan Minecraft bersama pelajar

Klik untuk menonton video

 Masuknya 1 Syawal bermaksud bermulanya bulan Haji. Para jemaah akan bersiap sedia bagi  mengerjakan haji pada bulan Zulhijah nanti. Bersempena bulan-bulan haji (Syawal, Zulkaedah, Zulhijah) saya mengambil kesempatan mendedahkan kepada para pelajar Tingkatan 4, MRSM Balik Pulau dengan pembelajaran dan praktikal haji dan umrah.

Tetapi kali ini, pembelajaran haji dan umrah dibawakan dengan cara sedikit berbeza. Kami menggunakan Minecraft Education Edition sebagai platform praktikal haji umrah. Dalam Minecraft, sebagai guru kita boleh menghoskan pengajaran dengan membawa 30 orang pelajar pada satu-satu masa secara serentak. Setakat ini, maksimum saya telah mencuba sehingga 25 orang pelajar dan tiada masalah. Pada kali pertama mencuba, hanya kira-kira 10 orang pelajar sahaja berjaya masuk ekoran sedikit masalah teknikal.


Dalam masa 60 minit, saya dapat mendedahkan kepada pelajar tentang rukun-rukun dan perkara wajib umrah seperti yang terdapat dalam silibus Pendidikan Islam Tingkatan 4, KSSM. Tidak sempat menyentuh tentang kaedah pelaksanaan haji tamattuk. Saya akan sentuh tentang haji tamattuk dalam kelas berikutnya nanti.

Secara kesimpulannya, praktikal haji umrah menggunakan Minecraft ini dapat menjadikan kelas lebih ceria dan meningkatkan kefahaman pelajar kerana pelajar dapat melihat dan merasai sendiri situasi sebenar seperti menaiki kapal terbang, berniat di miqat, berehat dan makan-makan di hotel apatah lagi melakukan tawaf, saie, melontar jamrah, bermalam di Muzdalifah, bermalam di Mina, mendaki Jabal Rahmah dan lain-lain walaupun secara maya. 



Berbanding kaedah praktikal sebelum ini, pelajar hanya terdedah dengan melontar jamrah, tawaf dan saie sahaja sedangkan ibadah yang lain hanya dijalankan secara teori atau pun menonton video sahaja. Melalui penggunaan Minecraft, kita boleh juga meningkan sedikit tahap kesukaran sebagai contoh memberikan tugas kepada pelajar untuk melakukan sedikit kajian tentang cara mengerjakan haji tamattuk melalui perbincangan kumpulan kemudian tunjukkan praktikalnya melalui Minecraft. Guru bertindak sebagai fasilitator dan menambahbaik persembahan pelajar.

Melalui kaedah ini, pelajar akan lebih memahami pembelajaran kerana mereka yang berusaha sendiri mencari maklumat kemudian mendapatkan pengesahan daripada guru. Tetapi, pada kali pertama kelas menggunakan Minecraft, saya memilih kaedah berpusatkan guru sebagai membiasakan pelajar dengan penggunaan Minecraft terutamanya berkaitan teknikal. Sesi pertama lebih kepada taklimat dan penjelasan teori. Saya juga melantik satu atau dua orang pelajar sebagai Admin untuk membantu berkaitan aspek teknikal kerana bukan semua pelajar biasa dengan konsep game based learning. Tetapi kebanyakan pelajar sebenarnya lebih bagus pengetahuan mereka berkaitan aspek teknikal game based learning ini berbanding guru. 

Kesimpulannya, Minecraft Education Edition adalah sesuatu yang sangat menarik untuk dicuba terutamanya apabila pembelajaran melibatkan praktikal seperti topik haji dan umrah. Jom kita cuba!

Comments