Content Creator, Course Creator bagi platform MARAFLET bersama tenaga pengajar (Puan Azida & Puan Mahera) dan urusetia. |
Taklimat bengkel oleh Encik Abu Bakar dari Akademi Kecemerlangan MARA. Watak utama di sebalik bengkel. |
Alhamdulillah, aktiviti cikgudaninovasi pada minggu ini dipenuhi dengan bengkel yang begitu menarik iaitu MARAFLET: Transfer of technology.
Bertempat di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur bermula 20 Jun 2022, kami berkampung di sini selama 5 hari bagi membangunkan konten kepada platform LMS (Learning Management System) yang telah dibangunkan oleh Bahagian Inovasi dan Teknologi Kreatif MARA bagi keperluan kursus warga MARA.
Secara peribadi, cikgudaninovasi sangat teruja dengan peluang yang diperolehi ini kerana dapat memberikan sedikit sumbangan terhadap projek hebat.
Dengan adanya LMS yang dibina khas buat warga kerja, ia pastinya dapat meningkatkan penguasaan ilmu dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam di organisasi masing-masing.
Audacity untuk rakaman dan suntingan audio |
Hari-hari awal dimulakan dengan pendedahan kepada aplikasi Audacity. Ia berfungsi sebagai medium untuk pengeditan suara dan muzik.
Ia juga boleh diintegrasikan dengan banyak platform dalam membangunkan sesuatu modul berbentuk video. Audacity sangat menarik dengan pelbagai fungsi walaupun kelihatan ringkas.
Prototaip modul |
Kami juga didedahkan dengan Moodle, satu platform yang boleh digunakan untuk membangunkan LMS. Memandangkan ini pengalaman pertama, cikgudaninovasi agak struggle sikit pada mulanya dalam memahami aspek teknikalnya.
Sedikit pengalaman berkecimpung dalam penulisan blog dan pembangunan Google Sites dapat juga menyumbang kepada kefahaman cikgudaninovasi dalam pembinaan konten menggunakan Moodle.
Para peserta yang hadir juga hebat-hebat belaka dengan kepakaran masing-masing dalam bidang grafik, latihan dan bimbingan, pendidikan seni, teknologi pendidikan, perkomputeran dan lain-lain.
Sepanjang bengkel ini, kami sentiasa bertukar-tukar pengetahuan tentang pelbagai bidang kepakaran masing-masing, saling bantu membantu dan berganding bahu dalam menyiapkan bahan-bahan pembelajaran.
Kami dibimbing oleh dua orang tenaga pengajar dari BITK MARA iaitu Puan Mahera dan Puan Azida yang sangat mahir dalam pembangunan LMS. Cikgu Mohd Azrul juga banyak membantu meningkatkan lagi kefahaman peserta dalam menguruskan sistem tersebut.
Khusyuk mendengar perkongsian ilmu oleh Puan Mahera dan Puan Azida, tulang belakang di sebalik MARAFLET |
Kakitangan yang bakal mengikuti kursus dalam platform ini nanti akan disediakan dengan video pengajaran, bahan-bahan bengkel, kuiz kefahaman dan juga sijil.
Cikgudaninovasi dikumpulkan bersama rakan-rakan yang berpengalaman dengan teknologi pendidikan dan mempunyai pengetahuan asas inovasi.
Maka, berhempas pulaslah kumpulan kami menghasilkan satu set kursus berkaitan Design Thinking daripada modul sedia ada yang perlu disesuaikan dengan keperluan dalam talian. Begitu juga dengan kumpulan yang lain.
Sentuhan juadah oleh Chef Sabri di hotel penginapan, Ideas Kuala Lumpur. Sedap dan menyelerakan hasil sentuhan chef selebriti |
Modul sedia ada hasil susunan pasukan Jurulatih Inovasi MARA tersebut telah digunakan dalam beberapa siri bengkel-bengkel inovasi yang dianjurkan oleh pihak MARA di seluruh negara.
Peranan kumpulan kami adalah memasukkan modul inovasi tersebut ke dalam LMS. Kumpulan-kumpulan lain pula membangunkan kursus yang berkaitan dengan kewangan, etika kerja dan lain-lain.
Reunion dengan orang hebat, Cikgu Marziah dari Ibu Pejabat dan Cikgu Shafika (MRSM KKB). Pernah sama-sama berkhidmat di MRSM Balik Pulau |
Seronok dapat menyapa Tuan Pengarah BPM MARA, Tuan Haji Abd Manab Abd Majid yang pernah berkhidmat sebagai Pengetua MRSM Balik Pulau |
Bengkel seperti ini mampu menjadi satu wahana bagi memartabatkan lagi pembudayaan digital dalam kalangan warga kerja MARA khususnya dalam mendepani cabaran era Industri 4.0 ini.
Terima kasih diucapkan kepada pihak MARA khususnya Akademi Kecemerlangan MARA, Bahagian Inovasi dan Teknologi Kreatif MARA, tenaga penceramah, pihak urusetia dan mereka yang terlibat kerana membuka peluang kepada kami untuk memberikan sedikit sumbangan dalam projek ini.
Comments
Post a Comment