Inovator muda dari bumi Balik Pulau


Bermula 2014, Cikgudaninovasi memulakan langkah sebagai seorang inovator. 2 tahun selepas itu, beberapa kejayaan datang menyinggah dengan terhasilnya Kit Pembelajaran Haji Umrah Al-Mutawwif hasil kerjasama Cikgudaninovasi dengan 2 orang inovator dari Politeknik Balik Pulau iaitu Puan Nurul Adha Rajali dan Encik Mohd Affan Rosli. 


Sejak itu, Cikgudaninovasi berpeluang mengikuti pelbagai kursus, bengkel berkaitan inovasi dan dilantik sebagai Jurulatih Inovasi MARA (JIM). Tugas sebagai JIM ini memberikan peluang untuk Cikgudaninovasi berkongsi sedikit pengetahuan bersama warga kerja, para pelajar IPT (IPMA) MARA dan juga para pelajar MRSM seluruh Malaysia tentang ilmu asas inovasi seperti Design Thinking, Business Model Canvas, Technology Readiness Level, Pitching Deck dan lain-lain.

Alhamdulillah, pengalaman yang ada ini Cikgudaninovasi cuba gunakan juga untuk membimbing para pelajar di MRSM Balik Pulau dalam menghasilkan produk inovasi. Niat Cikgudaninovasi adalah untuk membantu para pelajar ini mengeluarkan potensi diri mereka di samping penyertaan dalam beberapa siri pertandingan inovasi akan dapat menyumbang kepada markah ko-kurikulum mereka. 

Sejujurnya, Cikgudaninovasi hanya berpengalaman menghasilkan produk inovasi sendiri sahaja tetapi kurang pengalaman dalam membimbing projek inovasi pelajar secara langsung. Produk Minecraft Haji Umrah dan Roblox Moneyscape adalah percubaan awal Cikgudaninovasi membimbing produk inovasi pelajar dalam pertandingan. 


Inovasi Minecraft Haji Umrah (MHU)

Inovasi ini adalah susulan daripada inovasi Cikgudaninovasi yang terdahulu iaitu Kit Pembelajaran Haji Umrah Al-Mutawwif. Tetapi, MHU berbeza kerana ia menerapkan pembelajaran haji umrah secara digital sepenuhnya dengan unsur gamifikasi. 

Idea mulanya tercetus ketika era pandemik Covid-19 yang mana ketika itu terdapat kekangan untuk melaksanakan praktikal haji umrah (silibus Tingkatan 4) secara bersemuka. Cikgudaninovasi mewar-warkan kepada pelajar untuk sertai projek pembangunan MHU ini dan 5 orang sukarelawan sudi membantu iaitu Danish, Haikal, Iman Insyirah, Daniel Ezairy dan Diana yang ketika itu menuntut di Tingkatan 3. 

Mereka begitu teruja untuk turut sama membangunkan world Minecraft Haji Umrah lebih-lebih lagi mereka sememangnya punya pengalaman bermain game tersebut. Cikgudaninovasi sebenarnya cuma tahu perkara-perkara asas saja dalam Minecraft yang dipelajari daripada Cikgu Aliff Othman (MRSM Kota Kinabalu), Cikgu Azrul Mustapha (MRSM Merbok), Cikgu Arif (MRSM JB), Encik Zulhilmi (Microsoft Malaysia), Cikgu Fadzli Ishak (KPM, Putrajaya) dll yang sememangnya pakar dalam Minecraft Education. 

Kumpulan pelajar ini menyiapkan projek ini dalam masa 2 minggu sepenuhnya secara dalam talian dari rumah masing-masing. Setelah melalui proses 2 tahun pembangunan dengan beberapa fasa, ditambah pula oleh beberapa kekangan lain, akhirnya projek ini siap sepenuhnya dan melebihi jangkaan asal. Ia juga telah mula digunakan dalam kelas-kelas Tingkatan 4 di MRSM Balik Pulau.



Alhamdulillah, projek ini telah mencapai beberapa kejayaan seperti:
  1. Gold Medal, International Invention, Innovation & Design Competition (I3DC) 2023, UiTM Cawangan Kelantan dll 
  2. Gold Medal, Innovation Exhibition Fair (IEF 2023), Kolej MARA Kulim
  3. Gold Medal dan Anugerah Khas Juri, Innovation Showcase and STEM 2023, Politeknik Balik Pulau
  4. Pengiktirafan Hak Cipta Terpelihara oleh MyIPO (November 2022)
  5. Mewakili MARA dalam Anugerah Inovasi KPLB 2022

Syabas Cikgudaninovasi ucapkan kepada kumpulan pelajar yang terlibat secara aktif sepenuhnya dalam pembangunan projek inovasi ini. Kejayaan yang diperoleh ini hasil daripada usaha gigih tanpa jemu mereka yang akan mengajar mereka erti sebenar kehidupan. Semua ini akan menjadi pengalaman berguna untuk mereka melangkah lebih jauh lagi selepas ini. InsyaAllah, projek ini tidak sia-sia dan akan melangkah ke peringkat pengkomersilan tidak lama lagi. 

Inovasi Roblox Money Scape

Ceritanya, Cikgudaninovasi kongsikan maklumat melalui whatsapp group pelajar tentang satu pertandingan Innovation Showcase and STEM (Inno-STEM) yang dianjurkan oleh Politeknik Balik Pulau kepada para pelajar ketika cuti sekolah. Cikgudaninovasi membuka penyertaan kepada pelajar Tingkatan 5 dan benar-benar berminat sahaja memandangkan tempoh pertandingan hanya sekitar 2-3 minggu sahaja. 

Beberapa hari kemudian, Asyraf (pelajar kelas Cikgudaninovasi) menghantar mesej menyatakan minat untuk menyertai pertandingan bersama sahabatnya Arief kerana ingin mendapatkan markah ko-kurikulum. Ini adalah peluang-peluang terakhir memandangkan mereka berada di Tingkatan 5. Pada Semester 2, pelajar Tingkatan 5 tidak digalakkan menyertai aktiviti luar lagi untuk fokus kepada SPM.


Asyraf menyatakan idea untuk membina Roblox game dan dia ada kepakaran untuk membangunkan game tersebut cuma tiada pengalaman menyertai mana-mana pertandingan berkaitan. Cikgudaninovasi menyahut cabaran untuk membimbing mereka berdua walaupun tidak ada pengetahuan tentang Roblox ini. 

Apa yang Cikgudaninovasi pasti, anak-anak di rumah pernah tergila-gilakan permainan ini suatu ketika dulu tetapi tidak sangka pelajar-pelajar ini bukan setakat tahu bermain tetapi tahu juga membina dan mengekod. Belajar sendiri saja katanya. 



Projek yang asalnya ingin membina game berkonsepkan coffee house (mengajar cara-cara membancuh kopi) akhirnya bertukar menjadi Moneyscape iaitu satu permainan berkonsepkan pengurusan kewangan remaja setelah beberapa sesi perbincangan dan brainstorming dijalankan bersama-sama. 

Dalam masa 2 minggu, diselangi oleh minggu peperiksaan akhirnya sempat juga mereka menyiapkan projek inovasi ini. Usaha mereka berbaloi apabila berjaya memperoleh Gold Medal dalam Innovation Showcase and STEM (Inno-STEM) di Politeknik Balik Pulau tempoh hari. 

Tidak sia-sia mereka bersengkang mata, memerah idea dan tenaga sepanjang membangunkan projek ini.



Cikgudaninovasi hanya berperanan membimbing mereka dari sudut penghasilan laporan, memudahkan penyampaian idea mereka daripada terlalu teknikal kepada penyampaian bersifat analogi, ciri-ciri pengkomersilan dan lain-lain yang boleh dibantu. 

Mereka berdua lebih mengenali produk tersebut secara teknikal. Tahniah dan syabas atas kejayaan Moneyscape yang berjaya menarik perhatian juri dan hadirin dalam program tersebut. Booth Moneyscape telah 'diserang' oleh ramai kanak-kanak kerana sememangya Roblox ini dekat di hati mereka. 


Kesimpulannya, daripada usaha dan keazaman yang ada pada pelajar-pelajar ini, 
Cikgudaninovasi melihat mereka boleh berdikari dan menyumbang sesuatu yang lebih besar kepada komuniti dan negara pada masa akan datang. 

Peranan kami sebagai guru adalah membuatkan pelajar-pelajar ini sedar akan potensi diri yang mereka ada, kemudian membimbing mereka menjadikan potensi diri mereka itu sesuatu yang bukan hanya berguna untuk diri sendiri tetapi bermanfaat untuk masyarakat. 

Comments