Menyuburkan budaya inovasi di sekolah


Kelab Rekacipta MRSM Balik Pulau


Kelab Rekacipta adalah satu ruang untuk Cikgudaninovasi 'berkarya' luar daripada bidang utama Cikgudaninovasi iaitu subjek Pendidikan Islam. Dengan berbekalkan sedikit pengalaman menghasilkan beberapa buah inovasi, berkursus dan berbengkel dalam program anjuran agensi-agensi kerajaan dan swasta seperti Yayasan Inovasi Malaysia, MDEC, Microsoft, latihan sebagai Jurulatih Inovasi MARA dan Content Creator bagi platform pembelajaran dalam talian MARA, berpeluang berguru dengan orang-orang hebat dalam bidang ini seperti Coach Megat Zainurul Anuar, Coach Anuar, Prof Madya Dr Herman, Dr Mad  dan lain-lain lagi menjadikan Cikgudaninovasi sentiasa berkobar-kobar untuk berkongsi sekadar pengetahuan yang ada.

Selain daripada menggunakan blog ini sebagai platform untuk menyebarkan 'syiar inovasi', Cikgudaninovasi juga menggunakan Kelab Rekacipta MRSM Balik Pulau untuk memberikan kesedaran inovasi kepada ahli-ahli kelab tersebut. Konsep Kelab Rekacipta adalah santai-santai dan tidak terlampau akademik kerana tujuan aktiviti kelab juga adalah sebagai jalan mempelajari sesuatu bidang bukan akademik yang menjurus kepada kemahiran.


Disebabkan tujuan kelab ini adalah menanamkan kemahiran asas inovasi, kami menerapkan Design Thinking sebagai salah satu silibus utama. Perjumpaan rasmi adalah 2 kali seminggu sebenarnya tidak cukup untuk menjadikan silibus ini lebih mendalam. Walaubagaimanapun, jika di antara ahli kelab ada yang berminat untuk lebih serius menghasilkan inovasi, kami guru penasihat sedia membantu menjalankan proses bimbingan di luar waktu rasmi. 


Pada awal-awal perjumpaan, para ahli dikehendaki memikirkan satu masalah yang paling berat yang berlaku di persekitaran mereka. Kemudian mereka didedahkan dengan proses Empathize, iaitu pelajar mengeksplorasi permasalahan tersebut sehingga betul-betul mengenali masalah dengan menggunakan alat-alat Empathize seperti Avatar Profile, Customer Empathy Map dan lain-lain.

Kemudian pelajar melakarkan rekaan prototaip mereka menggunakan kaedah sketch dengan menjelaskan secara ringkas bagaimana produk inovasi mereka berfungsi.  Sebelum menghasilkan rekaan prototaip, ahli kumpulan akan melalui proses Define (mengenalpasti masalah) dan Ideate (penjanaan idea) menggunakan alat seperti Need Vs Cost Table, kaedah brainstorming dan wild ideas dan macam-macam lagi. Semua ini tidak didapati dalam mata pelajaran rasmi di sekolah, dan menjadikan Kelab Rekacipta adalah satu aktiviti yang memberikan alternatif dalam membantu mengeluarkan potensi diri pelajar. Proses menghasilkan rekaan produk inovasi ini adalah pembelajaran sepanjang hayat yang penting bagi survival pelajar di luar alam persekolahan. 

Presiden kelab, saudara Haikal Kamaruddin berkongsi pengalaman membangunkan produk
inovasi Minecraft Haji Umrah kepada rakan-rakan kelab

Dalam melaksanakan aktiviti kelab, Cikgudaninovasi suka ia dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar sendiri. Mereka telah memilih presiden dan ahli jawatankuasa kelab daripada tangan mereka sendiri. Justeru, Cikgudaninovasi  sentiasa memberikan para pelajar kebebasan untuk mengekspresikan diri mereka dengan cara kepimpinan mereka sendiri.Semoga aktiviti seperti ini, dapat membangunkan potensi seterusnya menyerlahkan kepimpinan para pelajar. Pendidikan Abad Ke-21 berpusatkan pelajar sentiasa menjadi pegangan Cikgudaninovasi dalam bidang pendidikan yang diceburi ini.

Antara aktivti Cikgudaninovasi membantu menyumbangkan kepakaran
dalam Pertandingan Kalam Jamaie, Tamrin Amali Sains Sosial, MRSM Se-Malaysia

 

Comments