Design Thinking merupakan satu kaedah pemikiran
tersusun yang menjadi satu dasar dalam pemikiran inovasi. Peringkat pemikiran
tersebut ialah Empathy , Define, Ideate,
Prototype dan Test. Sebelum
memulakan sesuatu inovasi, kita seharusnya memulakan inovasi tersebut dengan
menggunakan Design Thinking supaya
inovasi kita memberikan impak yang besar kepada masyarakat sekeliling. Sebelum
sesuatu hasil inovasi itu dikomersialkan, ia perlu melalui antaranya Design Thinking supaya apa yang
direkacipta itu benar-benar keperluan dan hasilnya tidak menjadi sia-sia.
Design Thinking boleh diibaratkan sebagai satu
alat untuk mengukur keperluan inovasi. Kadangkala, apabila kita menghasilkan
sesuatu inovasi, ianya tidak benar-benar perlu kerana beberapa faktor seperti
memakan kos yang terlalu tinggi, tidak menyelesaikan masalah yang besar,
ciptaan yang rumit, tiada unsur komersial dan sebagainya.
Design Thinking telah menjadi amalan dan menjadi
kunci kejayaan beberapa syarikat besar di seluruh dunia seperti Apple, Nestle
dan sebagainya. Institusi Pendidikan Tinggi tersohor seperti MIT telah
menawarkan program diploma khas bagi pemikiran Design Thinking yang secara
tidak langsung menunjukkan kepentingannya dan keperluannya pada zaman Industri
4.0 ini. Para penggiat teknologi dan innovator tempatan masih belum terlambat
untuk mengaplikasikan ilmu Design
Thinking dalam kegiatan inovasi mereka.
Inovasi
kita perlu berpusatkan dan menjadi titik pertemuan 3 aspek ini iaitu people, technology dan business. Produk inovasi yang direka berdasarkan human centred akan berjaya menembusi kehendak pengguna kerana ada 'jiwa' manusia yang diterapkan dalam produk tersebut. Kesediaan teknologi semasa dan faktor perniagaan juga perlu diambil kira supaya ia berjaya di pasaran kelak.
Mari kita
kenali secara ringkas tentang 5 peringkat Design
Thinking yang sepatutnya dilalui oleh para innovator yang ingin memulakan
sesuatu ciptaan baru.
- Empathy
Empathy merupakan
peringkat paling awal yang perlu dilalui oleh para innovator sebelum memulakan
sesuatu inovasi. Pada peringkat ini, kita perlu mengenali dengan sebenar-benar
kenal para pengguna utama hasil ciptaan kita. Kita perlu benar-benar faham akan
keperluan pengguna dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.
Peringkat Empathy sangat penting kerana ciptaan kita nanti adalah berdasarkan
masalah yang benar-benar dihadapi oleh pengguna bukan masalah yang direka-reka
oleh inovator. Menjadi tanggungjawab innovator untuk membantu memudahkan dan
menyelesaikan masalah yang benar-benar berlaku bukannya dengan
bersangka-sangka.
Antara
kaedah yang boleh dijalankan untuk melihat sesuatu masalah adalah melalui
kaedah temuramah, observasi, aduan masalah dan sebagainya. Setelah menemui
masalah sebenar pengguna, inovator perlu mengumpulkan segala maklumat yang
diperolehi dan menyusunnya mengikut kepentingan mana satu inovasi yang perlu
segera dihasilkan bagi menyelesaikan masalah yang paling kritikal di antara beberapa
masalah yang timbul.
Sebagai
contoh, seorang inovator ingin mencipta beg sekolah rendah mendapati beberapa faktor
seperti[ff1] beg berat,
ruang yang kecil, beg cepat koyak dan fesyen menjadi masalah kepada pelajar
sekolah yang ditemuramah. Setelah menyusun masalah tersebut, innovator
mendapati masalah beg berat menjadi masalah paling utama yang diperkatakan oleh
pengguna berbanding masalah yang lain. Kemudian inovator meneruskan kerja
inovasi menyelesaikan masalah beg berat tadi dengan mencipta beberapa kaedah
seperti ciptaan beg sekolah beroda atau boleh terapung sebagai satu langkah
menyelesaikan masalah utama tersebut. Tindakan innovator menemuramah bakal
pengguna dan mendalami masalah mereka sebelum memulakan sesuatu inovasi adalah
satu langkah emphaty yang tepat.
2. Define
Define
merupakan langkah kedua dalam Design Thinking. Setelah mengetahui
masalah-masalah yang dihadapi oleh para pengguna, tiba masa untuk kita menyusun
masalah tersebut dengan lebih sistematik. Ia seperti peringkat tapisan kepada
masalah-masalah yang kita jumpa ketika di peringkat Emphaty. Hal ini bagi
memudahkan kerja-kerja inovasi yang ingin dijalankan nanti supaya lebih
berfokus dan dalam kemampuan innovator. Kemampuan yang dimaksudkan seperti
aspek kewangan, logistik, sumber, fizikal dan mental.
Setelah
proses tapisan dijalankan, kita dapat mengetahui sama ada inovasi tersebut
bersesuaian dengan kita atau ia benar-benar akan menyelesaikan masalah atau pun
tidak. Jika kita dapati masalah yang bakal diselesaikan itu sebenarnya tidak
perlu, kita agak beruntung kerana telah mengetahuinya lebih awal dan tidak
perlu menghasilkan satu rekaan yang tidak berbaloi atau tidak ada keperluan.
Kita boleh bermula semula dan mencari masalah lain untuk diselesaikan.
Sebagai
contoh, beg sekolah yang ingin dihasilkan itu setelah ditimbangtara adakah ia
di peringkat segera boleh dihasilkan kerana tidak menelan kos yang tinggi
dengan sumber yang mudah didapati atau ia di peringkat yang perlu ditangguhkan
kerana kos yang tinggi dan masih tidak disokong oleh teknologi yang ada
sekarang.
- 3. Ideate
Ideate
adalah peringkat ketiga yang menunjukkan kita benar-benar telah fokus
menghasilkan rekacipta kerana telah mengetahui masalah sebenar yang ingin kita
selesaikan. Pada peringkat ini segala usaha untuk memulakan prototaip
penciptaan nanti telah dikenalpasti. Menghasilkan inovasi amat memerlukan usaha
berkumpulan. Adalah satu kelebihan innovator menjalankan usaha inovasi secara
berkumpulan kerana ia boleh menjadi check
and balance kepada usaha mulia menghsailkan inovasi yang bakal memberikan
impak besar dalam menyelesaikan masalah pengguna. Pada peringkat ini, brainstorming adalah salah satu kaedah
yang boleh digunakan untuk menghasilkan rekaan.
Rekaan asas
lengkap dengan aspek teknikal menjadi asas penting pada peringkat ini sebelum
melangkah ke peringkat menghasilkan prototaip.
- 4. Prototype
Peringkat
ini merupakan antara peringkat terakhir bagi satu-satu inovasi. Prototaip tidak
semestinya satu perkakasan yang lengkap dan sedia untuk dipasarkan. Prototype
cuma mewakili sebahagian kecil fungsi utama inovasi yang ingin dibangunkan.
Istilah ini dipanggil MVP iaitu Minimum Viable Prototype.
Fungsi
prototype antara lain memberikan kefahaman yang jelas kepada para pengguna
tentang inovasi yang ingin dibangunkan. Ia sangat penting bagi menguji sejauh
mana prototype itu berfungsi dan boleh digunapakai ketika sudah siap sebagai
satu produk yang lengkap. Proses ini juga dapat menjimatkan kos kerana
innovator tidak perlu menyiapkan keseluruhan produk, cuma menyediakan
sebahagian kecil fungsi utama inovasi yang ingin dibangunkan.
Sebagai
contoh, produk i-phone sebelum diperkenalkan ke khalayak pengguna, prototype-nya hanya
disediakan sebagai konsep melalui kadbod sahaja. Apa yang penting pada
peringkat ini, kita benar-benar tahu cara inovasi kita berfungsi dan menyediakannya
untuk diuji oleh pihak pengguna atau pun mereka yang berkepakaran. Ruang yang
luas untuk penambahbaikan akan diterima pada peringkat ini jika sesi ujian
nanti melihat banyak lagi kekurangan yang boleh ditambahbaik.
- 5. Test
Peringkat
test ini adalah peringkat akhir bagi Design Thinking bagi sedia menguji
sepenuhnya prototype yang kita hasilkan. Jika seluruh peringkat Design Thinking
kita lalui dengan betul dan bersungguh-sungguh, sepatutnya di peringkat test
ini kita tidak punya banyak masalah dan sudah jelas dengan tujuan penciptaan
inovasi kita. Tetapi, jika terdapat masalah yang dikenalpasti, kita masih boleh
membaikinya dan mengenalpasti pada peringkat mana kekurangan yang ada. Pada
peringkat test ini, kita harus membuka minda dan berfikiran terbuka dengan
segala komen dan cadangan penambahbaikan yang diperolehi. Segala cadangan dan
komen perlu dititikberatkan supaya produk akhir kita nanti akan benar-benar
memberikan manfaat yang maksimum kepada pengguna.
Rumusannya,
proses Design Thinking sebenarnya telah berbukti berkesan dan telah menjadi
amalan syarikat-syarikat besar dalam bidang teknologi untuk membangunkan produk
mereka yang bersifat inovatif. Syarikat-syarikat ini memerlukan alat pemikiran
seperti Design Thinking bagi mengukur keperluan sebenar pengguna terhadap hasil
ciptaan mereka kerana persaingan dalam bidang teknologi sangat sengit dan
memerlukan mereka mengeluarkan daya cipta baharu yang memberikan impak besar.
Jika tersilap langkah dalam penghasilan inovasi baharu, mereka akan mengalami
kerugian yang bukan sedikit.
Dalam
konteks tempatan, inovasi di Malaysia telah
berkembang pesat sejak sekian lama tetapi banyak juga inovasi yang hebat
terbengkalai begitu sahaja kerana beberapa faktor seperti masalah kos
penghasilan yang tinggi dan keperluan semasa yang tidak begitu memerlukan hasil
inovasi mereka. Sudah tiba masanya, ilmu Design Thinking menjadi asas
pengetahuan kepada para innovator hebat tempatan supaya produk inovasi yang
mereka hasilkan lagi selepas ini didasari dengan alat pemikiran yang betul
seterusnya terus relevan bukan sahaja di dalam negara malah di seluruh dunia.
Comments
Post a Comment