Coretan: Bersediakah cikgu-cikgu untuk Industri 4.0? 



Sebagai guru, kita biasa juga mendengar istilah Industri 4.0 ini. Tetapi jarang-jarang kita ambil tahu kerana kita merasakan ia tiada kaitan dengan bidang tugasan kita sebagai pendidik. Kita anggap Industri 4.0 ini hanya relevan dan perlu diambil berat oleh pihak industri atau pun mereka yang berkaitan dengan bidang teknikal sahaja. Tetapi tahukah kita bahawa sebahagian daripada perkara yang dititikberatkan dalam Industri 4.0 adalah melibatkan bidang pendidikan? 

Mari kita telusuri serba sedikit mengenai Industri 4.0 ini. Melalui kefahaman saya daripada pembacaan, perbincangan dan rujukan di laman-laman berkaitan, Industri 4.0 ialah satu bentuk industri bentuk baru yang mengutamakan penggunaan komputer dan internet secara automatik bagi menghasilkan sesuatu produk atau output. Dengan menggunakan beberapa prinsip secara bersepadu seperti automation, cloud computing, cyber-physical system dan beberapa kaedah terkini yang lain ia secara langsung telah menyebabkan perubahan besar dalam industri sehingga akhirnya mencetuskan revolusi industri yang berbeza dengan kaedah yang digunakan dalam industri sebelum ini.  

Industri 4.0 bukan muncul secara tiba-tiba. Ia bermula dengan rentetan sejarah yang panjang sejak bermulanya revolusi industri di benua Eropah yang mengaplikasikan teknologi perkilangan menggunakan kuasa stim dan arang batu. Kemudian beralih ke Industri 2.0 yang menggunakan kuasa elektrik dan konsep assembly line sebagai contoh penghasilan kereta secara besar-besaran oleh syarikat Ford di Amerika syarikatKemudian revolusi terhasil lagi dalam bentuk yang lebih terkini apabila teknologi komputer dan automation diperkenalkan. Revolusi komputer sejak kewujudan Lembah Silikon di Amerika Syarikat telah bertebaran di seluruh dunia. Dan pada masa kini, sejak istilah Industri 4.0 mula didengari dari negara Jerman pada tahun 2013, dunia melangkah ke era baru industri dengan penerapan Cyber Physical Systems dalam sektor tersebut. 

Hal ini bermaksud, pada masa kini dan akan datang, penguasaan ilmu berkaitan komputer dan siber sangat dititikberatkan untuk keperluan industri. Skop dan peluang pekerjaan dengan penggunaan komputer sepenuhnya bakal dan sedang diterapkan dalam industri. Kaedah pembelajaran pelajar pada masa kini haruslah berteraskan ilmu berkaitan komputer dan internet kerana pada masa akan datang, kemahiran mereka dalam dua bidang ini amatlah diperlukan. Sebagai guru, kita berperanan penting bagi menghasilkan modal insan yang relevan untuk keperluan Industri 4.0. PAK 21 adalah jawapannya untuk menghasilkan modal insan yang menyeluruh potensi dirinya tetapi haruslah juga dilengkapi dengan keupayaan digital yang mantap.  

Menurut laporan portal berita Astro Awani bertarikh 7 Januari 2017, Ketua Pegawai Eksekutif KnowledgeCom Corporation Sdn Bhd S.T Rubaneswaran berkata dipetik berkata kebanyakan industri Malaysia masih berada dalam Industri 2.0 yang berasaskan buruh. Begitu juga dengan Industri pendidikan. Kemahiran Digital (Digital Literacy) perlu dititikberatkan pada masa kini sama banyak dengan penekanan kita terhadap kemahiran seperti LINUS dan 3M (membaca, menulis, mengira) pada masa kini

Kita tidak mahu ketinggalan di belakang atau lebih jauh lagi. Sesuatu yang besar sedang diusahakan oleh pihak kerajaan bagi menghadapi arus Industri 4.0. Dan sesuatu yang besar juga boleh diusahakan oleh kita sebagai guru dalam mendidik generasi pada masa kini untuk mempersiapkan diri dalam membentuk generasi Celik Digital dengan mengamalkan PAK 21 dalam pengajaran dan pembelajaran seharian kita.  













Comments