Alhamdulillah, tahun 2019 sudah menjelma. Selamat tahun baru diucapkan kepada semua cikgu-cikgu dan rakyat Malaysia khususnya. Semoga tahun ini menjadi pemangkin semangat untuk kita terus berinovasi.
Saya mengambil kesempatan sempena 1 Januari 2019 untuk melancarkan blog cikgudaninovasi@blogspot.com ini untuk berkongsi sedikit sebanyak maklumat dan sedikit ilmu yang ada mengenai inovasi. Alhamdulillah, sejak 10 tahun berkecimpung dalam dunia Pendidikan saya dapat melihat perubahan yang begitu pesat dalam bidang ini. Ramai yang melihat ini satu cabaran tetapi saya melihat ini satu peluang untuk cikgu-cikgu lebih berinovasi kerana para pelajar pada masa kini berdepan dengan pelbagai masalah baru dalam kehidupan mereka terutamanya dalam "pergaulan seharian" mereka dalam media sosial dan ruang internet.
Setiap inovasi baru lahir daripada percubaan untuk menyelesaikan masalah. Sebagai contoh, ramai pelajar mengalami masalah mengantuk ketika pembelajaran dalam kelas. Jika masalah tersebut disebabkan oleh kurangnya minat pelajar terhadap subjek yang kita ajar, sesuatu perlu dilakukan. Konsep BYOD (Bring your own devices) boleh diaplikasikan dengan setiap pelajar diwajibkan menggunakan telefon pintar mereka dalam sesi pembelajaran kelas kita bagi menambahkan ciri-ciri menarik dalam subjek yang kita ajar.
Sebagai guru, kita berdepan dengan pelbagai bentuk tugas yang menuntut perahan tenaga dan mental kita untuk menyelesaikannya. Ramai yang melihat ini sebagai bebanan dan dalam keadaan sekarang kita masih belum dapat mengelakkannya. Justeru, kita tiada pilihan dan kita cuba ubah mindset untuk melihat semua beban sebagai peluang. Kalau tidak banyak, sedikit sentuhan inovasi mampu mengubah cara kerja kita ke arah yang lebih baik
Cukup rasanya sebagai pembukaan sempena pelancaran blog ini. Semoga saya dapat terus beristiqamah dalam bidang penulisan blog ini. Walaupun agak sedikit lewat menceburi bidang ini iaitu setelah 10 tahun berkhidmat sebagai guru, tapi saya gagahkan juga untuk mula belajar dan explore sesuatu yang baru dan sesekali baik juga untuk keluar dari zon selesa. Cabaran adalah peluang. Ilmu yang ada walaupun sedikit perlu kita kongsikan supaya ia bermanfaat kepada orang lain. Seperti satu hadis nabi riwayat Al-Baihaqi yang bermaksud, seutama-utama manusia adalah seorang mukmin yang berilmu. Jika dia diperlukan, maka dia memberi manfaat. Jika tidak diperlukan, maka ia dapat memberi manfaat kepada dirinya sendiri.
Tahniah tuan. Moga terus berjaya
ReplyDeleteterima kasih ats doa puan:)
ReplyDelete