inovasi Diri dengan Menulis 2

Menyedari sedikit bakat yang ada dalam menulis, saya memaksa diri untuk mengasah bakat tersebut. Keinginan menulis berkobar-kobar tetapi latihan untuk mengasah sangat sedikit. Tidak dijadikan amalan disiplin harian. Hal ini telah menyebabkan bakat tersebut luntur sedikit demi sedikit. Agak sukar berjuang dalam bidang ini kerana kita perlu meluangkan masa setiap hari untuk menulis. Begitulah pandangan rakan-rtakan penulis yang saya temui. 
  
Namun, di samping kecenderungan menulis esei dan karangan sangat kurang, saya cenderung untuk menulis puisi dan sajak sepanjang tempoh pembelajaran di peringkat universiti. Tetapi sajak-sajak yang saya hasilkan lebih kepada untuk memenuhi keperluan diri dan sekadar ekspresi terhadap diri sendiri. Ia hanya berbentuk latihan dan saya tidak bercadang menceburkan diri ke bidang komersial. Dengan menulis sajak, saya berasa tenang dan jiwa terisi. Itulah kelebihan peribadi yang saya dapat. Apabila tekanan dalam jiwa berlaku akibat keadaan sekeliling berjuang dalam pembelajaran di peringkat universiti. Sehingga apabila tamat tempoh pembelajaran di peringkat ijazah sarjana muda, saya berjaya menghasilkan antologi puisi dan cerpen sendiri. Sekali lagi, ia sekadar koleksi peribadi dan tidak bersedia untuk dikongsikan kepada khalayak umum.  
Disebabkan minat dan kecenderungan dalam bidang sastera, saya mengambil keputusan untuk mengambil subjek minor media dalam bidang kewartawanan dan perfileman. Beberapa pengalaman berharga yang saya perolehi ketika menjadi pelajar minor media seperti ketika berpeluang menjalani praktikal selama 3 bulan di Radio Televisyen Malaysia di Radio Nasional FM ketika itu menghadirkan peluang buat saya untuk mengetengahkan bakat penulisan saya sehingga ke corong radio. Saya telah diberi peluang oleh staf Nasional FM ketika itu yang saya panggil Kak Siti Hajar untuk menyumbangkan beberapa skrip drama radio kanak-kanak dalam Rancangan Bintang Hati. Dapatlah karya saya dikeudarakan dan dilakonkan oleh pelakon kanak-kanak seminggu sekali. Ini telah menyuntik semangat kepada saya untuk terus menceburkan diri dalam bidang penulisan kreatif komersial. Saya diberikan saguhati oleh Kak Siti Hajar atas sumbangan skrip drama tersebut. Kak Siti Hajar memberitahu saya sebenarnya mempunyai bakat terpendam dalam penulisan skrip drama dan menggalakkan saya untuk terus berkarya. 

Sedikit demi sedikit saya mula menceburkan diri dalam bidang penulisan komersial sehingga sampai satu masa saya telah diberikan peluang oleh pensyarah saya, Prof Madya Mohamad Kamil Ab Majid, Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Universiti Malaya untuk menulis buku berkaitan tokoh Islam antarabangsa yang akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Ketika itu saya bertugas sebagai Pembantu Penyelidik di Universiti Malaya. Alhamdulillah, berkat peluang yang diberikan saya berjaya menyiapkan sesalinan deraf buku bertajuk Al-Syahid Hasan Al-Banna Pengasas Ikhwan Muslimin dengan kolaborasi Bersama Sohibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan sekarang, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri. Alhamdulillah setakat ini ia telah diulang cetak sebanyak dua kali. Sejujurnya saya sangat kerdil jika dibandingkan dengan beliau. Sifat rendah diri beliau amat saya kagumi dan sememangnya beliau merupakan antara penulis prolifik yang wajar dijadikan contoh buat semua. Ini merupakan kejayaan peribadi saya dan seharusnya saya tidak boleh berpuas hati setakat itu sahaja kerana ilmu yang ada perlu disyiarkan dan dikongsikan bersama umat Islam yang lain khususnya. 



Kesimpulannya, penulisan merupakan salah satu cara eskapisme dalam menghadapi tekanan hidup. Penulisan yang saya maksudkan sama ada penulisan ilmiah atau penulisan kreatif. Tetapi dengan situasi masa kini, ramai juga mereka yang suka menulis di media-media sosial sebagai satu bentuk perkongsian pengalaman atau perkongsian ilmu. Itu juga baik untuk mengasah bakat dan eskapisme diri. Namun penulisan di media sosial perlu dilaksanakan dengan etika yang betul. Etika kewartawanan pada masa kini bukan sahaja tertakluk kepada para wartawan sahaja tetapi ia perlu melibatkan semua pengguna media sosial. Pepatah Melayu lama, terlajak perlu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya masih lagi sangat relevan untuk digunakan pada masa kini 
  
Satu lagi pengajaran yang saya dapat daripada pengalaman peribadi seperti yang saya nyatakan, kita perlu berani untuk berkongsi idea jika punya bakat menulis. Menulis untuk sekadar ekspresi diri sahaja hanya berguna untuk diri sendiri sahaja tetapi alangkah baiknya penulisan tersebut dapat dikongsikan sehingga memberikan kesan yang baik kepada orang lain. Jika tidak ramai yang terkesan, cukup sekadar memberikan kesan kepada khalayak yang sedikit sekurang-kurangnya ia dapat dimanfaatkan oleh orang lain dan mudah-mudahan ia dapat menjadi amal jariah yang dapat memberikan kebaikan di dunia dan akhirat. Itulah sasaran dan visi kehidupan kita yang perlu kenang semula. 

Comments