Inovasi diri dengan menulis

Minat menulis saya memang wujud sejak di sekolah rendah lagi. Pernah juga menyumbang artikel ringkas tentang sejarah penciptaan telefon dalam majalah sekolah rendah (Sek. Ren. Keb. Ismail 2, Muar, Johor) ketika belajar di Darjah 6. Zaman Budak-Budak masa tu internet pun belum kenal lagi, gagah juga mencari bahan bacaan di Perpustakaan Awam Muar. Berkat sedikit kesungguhan dan sifat ingin mencuba, bejaya juga artikel tersebut tembus dalam cetakan majalah sekolah. Rasa seronok kerana pertama kali penulisan sendiri terpampang di majalah. Dapat lah menjadi kenangan terakhir sebelum meninggalkan alam sekolah rendah. Pendidikan formal tentang penulisan tentulah tiada tapi dengan minat menjadikan kita berupaya melakukannya. Di mana ada kesungguhan di situ ada jalan.


Latar belakang penulisan saya tidaklah begitu hebat. Melangkah ke sekolah menengah (Sek. Men. Agama Kerajaan Johor, Kluang) saya menulis secara kecil-kecilan. Terasa seolah membazirkan bakat yang ada kerana sejak Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 3 saya tidak mendidik diri dengan disiplin menulis. Minat tinggal minat, hanya tersemat di dalam hati dan kotak fikiran. Tak terluah di muka kertas. Tetapi sepanjang 3 tahun tersebut saya melibatkan diri dengan menulis lagu-lagu ciptaan sendiri. Mata pelajaran yang susah seperti Sejarah dan Sains saya reka lagu sendiri untuk mengingat fakta. Ada juga lagu-lagu jiwang karat saya ciptakan untuk hiburan diri sendiri dan kawan-kawan sahaja. 


Masih lagi saya ingat, kenangan bersama beberapa orang sahabat ketika itu, saya, Mat Abu dan Zarihi, kami duduk bertiga di bawah meja guru dan merakamkan beberapa buah lagu rekaan saya dalam tape recorder milik Zarihi. Antara tajuk-tajuk lagu ciptaan saya itu ialah Brutal Ya Ya, Kenyit, Cap Kali Cap Kicap, Hang 5 Bersaudara, dan 2 buah lagu yang saya tidak ingat judulnya.huhu. Tapi ia hanya menjadi koleksi peribadi tidak didokumenkan jauh sekali dikomersialkan. Bakat mencipta lagu ibarat angin lalu, hilang begitu sahaja setelah mula memasuki alam sekolah menengah.


Namun masuk Tingkatan 4, minat bercambah semula. Zarihi yang ketika itu bertindak sebagai Editor majalah sekolah mempelawa saya untuk menjadi penulis skrip komik gelagat pelajar sekolah yang direka oleh beliau. Zarihi punya bakat melukis yang memang tidak disangkal lagi dan beliau memilih untuk berkolaborasi dengan saya untuk menjadi penulis untuk lukisan komiknya. Peluang cerah saya untuk menyumbangkan bakat penulisan kepada majalah sekolah. Karya kami berjaya dihasilkan. Saya senyum lebar, satu lagi kenangan menulis terpapar di majalah sekolah. Kejayaan kecil yang menjadi inspirasi besar buat insan kerdil seperti saya. Saya juga menyumbangkan beberapa rangkap sajak dalam majalah sekolah. 


Ketika di Tingkatan Lima, seingat saya minggu-minggu akhir persekolahan sewaktu kami sedang sibuk membuat persiapan menghadapi SPM, Cikgu Suhaila mempelawa saya untuk menyumbangkan sedikit bakat yang ada untuk menghasilkan satu skrip berkaitan kisah Singapura dilanggar todak. Saya menerima pelawaan Cikgu Suhaila dengan senang hati. Ambil kertas kajang dan pen sebatang, menulis karya skrip mini teater Singapura Dilanggar Todak secara spontan. Merujuk ringkas kepada buku Komsas, dan babak-babak dalam filem hitam putih, saya gabungkan dan harmonikan menjadi satu skrip tulisan tangan. Masa diambil tidak lama dalam sehari sudah siap. 


Sangat puas hati dapat menyediakan buah tangan dalam menghabiskan sisa-sisa akhir persekolahan menengah. Ketika persembahan teater, saya tidak sempat melihat karya dipentaskan kerana pementasan ketika waktu persekolahan dan kami pelajar Tingkatan 5 dikuarantinkan di dalam kelas untuk persediaan menghadapi SPM. Namun saya dapat melihat sesi latihan dan sebelum pementasan Cikgu Suhaila berbincang dengan saya beberapa kali tentang konsep dan bagaimana karya tersebut dipentaskan. Ucapan terima kasih daripada cikgu setelah pementasan karya tersebut berjaya dipersembahkan membuat hati saya lega dan bersemangat. Seperti dahulu juga, karya tidak didokumenkan dan menjadi kenangan di sanubari sahaja.


Rumusan untuk penulisan entri kali ini, beberapa pengajaran yang dapat disimpulkan ialah, selalunya kita sendiri tidak sedar bakat yang ada pada kita. Kita hanya membiarkan ia bergerak sendiri tanpa kawalan kita. Hal ini sangat merugikan kerana kita tidak dapat betul-betul kenal potensi diri dengan memanipulasi bakat kita dan akhirnya, apabila bakat itu terus bergerak tanpa kita kawal, ia terus berlalu pergi dengan kejamnya tanpa mengucapkan seuntai kata selamat tinggal kepada kita. Inilah yang terjadi kepada saya. Bakat penulisan saya ada, bila hendak menulis saya boleh menulis tapi kita tidak akan menjadi cukup bagus kerana tiada disiplin menulis (istiqamah, belajar ilmu penulisan).


Rumusan kedua, saya biasa dengar istilah ini. "Orang kita" sangat lemah dalam bab pendokumentasian. Termasuk diri saya sebelum ini. Seperti karya-karya lama orang Melayu yang sangat megah dengan diwariskan secara lisan sehingga kini seperti syair, gurindam, teromba dan puisi-puisi Melayu klasik yang lain. Cerita-cerita rakyat yang diwariskan sebenarnya karya-karya agung yang sangat bersifat malar hijau. Tetapi dahulunya kita tidak mencatatnya dalam bentuk kitab bertulis dan akhirnya, dengan struktur penilaian keilmuan masa kini, banyak karya-karya megah dan hebat orang Melayu lama hanya disifatkan berstatus dongeng dan lagenda kerana tiada dokumen rasmi penulisan kisah atau karya tersebut. Ini sebenarnya sesuatu yang merugikan bangsa kita. Tetapi, sejarawan dan ilmuwan tempatan zaman kini berusaha sedaya mungkin untuk menyelongkar semula karya agong lama klasik orang Melayu untuk kembali dimartabatkan tarafnya supaya orang Melayu ada sejarah lama yang boleh dibanggakan setaraf dengan bangsa lain di peringkat global.

Setakat ini dahulu. InsyaAllah, siri dua Inovasi Diri Dengan Menulis ini akan saya coretkan lagi. 

Comments