Keperluan Pendidikan Terhadap Inovasi Telefon Pintar
Inovasi merupakan satu pembaharuan yang dilakukan dalam sesuatu perkara atau sesuatu alat. Inovasi dalam kata mudah adalah satu bentuk manifestasi idea baru terhadap sesuatu ciptaan atau perkhidmatan yang menyelesaikan sesuatu masalah dan mendatangkan nilai kepada pengguna.
Terdapat sendikit kekeliruan di antara ciptaan dan inovasi (invention/innovation). Ciptaan adalah satu benda baru yang dicipta yang sebelum ini tidak pernah ada. Inovasi pula ada satu proses tambah nilai atau tambah baik daripada ciptaan sedia ada. Sebagai contoh, telefon yang dicipta oleh Alaxender Graham Bell merupakan satu ciptaan baru (invention) manakala kewujudan telefon pintar ialah inovasi (innovation). Telefon pintar adalah gabungan pelbagai alat menjadi satu seperti komputer, internet, sistem sms, kamera, radio, alat rakaman dan beberapa lagi alat menjadi satu. Ini adalah satu penambahbaikan secara besar-besaran daripada kewujudan beberapa alat elektronik menjadi satu alat sahaja.
Malah pada masa kini, telefon pintar telah melangkaui batas asal daripada tujuan ia mula-mula diciptakan. Tidak dinafikan juga, kewujudan telefon pintar secara besar-besaran ini telah menyebabkan industri berubah sehingga mewujudkan gelombang Industri 4.0. Peranan telefon pintar telah melangkaui kotak pemikiran kita dan akan terus melangkaui dan kita perlu sentiasa bersedia menghadapi gelombang perubahan ini. Sebagai contoh, inovasi baru seperti e-wallet, perbankan internet, teknologi VR, teknologi AR dan sekarang ini teknologi AI berlumba-lumba menyelaraskan faedahnya dengan telefon pintar untuk memastikan teknologi-teknologi baru ini benar-benar menyentuh sektor pengguna akhir. Kuasa beli pengguna akhir amat tinggi apabila mereka membeli secara beramai-ramai berbanding pengguna di pihak industri.
Dengan kewujudan semua teknologi ini dalam bidang industri, kita perlu menyelaraskan dengan keperluan pendidikan. Hal ini kerana penyalahgunaan teknologi sentiasa berlaku apabila inovasi baru muncul. Sebagai contoh, peratusan pemilikan telefon pintar dalam kalangan pelajar sekolah amat tinggi tetapi akibat ketidaksediaan sektor pendidikan untuk memanfaatkan kecanggihan teknologi telefon pintar akhirnya menyebabkan kerugian di pihak kita. Kita lebih mudah melarang para pelajar membawa atau switch off telefon apabila berada di dalam kelas untuk sesi pembelajaran daripada bersifat terbuka untuk membenarkan penggunaannya. Mungkin disebabkan kekurangan pengetahuan kita dalam teknologi telefon pintar ini, kita tidak bersedia untuk menggunakannya dan lebih selesa kekal dengan corak pengajaran tradisi. Jika kita selalu menggunakan teknologi ini dalam pendidikan, secara tidak langsung kita telah menggalakkan penggunaan telefon pintar di tempat yang betul dengan keperluan pendidikan.
Masa berubah dengan sangat pantas. Generasi pada masa kini kita perhatikan tidak sama dengan generasi kita. Teknologi dan gaya hidup berubah dengan sumber maklumat sangat mudah didapati 24 jam sehari. Telefon pintar sepanjang masa melekat di badan sampai ke katil tempat tidur. Bangun pagi juga mengharapkan telefon pintar untuk mengejutkan kita. Kebergantungan terhadap alat ini kadang-kadang di luar pemikiran akal logik kita.
Tetapi itu hakikat yang harus kita terima. Pendidikan dalam penggunaan internet dan telefon pintar seakan wajib pada masa kini sesuai dengan keperluan cyber security dalam Industri 4.0. Jika sebelum ini kita giat mempromosi penyalahgunaan dadah, tidak keterlaluan untuk dinyatakan bahawa sudah tiba masanya kita memperjuangkan penggunaan dan teknologi internet yang betul kerana jika tersilap langkah, telefon pintar boleh menjadi 'dadah' pada masa kini.
Comments
Post a Comment