Microsoft Educators
Community (MEC): Medan Transformasi Diri Cikgu-cikgu.
(sekarang dikenali sebagai Microsoft Educator Center)
Ia merupakan
satu program pengantarabangsaan guru-guru secara sepenuhnya di atas talian.
Mengatarabangsakan diri tidak semestinya memerlukan kita ke luar negara.
Semuanya boleh dibuat berbekalkan monitor dan internet. Atau pun tidak
semestinya menelan kos. Apa yang paling saya suka tentang MEC ialah program
pensijilan untuk semua jenis kursus jangka pendek yang ditawarkan adalah PERCUMA.
Sesuai dengan konsep asal ilmu daripada yang Maha Mencipta itu sendiri kerana ilmu
untuk dikongsikan dan disebarluaskan untuk manfaat bersama.
Memulakan
langkah dengan menyertai MEC adalah satu langkah yang sangat berbaloi dalam
sejarah hidp saya. Ia boleh saya katakan sebagai langkah transformasi diri ini sepanjang
lebih 10 tahun menjadi seorang guru. Kini saya lebih selesa menggelarkan diri saya
sebagai seorang pendidik. Kalau sebelum ini bilangan A menjadi sasaran utama
tapi selepas beberapa kali mengikuti siri kursus percuma dalam MEC dan melihat
kesungguhan dan kepelbagaian pedagogi guru-guru dari seluruh dunia yang
menyertai MEC telah mengubah sudut pandang saya tentang definisi kecemerlangan
seorang pelajar.
Contoh Transkrip (kursus, sijil dan lencana)
Ia buat saya
sedar semula bahawa menuntut ilmu adalah satu proses. Sebagai seorang pendidik,
menerapkan proses itu lebih utama berbanding hasil kerana pelajar kita bukanlah
produk industri. Mereka adalah manusia yang punya emosi dan akal fikiran. Hasil
yang kita mahukan dengan memandang Gred A sebagai ukuran kecemerlangan semata-mata
kadangkala menyebabkan kita mengabaikan proses pembelajaran yang perlu mereka
lalui. Kita selalu mengambil jalan pintas dengan menyediakan pelajar dengan
latih tubi, menyuapkan mereka dengan bayangan soalan-soalan ramalan dan
sebagainya supaya hasrat melihat A dalam pelajar-pelajar tercapai. Tetapi kita
terlupa yang pelajar kita perlu disiap sediakan dengan bekalan ilmu lengkap
yang berguna untuk realiti kehidupan dan kerjaya masa hadapan mereka iaitu
KEMAHIRAN atau SKIL. Sebagai contoh, kemahiran bidang ICT.
Saya tidak
meletakkan ini sebagai kesalahan warga pendidik. Kita sendiri tersepit dengan
KPI sebegitu dalam karier kita. Pandangan ibu bapa dan masyarakat kita yang
sejak sekian lama memandang koleksi A sebagai ukuran pantas bagi menilai
definisi sebuah kecemerlangan menyebabkan ia sudah sebati dengan budaya
masyarakat kita. Zaman keemasan ilmu pada Zaman Abbasiah, mula-mula revolusi
ilmu di Barat juga dapat menyedarkan kita semula bahawa kecemerlangan pada
zaman itu tidak melihat A sebagai definisi kecemerlangan tetapi perkongisan
ilmu dan penerapan sebanyak mungkin aplikasi ilmu sepanjang proses
pembelajaranlah yang menjadi titik fokus paling utama. Hasilnya, ilmu semakin
berkembang dan lahir lebih ramai ilmuwan
yang begitu hebat atas sistem perkongsian ilmu yang dibudayakan tanpa melihat
gred A sebagai ukuran utama kecemerlangan.
Menyertai
Microsoft Educators Community (MEC) dengan langkah awal mencipta satu
akaun dalam platform ini adalah satu langkah yang sangat baik bagi
mentransformasikan diri para pendidik. Ia membuka jalan kepada kita untuk
mendalami pengetahuan tentang Pembelajaran Abad ke-21, membuka ruang kolaborasi
para pendidik dengan rakan sejawatan dari seluruh dunia, sentiasa cakna dengan
perkembangan teknologi dalam bidang pendidikan selaras dengan Revolusi Industri
4.0 dan melengkapkan diri pendidik dengan pensijilan serta lencana-lencana
sebagai tanda aras pengetahuan tentang topik-topik tertentu. Saya melihat sijil
dan lencana yang kita tayangkan dalam akaun atau kongsikan dalam laman sosial kita
bukanlah sebagai medan bermegah tetapi lebih kepada suntikan motivasi diri
untuk terus lebih berusaha mencabar diri mengumpul lebih banyak ilmu supaya
terus relevan dengan dunia pendidikan masa kini. Ia juga dapat menginspirasikan
orang lain. Suka atau tidak, kita harus menerima hakikat bahawa proses mendidik
generasi kini sudah tidak sama pedagoginya dengan kaedah yang digunakan pada
zaman kita dahulu.
Oleh itu,
perubahan yang pantas itu perlu kita tangani segera. Platform MEC adalah antara
tempat yang paling sesuai untuk kita melengkapkan diri dengan perkembangan
teknologi dan pedagogi pendidikan terkini yang dikongsikan oleh pentadbir MEC,
pakar-pakar PAK 21 dan komuniti pendidik dari seluruh dunia. Mana yang sesuai,
kita boleh ambil sebagai panduan untuk diaplikasikan dalam medan perjuangan
pengajaran kita. Dan seharusnya kita, komuniti pendidik dari Malaysia juga
perlu berasa bangga dengan kaedah pendidikan kita dan tidak malu untuk
berkongsi dengan komuniti pendidik sedunia supaya ia bukan sahaja bermafaat
untuk anak-anak generasi kita di peringkat lokal malah turut menjadi inspirasi
sedunia.
Rubrik 21st Century Learning Design
Kemahiran yang perlu dimiliki pelajar masa kini
Klik https://education.microsoft.com/en-us untuk memulakan langkah anda menyertai komuniti pendidik antarabangsa ini. MEC telah dijenamakan semula bermula pada hujung 2019 ini sebagai Microsoft Educator Center dengan antaramuka yang lebih mudah dan mesra.
#MIEExpert
#MicrosoftEdu
Platform MEC yang baru
Comments
Post a Comment