Road to E2: Pertemuan MIE Expert di pentas final


Pengalaman tak terlupakan: Final Road to E2 Sydney 2020  
Tarikh   : 12-13 Disember 2019
Tempat : Microsoft Malaysia, Menara Shell, Kuala Lumpur



Program ini di antara pertandingan yang paling mencabar dan menyeronokkan pernah saya sertai. Untuk sampai ke peringkat akhir, peserta perlu melalui 3 tapisan yang dijalankan sepanjang tahun. Peringkat 1, sebanyak lebih kurang 200 permohonan untuk menjadi Microsoft Innovative Educator Expert (MIE Expert) telah diterima oleh pihak Microsoft Malaysia. Seramai 70+ orang pendidik dari seluruh negara layak menjadi MIE Expert bagi sesi 2019/2020. Pemilihan tersebut berdasarkan pencalonan diri yang dibuat melalui aplikasi Microsoft Sway dengan menjawab beberapa soalan yang dinyatakan dalam platform Microsoft Educators Community (MEC).

Daripada 70+ orang MIE Expert yang terpilih, kami dikumpulkan dalam group Road to E2 2020 dalam aplikasi Microsoft Teams. Microsoft Teams adalah sebuah platform diskusi yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti kelas atas talian, ruang mesyuarat dan perbincangan serta boleh digunakan untuk perkongsian bahan pelbagai jenis format dan banyak lagi kegunaannya. Dalam platform Teams dan medan facebook Road To E2, kami dibimbing oleh pihak Microsoft Edu dan pakar Pendidikan Abad 21, Dr. Azma Abdul Hamid. Untuk kelayakan ke peringkat akhir pemilihan 30 orang finalis bagi program Road to E2 ini, kami diminta menyiapkan satu rancangan mengajar (lesson plan) menggunakan bahasa Inggeris yang menerapkan elemen-elemen PAK 21 serta penggunaan teknologi bagi menyokong proses pembelajaran tersebut. Kami juga diminta menghantar transkrip pencapaian lencana dan sijil dalam platform Microsoft Educators Community (MEC) sebagai dokumen sokongan.

Secara ringkasnya, saya membina satu rancangan mengajar bagi tajuk Halal Food Zero Hunger yang berpaksikan Project Based Learning dan Sustainable Development Goals (SDG).  Perancangan saya untuk pengajaran ini mengambil tempoh masa selama 3 minggu untuk diselesaikan. Pada akhir pembelajaran pelajar perlu melaksanakan 3 jenis tugasan iaitu mmnganjurkan Pameran Makan Halal Sedunia, mengedarkan makanan kepada gelandangan dan menganjurkan Kempen Kesedaran tentang Halal Food Zero Hunger secara atas talian di laman sosial dan berkongsi aktiviti pembelajaran mereka melalui platform Wakelet.

Selepas lebih kurang 2 bulan tempoh masa diberikan, senarai peserta yang berjaya ke peringkat akhir diumumkan pihak Microsoft Edu. Seramai 27 orang Microsoft Innovative Educator Expert (MIE Expert) sesi 2019/2020 telah terpilih ke peringkat akhir Road To E2 Sydney 2020. Saya begitu teruja menerima perkhabaran ini kerana mereka yang tersenarai sememangnya hebat-hebat belaka. Ramai di antara mereka memang cukup terkenal dalam bidang pendidikan di Malaysia dengan pengiktirafan sebagai Guru Adiwira, Ikon Teknologi, Pentadbir group telegram Digital Clasroom (lebih 14 000 ahli), penceramah teknologi pendidikan dan sebagainya. Di medan seperti inilah saya dapat bertemu muka dengan mereka dan mendapatkan ilmu serta pengalaman mereka sebagai bekalan kepada saya untuk menjadi seorang pendidik yang lebih baik.

Saya juga agak sedikit gemuruh tentang sesi pembentangan F2F nanti. Apa yang lebih merisaukan lagi isteri saya yang sedang sarat mengandung anak keempat kami telah bersedia untuk bersalin pada bila-bila masa sahaja pada tarikh program berlangsung. Saya dalam dilema. Isteri, Nurul Adha Rajali sentiasa menjadi tulang belakang utama saya dalam mendorong minat saya dan antara watak utama di sebalik kejayaan-kejayaan yang saya kecapi dalam kerjaya. Isteri meyakinkan saya supaya meneruskan perjuangan di medan final ini manakala dia mengambil cuti lebih awal dan pulang ke kampung halamannya di Teluk Intan untuk bersedia bersalin di sana. Tiada cuti untuk disimpannya pada tahun 2019.huhu. Terima kasih buat isteriku, juga mak mertua dan abang ipar yang saya panggil Abang Min yang sudi bersiap sedia menjaga isteri kalau-kalau saat pemergian saya dalam pertandingan ini, tiba masanya isteri bersalin. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, isteri saya telah selamat bersalin anak lelaki 3 hari selepas Final Road To E2 Sydney 2020 melabuhkan tirainya. Sungguh mencemaskan dan mendebarkan. Kedua-duanya saya dapat, alhamdulillah.

12 Disember 2019 (Hari Pertama)

Perjalanan ke Microsoft Malaysia (Menara Shell, Kuala Lumpur). Bangkit seawal 3.00 pagi dan bertolak dari Teluk Intan pukul 3.30 pagi. Malam itu saya cuma tidur satu jam sahaja kerana membuat persiapan akhir. Entah berapa kali contengan skrip pembentangan ditukar ganti. Latihan demi latihan bercakap sorang-sorang depan cermin berkali-kali. Anak-anak pun pelik tengok abahnya cakap sorang-sorang. Pukul 6.00 pagi dah sampai di Hotel Cititel Midvalley untuk parking kereta. Malam nanti pihak Microsoft sediakan penginapan di situ. Solat Subuh di parking saja sebab hotel tiada surau tetap. Saya guna apps Muslim Pro cari arah kiblat. Seterusnya mengambil KTM Komuter berhampiran untuk ke KL Sentral. Dari KL Sentral ke Menara Shell dekat sahaja, cuma berjalan kaki.  Saja ambil Komuter, lebih murah dan lambat sampai, boleh berlatih lama sikit…haha. Terasa persiapan belum lengkap lagi.

Selesai pendaftaran di Microsoft Malaysia pukul 8.30 pagi. Kami yang dah sampai berehat santai minum kopi di ruang kafenya yang begitu versetail sekali. Ramai peserta belum tiba lagi sebab pendaftaran sehingga pukul 9.00 pagi. Selepas itu bermulalah taklimat daripada penyelaras program, Puan Sumayyah dari Microsoft yang mengucapkan selamat datang kepada kami. 2 hari di sini ini tidak terasa seperti pertandingan kerana ia bukan lah soal bertanding semata-mata tetapi lebih kepada sesi menuntut ilmu dan latihan sebagai pendidik Abad 21. Kami turut diberikan bimbingan tentang kaedah terbaik untuk menyampaikan pembentangan, pemahaman yang lebih mendalam tentang apa sebenarnya Pendidikan Abad 21 oleh pakar pendidikan Dr. Azma, Puan Wan Juliana (Fellow MIE Expert) dari MARA dan Cikgu Aliff Othman (Fello MIE Expert) dari MRSM Sandakan yang begitu berpengalaman dalam bidang ini. Tidak boleh dinafikan, memang mereka terbaik.

Cikgu Aliff Othman yang banyak berjasa

Pendedahan Dr. Azma tentang 21CLD (21st Century Learning Design) yang mengandungi 6 kategori rubrik penilaian sangat mengesankan. 6 perkara tersebut ialah Collaboration, Communication, Real World Problem Solving and Innovation, Knowledge Construction, Use ICT for Learning dan Self Regulation. Setiap kategori tersebut mempunyai tahap rubriknya sendiri yang tidak semudah disangka. Ia perlu didalami dan dihayati supaya segala perancangan pengajaran kita menerapkan di antara 6 kategori 21CLD ini. Tidak semestinya menggunakan semuanya kerana yang paling penting ia disesuaikan dengan topik pengajaran kita. Sebagai contoh, seorang pendidik merasakan penggunaan Kahoot dalam sesi pembelajaran telah cukup tinggi tahapnya, tetapi menurut 21CLD penggunaan itu baru mencapai tahap dua atau tiga daripada lima tahap tertinggi bagi rubrik Use ICT for learning. Pendedahan aspek 21CLD ini sangat berguna untuk kami sebagai bekalan selepas ini dalam membina perancangan pembelajaran dan pengajaran.

Sesi sebelah petang pula kami diberi peluang  belajar tentang elevator pitch dan memperbaiki poster yang telah kami siapkan sebelum datang ke program tersebut. Poster yang telah disiapkan, ditunjukkan kepada Dr. Azma dan Puan Wan Juliana untuk dikomen. Pelbagai komen penambahbaikan yang kami terima. Hakikatnya, hampir semua poster kami perlu diubah semula supaya kelihatan lebih ummph! Sesi elivator pitch pada esok harinya pula memerlukan kami membentangkan mengenai poster dan pengajaran kami dalam masa 2 minit sahaja! 120 saat itu tersangatlah penting untuk meyakinkan juri. Kami menulis skrip pitching masing-masing kemudian berlatih bercakap di hadapan untuk dikomen oleh Dr. Azma dan Puan Wan Juliana. Seperti yang dijangka, banyak lagi aspek yang perlu dibaiki. Nampaknya malam ini tiada ruang untuk tidur lena.huhu. Practice, practice and practice!

Kami bergerak ke Hotel Cititel Midvalley kira-kira pukul 5.00 petang dengan bas dan diberikan penginapan seorang satu bilik. Bak kata rakan peserta yang lain, kemudahan penginapan satu bilik seorang tidak dinikmati sepenuhnya kerana pada malam itu masing-masing bersengkang mata memperbaiki semula poster, membina skrip elevator pitch dan skrip pembentangan sesi Learning Marketplace. Learning Marketplace ialah pembentangan projek di booth masing-masing dengan pihak juri membuat lawatan. Untuk penulisan skrip, saya berterima kasih kepada rakan-rakan pensyarah Bahasa Inggeris isteri saya yang membantu memperbaiki tatabahasa skrip pembentangan yang saya siapkan lebih awal.

Mulanya, saya agak buntu untuk memilih isi utama yang terbaik untuk dikongsikan dalam elevator pitch. Kita perlu selektif kerana 2 minit adalah sangat pendek. Kita perlu kongsikan segalanya dalam masa yang terhad. Minda saya seolah-olah kosong. Saat ini saya terus menelefon mak di kampung, minta mak doakan dipermudahkan urusan saya. Selepas bercakap dengan mak, idea yang tiba mencurah-curah. Rasa gementar hilang, keyakinan ketika itu bertambah-tambah. Syukur alhamdulillah, doa ibu pasti mustajab seperti yang dijanjikan Allah SWT. Proses persiapan berjalan dengan lancar malam itu, usaha doa telah pun dijalankan, tawakal lah pembekal yang seterusnya.

13 Disember 2019 (Hari Kedua / D-day)

Pagi itu begitu memotivasikan kerana berada dalam persekitaran guru-guru hebat yang sentiasa positif. Saya mengambil kesempatan berkenalan dan bersembang santai bersama rakan peserta yang lain ketika sesi sarapan pagi di hotel. Topik perbincangan macam-macam. Pengalaman mereka dapat saya jadikan panduan. Persamaan antara kami antaranya keghairahan mendidik dan rasa ingin tahu yang tinggi serta sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru. Perkara ini lah yang diterapkan dalam program MIE Expert dalam platform Microsoft Educators Community (MEC). Ramai guru-guru muda, lebih muda daripada saya. Tetapi ada juga 2,3 orang guru umur 50-an yang bersaing bersama kami. Tabik spring buat mereka kerana sangat terbuka dan tidak ketinggalan menggunakan teknologi dalam pendidikan.

Program ini banyak mentransformasikan diri saya menjadi lebih kreatif dan Risk Taker kerana mencuba sesuatu yang baru pastinya mempunyai risiko tersendiri yang perlu diuruskan terutamanya dalam aspek penerimaan pelajar dalam satu-satu pendekatan baru yang ingin kita cuba. Selain daripada pengalaman sendiri, pengalaman orang lain juga sangat penting untuk kita jadikan panduan. Belajar daripada pengalaman orang dapat menjimatkan masa kita dan mengurangkan keperitan yang ditanggung melalui pengalaman sendiri.

Kami bergerak ke Microsoft Malaysia dengan bas pada pukul 8.30 pagi. Sesi pagi itu berkisar tentang tips dan persediaan elevator pitch. Cikgu Aliff Othman berkongsi tentang pengalaman beliau menyertai program Microsoft Educator Exchange (E2) di Toronto, Kanada. Beliau memberikan tips-tips berguna bagaimana membuat pembentangan yang padu. Pesan beliau yang akan sentiasa saya ingat, bercakap dengan hati dan hasil tidak akan mengkhianati usaha. Cikgu Aliff adalah individu yang saya anggap sebagai mentor kerana sentiasa menjadi rujukan saya dalam mengaplikasikan ilmu PAK 21. Pengalaman luasnya dalam program MIE Expert dan pengetahuan beliau tentang PAK 21 dan inovasi selayaknya untuk beliau dilantik sebagai Fellow MIE Expert bermula tahun ini. Beliau akan terbang ke Sydney sebagai Fellow atau jurulatih kepada para peserta E2 dari seluruh dunia. Tahniah Cikgu Aliff dari MRSM Sandakan atas kejayaan besar tersebut.

Seawal 9.30 pagi, bermulanya sesi elevator pitch. Saya mendapat giliran yang ke 11. Ramai juga yang kelihatan gemuruh pada sesi ini termasuk diri saya sendiri. Tidak kurang juga yang sangat bersahaja dan begitu hebat menampilkan gaya elevator pitch mereka yang tersendiri. Bagi saya sendiri, sesi 2 minit itu terasa sangat pantas dan adrenalin bergerak laju umpama berlari pecut 200 meter. Masa berlatih buat gaya Steve Jobs membentang. Tapi hari kejadian, gaya sendiri juga yang menjadi. Sebab itu, kita perlu menjadi diri sendiri. 2 minit akhirnya berlalu selepas Encik Zulhilmi dari Microsoft mengangkat kertas tertera “2 minutes”. Walaupun ada kekurangan, saya akhirnya berjaya mengharungi cabaran tersebut. Ini merupakan kali pertama saya menyertai pertandingan yang memerlukan saya membuat pembentangan dalam bahasa Inggeris. Agak sedikit gugup, tapi berbekalkan keyakinan, saya mampu bercakap juga dengan bahasa yang boleh difahami audien walaupun bahasa Inggerisnya tidak cukup rencah.hehe.

Sesi Elevator Pitch

Menjadi amalan saya selama 2 tahun ini, hampir setiap kali masuk kelas, 10 minit pertama akan saya gunakan untuk memulakan kelas dengan bercakap dalam bahasa Inggeris. Para pelajar selalu menjadi guru yang membetulkan kesilapan tatabahasa saya dan menjadi juri tetap tidak berbayar yang menilai komunikasi saya. Saya juga suka bercakap dengan diri sendiri dalam bahasa Inggeris ketika memandu kereta seorang diri sambil mendengar celoteh DJ radio Hitz dan Mix FM. Sebenarnya lebih suka radio BFM 89.9, tetapi malangnya di Pulau Pinang tidak dapat saluran tersebut.  Alhamdulillah nampak sedikit peningkatan. Selepas ini mungkin saya perlu melebihkan komunikasi 2 hala dalam bahasa Inggeris bagi meningkatkan lagi kemahiran speaking. Latihan ini sedikit sebanyak membantu dalam penyertaan saya dalam program ini.

Sesi petang pula, kami dikehendaki membuat pembentangan projek dalam sesi Learning Marketplace. Para juri datang melawat booth kami dan mereka akan fokus kepada aspek 21st Century Learning Design (21CLD) yang diterapkan dalam rancangan pengajaran kami. Masa yang diberikan sekurang-kurangnya 5 minit dan terdapat sesi soal jawab. Saya lebih berkeyakinan untuk menghadapi sesi ini kerana kita lebih bebas bercakap tentang projek pengajaran kita secara lebih terperinci. Seramai 5 orang juri yang pakar dari pelbagai bidang menjuri projek kami. Persaingan ketika elevator pitch juga sudah sengit, ini kan pula sesi Learning Market Place. Pelbagai inisiatif yang diambil para peserta untuk menarik perhatian juri seperti menghias booth, membuat pembukaan yang bombastik dan menyediakan eviden serta gambar-gambar menarik sesi pengajaran mereka. Penggunaan aplikasi dan platform teknologi pendidikan secara optimum terutamanya Microsoft Educational Tools berdasarkan rubrik 21CLD juga diambil kira dalam pemarkahan.

Dalam perancangan awal, keputusan 6 orang peserta yang layak ke E2 Sydney 2020 diumumkan pada hari ini juga. Atas faktor kekurangan masa, keputusan tersebut ditangguhkan beberapa hari memandangkan hari ini ialah Jumaat. Hal ini berlaku kerana sesi elevator pitch dan Learning Marketplace ini baru pertama kali diadakan kerana sebelum ini format pertandingannya agak berbeza. Puan Shida yang berucap mewakili pihak Microsoft ketika sesi penutupan sendiri terkejut dengan hasil pelaksanaan format baru pada tahun ini. Beliau memuji semangat, komitmen dan kualiti yang ada pada para peserta yang terlibat. Saya dan para peserta juga begitu terharu atas layanan baik pihak Microsoft dan keprihatinan mereka untuk menyumbangkan bakti dalam sektor pendidikan di Malaysia dengan menyediakan akses percuma kepada kebanyakan Educational Tools mereka. Email Office 365 yang diberikan kepada para pendidik di Malaysia juga disediakan tanpa had penggunaan (unlimited). Terima kasih juga pihak KPM dan MARA yang sentiasa komited dalam memartabatkan lagi kerjaya perguruan dan meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.

Kira-kira 5 hari selepas berakhir final Road To E2 Sydney 2020, senarai 6 orang peserta yang layak ke Australia pun diumumkan. Tahniah kepada Cikgu Aman, Cikgu Bella, Cikgu Julie, Cikgu Hajar yang mewakili sekolah KPM, Cikgu Shamimi (MRSM Bentong) dan Cikgu Andi (MRSM Kota Kinabalu) yang mewakili MRSM atas kejayaan besar anda semua. Saya berbangga mengenali anda semua dan menjadi sebahagian daripada team ini. Walaupun tidak berjaya tersenarai ke E2 2020 di Sydney, saya pasti akan mencuba lagi pada masa akan datang. Apa yang lebih berharga, saya mendapat suntikan motivasi untuk mencontohi semangat juang para peserta program ini dan membawa bekal ilmu 21CLD yang sangat bermanfaat. Saya berazam untuk menyebarkan sedikit ilmu dan pengalaman yang ada dengan rakan sejawat yang lain di sekolah saya dan juga seluruh negara. Terima kasih atas kesudian pengunjung membaca coretan yang tidak sepertinya ini.



Jiran sebelah booth...cikgu Andi & cikgu Shamimi berjaya ke E2. 
"Dr. Chee, tahun depan kita cuba lagi":)


Comments