Analisis SWOT
bagi meningkatkan prestasi pelajar dalam PT3
Tarikh : 9 Januari 2019
Kelas : Tingkatan 3 Khazin
Hari ini
merupakan hari pertama buat tahun 2020 saya masuk mengajar kelas ini. Tahun ini
masih mengajar kelas yang sama tetapi sebahagian pelajarnya telah berubah kerana
sedikit rombakan telah dibuat untuk membawa sedikit angin perubahan bagi pelajar
yang bakal menduduki PT3 pada tahun ini. Pelajar nampak positif juga dengan
perubahan tersebut.
Oleh kerana
ini kelas permulaan, saya mengambil kesempatan untuk mendedahkan kepada pelajar
tentang kepentingan mengenal pasti kelemahan, kekuatan serta halangan-halangan
yang bakal dihadapi untuk mencapai sesuatu matlamat dan kejayaan. Saya pun memperkenalkan
kepada mereka tentang model SWOT. Model ini sangat mudah difahami dan juga
berkesan bagi pelajar menetapkan matlamat dan memulakan gerak kerja. Pengenalan
kepada model ini tidak lah saya lakukan secara terlalu mendalam kerana apa yang
lebih penting saya mahukan mereka memahami tentang peri pentingnya memiliki
matlamat dalam hidup dan mengenal potensi diri untuk mencapai cita-cita.
Dalam kelas
ini juga, saya ingin menerapkan aspek kerja berkumpulan dan dalam masa yang
sama pelajar dapat menjalankan pembelajaran kendiri dengan lebih sistematik dan
dapat bersedia lebih awal lagi. Bagi pelajar PT3, bekerja secara berkumpulan
sangat penting supaya mereka dapat sama-sama mencapai kecemerlangan dalam membantu
sekolah meningkatkan kecemerlangan. Bekerja secara kolektif juga adalah salah
satu aspek yang dititikberatkan dalam PAK-21.
Peringkat Pertama: Mengenal
pasti masalah sebenar
Aktiviti
ini cuma mengambil setengah jam sahaja. Pada peringkat permulaan, guru memberikan
taklimat tentang sasarannya kepada pelajar bagi subjek. Saya menetapkan
sasaran 90% markah dan ke atas dalam peperiksaan Semester 1 kepada setiap
pelajar kelas ini. Beberapa orang pelajar memberikan alasan target tersebut
sangat tinggi tetapi saya katakan kepada mereka ia bukanlah sesuatu yang
mustahil dengan syarat kita kenal kelemahan dan kekuatan diri. Lalu, saya
bekalkan kepada mereka ‘sticky notes’ untuk mereka tuliskan topik-topik yang
mereka lemah dan tampalkan pada kertas mahjung di papan putih.
Pelajar-pelajar
menampal ‘sticky notes’ mereka secara rawak. Setelah selesai, beberapa
pelajar secara sukarela akan cuba membahagikan semua jawapan kawan-kawan mereka
mengikut kategori. Seterusnya, sukarelawan tadi menyusun semula ‘sticky
notes’ dalam beberapa kumpulan kategori dan menamakannya. Pelajar lain
pula secara sukarela akan membuat analisis lanjut untuk mengira peratusan bagi
setiap masalah. Dalam aktiviti ini, kita dapat menerapkan penggunaan ilmu
dalam situasi sebenar. Real World Problem Solving juga merupakan di
antaraperkara penting dalam PAK-21 sebagaimana yang dinyatakan dalam 21st
Century Learning Design.
Dalam kelas
ini, mereka dapat mengenal pasti kategori (kelemahan) sebenar dalam subjek
Pendidikan Islam ialah antaranya jawi, hafazan, topik sirah, soalan susah,
sikap malas dan sebagainya. Dan paling menarik, masalah sikap seperti malas antara
yang mendapat rating tertinggi. Mudah lah saya rancang aktiviti seterusnya
selepas ini setelah mengetahui. Sebelum ini hanya bersangka-sangka dan membuat
telahan. Pelajar juga dapat melihat dengan jelas masalah sebenar mereka dan
boleh merangka strategi yang tepat berdasarkan kelemahan diri sendiri.
Peringkat Kedua: Merancang
Strategi
Setelah pelajar
dapat melihat dengan jelas masalah sebenar mereka dalam subjek Pendidikan Islam
ini, tibalah masa untuk membuat perancangan. Disebabkan kesuntukan masa, saya
hanya meminta mereka membuat sasaran markah yang ingin diperolehi mereka sepanjang
tahun ini. Saya meminta mereka melihat kembali markah yang mereka perolehi
sejak dari Tingkatan Satu. (Jika tidak ingat, agak-agak). Sebelum aktiviti ini,
pelajar-pelajar cuma menyatakan secara umum yang mereka inginkan A. Selepasnya,
mereka lebih bersifat realistik dan sistematik dalam membina matlamat mereka. Mereka
membina matlamat berdasarkan data sebenar dan keupayaan diri serta diimbangi
dengan kelemahan yang sedang mereka hadapi.
Pelajar
secara sukarela mencadangkan tentang apakah kaedah terbaik untuk mereka
melihat prestasi lalu mereka mencadangkan untuk membuat graf dan jadual. Setelah
dibincangkan, mereka membuat keputusan untuk membuat perancangan dalam bentuk
jadual kerana ia kelihatan lebih mudah dan jelas. Saya menerima pendapat mereka
kerana apa yang lebih penting ialah saya mahu menerapkan sifat tanggungjawab
dalam diri mereka memandangkan segala keputusan tentang proses kejayaan adalah
daripada perancangan mereka sendiri. Sebelum ini, hanya guru yang
membinakan perancangan untuk mereka, sekarang mereka sendiri yang
membinanya untuk diri mereka.
Rumusannya,
aktiviti ini hanya sebahagian kecil daripada banyak lagi strategi yang boleh
dibina untuk menghasilkan kecemerlangan pelajar. Saya lebih melihat kepada
proses pembelajaran itu sendiri daripada hasil. Apabila proses yang dilalui
pelajar benar-benar menguji kebolehan dan mampu menggali potensi pelajar
sedalam-dalamnya, insyaAllah kejayaan yang datang nanti akan lebih dihargai dan
disedari. Dalam aktiviti ini, saya mendedahkan kepada pelajar tentang
pentingnya kolaborasi, penyelesaian dunia nyata dan pembelajaran kendiri yang
sangat diperlukan dalam penerapan PAK-21 kepada pelajar pada masa kini.
Comments
Post a Comment