Pengajaran dalam perjuangan inovasi kit pembelajaran haji umrah


Pengajaran daripada sebuah proses inovasi


Video Refleksi Kit Pembelajaran Haji dan Umrah Al-Mutawwif

Masalah pemacu kepada penghasilan inovasi

Tidak dinafikan, penghasilan Inovasi Kit Pembelajaran Haji dan Umrah Al-Mutawwif seumpama batu loncatan dalam karier saya. Melalui proses penghasilannya, banyak pengalaman dan pembelajaran baru yang dapat saya timba. Selain itu, pergaulan saya bertambah luas melalui perkenalan dengan ramai inovator yang hebat-hebat dari seluruh Malaysia.

Tahun pertama saya mengajar di MRSM Tawau (2008) yang ketika itu baru dibuka dan menerima pelajar tingkatan 1 dan 4 sahaja. Dengan kurangnya pengalaman dan bukan dari latar belakang bidang pendidikan, pengalaman mengajar subjek Pendidikan Islam Tingkatan 4 agak sedikit mencabar kerana silibus pembelajaran mereka agak tinggi juga. Antaranya adalah bagi topik haji dan umrah. Topik ini agak sukar dengan bermacam-macam istilah bahasa arab yang jarang didengari pelajar dan proses haji itu sendiri bukanlah mengikut kronologi dan turutan. Terdapat banyak pengecualian dan fleksibiliti yang tidak mudah untuk difahami terutamanya bagi golongan pelajar sekolah.

Pada tahun pertama ini, saya dan rakan sejawatan Ustaz Muhsi yang sama-sama baru tahun pertama mengajar berganding bahu menganjurkan praktikal haji umrah di persekitaran sekolah. Model Kaabah sangat ringkas kerana kami bangunkan dengan besi dan kain hitam. Pelajar-pelajar lelaki pula hanya memakai cadar sebagai ‘ihram’.  Pembelajaran seperti itu sangat santai dan pelajar cepat faham. Tetapi ada sedikit kekangan masa dan memerlukan ruang fizikal yang luas. Ia tidak boleh dilakukan selalu.

Jika dibuat terlalu awal, pelajar selalu lupa menjelang hari peperiksaan. Jika dibuat terlalu lewat pelajar kurang fokus dan berasa terbeban dengan komitmen pembelajaran mereka di saat akhir. Sehari sebelum SPM berlangsung bagi subjek Pendidikan Islam, masih ramai lagi pelajar berkerumun bertanyakan tentang beberapa perkara yang kurang jelas kefahaman mereka tentang hai dan umrah. Saya terfikirkan sesuatu, adakah kaedah praktikal haji  skala besar yang pernah mereka lalui tidak cukup membuatkan mereka faham? Di situlah bermulanya idea untuk menghasilkan kit praktikal haji skala kecil yang boleh digunakan pada bila-bila masa. 

Langkah pertama pemula kepada langkah seterusnya

Pada 2011, saya berpindah ke MRSM Balik Pulau. Tetapi di sini, saya tidak mengajar pelajar menengah atas (Tingkatan 4 dan 5). Saya mengajar tingkatan 1,2 dan 3. Walaupun tidak lagi mengajar topik haji dan umrah, tetapi saya masih terkenang lagi persoalan keberkesanan praktikal haji umrah untuk pembelajaran Pendidikan Islam Tingkatan 4. Saya studi semula buku teks SPM dan buku berkaitan haji umrah tetapi tidak memberikan komitmen penuh kerana tidak mengajar Tingkatan 4 dan 5. Sehingga pada tahun 2014, saya terpandang satu iklan di portal MARANET (portal untuk staf MARA) tentang penawaran geran untuk pembangunan produk Inovasi. Lalu, saya ambil semula nota-nota contengan saya dan mula menulis proposal permohonan dan perancangan produk inovasi kit pembelajaran haji dan umrah.

Tanpa pengetahuan asas tentang ilmu Inovasi seperti Design Thinking dan lain-lain, saya membuat perancangan produk inovasi ini hanya bersandarkan kreativiti dan minat sahaja. Setelah beberapa bulan permohonan, saya dihubungi oleh kakitangan Unit Inovasi dan Penyelidikan MARA, Allahyarhamah Puan Mazni memaklumkan saya terpilih untuk temuduga geran SGPIM untuk membangunkan produk inovasi ini. Teruja dalam masa yang sama risau juga sebab ini adalah kali pertama saya. Tiada tempat rujukan kerana rakan-rakan guru lain pun tiada yang berpengalaman menghadapi temuduga seperti itu. Apabila kita menghadapi satu tekanan, ia dapat menolak kita supaya lebih cepat berfikir dan berani menghadapi cabaran baru.

Ketika berita diterima, saya sedang makan-makan di Secret Recipe, Teluk Intan bersama isteri. Dia juga kebetulan mengajar topik haji kepada pelajar-pelajarnya di Politeknik Balik Pulau ketika itu. Lalu, timbul idea untuk saya bekerjasama dengannya bagi menghasilkan kit pembelajaran ini. Melalui emel surat tawaran temuduga itu, digalakkan bekerjasama dengan mana-mana organisasi untuk membangunkan produk inovasi. Maka termeterailah MOU kerjasama pembangunan produk inovasi antara MRSM Balik Pulau dan Politeknik Balik Pulau secara tidak rasmi. Isteri menghubungkan saya dengan seorang lagi pensyarah politeknik yang mahir selok belok IT iaitu Mohd Affan Rosli. Selepas beberapa hari menyusun proposal, kami membuat pembahagian tugas dengan saya bertindak sebagai ketua projek dan membangunkan kit haji umrah bersama isteri, manakala Affan pula membangunkan aplikasi nota android bagi kit tersebut.

Ahli kumpulan inovasi Kit pembelajaran Haji dan Umrah Al-Mutawwif

Fasa Baru Kehidupan Sebagai Inovator

Dipendekkan cerita saya berjaya dalam temuduga itu dan memperoleh geran SGPIM (Skim Geran Penyelidikan Inovasi MARA). Projek tersebut perlu disiapkan dalam masa setahun sahaja. Kit pembelajaran ini memerlukan lakaran, lukisan dan gambar yang banyak. Cabarannya ialah semua itu perlu dihasilkan sendiri dan bersifat original kerana melibatkan harta intelek. Saya pula tiada kemahiran dalam bidang grafik digital dan komputer. Bermula pada hari itu, waktu kerja saya berlanjutan sehingga ke pukul 5.00 petang setiap hari. Sebagai guru, kami boleh mula pulang selepas pukul 1.20 petang jika tiada mesyuarat atau kelab persatuan.  Sejak itu, kehidupan petang saya konsisten diisi dengan aktiviti inovasi bermula dengan proses cuba-gagal.

Tidak dinafikan, ramai orang berjaya dengan kaedah cuba-gagal ini tetapi ia terlalu perit. Banyak motivasi yang diperlukan ketika cubaan-cubaan kita menemui kegagalan. Tetapi ramai juga yang tidak bangkit semula selepas gagal. Semua yang saya lalui untuk membangunkan inovasi pertama ini sebenarnya melalui jalan yang sukar dan agak perit. Tetapi keperitan itu membawa saya akhirnya mengenali proses inovasi yang sepatutnya perlu bermula dengan ilmu. Dan ilmu asas inovasi ialah Design Thinking yang terbukti berjaya di seluruh dunia. Ketika ini saya berpegang kepada model Design Thinking dari D. School / IDEO. Terima kasih kepada pihak Unit Penyelidikan dan Inovasi MARA dan Coach Megat Zainurulanuar kerana memperkenalkan saya dengan ilmu yang sangat bermanfaat ini. Ilmu inilah yang sepatutnya para inovator kenali terlebih dahulu sebelum membangunkan satu-satu projek inovasi. 

Berjumpa dengan pakar

Setelah secara rasmi berjaya memperoleh geran, langkah pertama yang dilakukan ialah menghubungi pakar. Disebabkan tiada pengalaman, saya sangat menghargai bantuan yang diberikan oleh pihak UPM melalui Profesor Madya Dr. Shamsilah dan pasukannya yang membantu saya pada peringkat paling awal dengan berkongsi pengalaman mereka menghasikan inovasi kit pembelajaran berbentuk board game. Beliau merupakan ketua panel geran SGPIM yang menawarkan bantuan kerjasama jika saya memerlukan. Sesi pertemuan di UPM itu lah yang melorongkan cahaya kepada saya tentang bagaimana saya perlu bergerak dalam masa setahun untuk menyiapkan projek tersebut. Mereka sangat mengalu-alukan kehadiran saya tanpa perlu surat-menyurat dan sesi temujanji yang formal. Dengan disediakan sekali makan tengahari untuk saya. Alhamdulillah. 

Selepas itu, jalan inovasi ini Allah SWT permudahkan dengan mempertemukan saya kembali bersama sahabat di sekolah menengah (SMAKJ, Kluang, Johor) iaitu seorang usahawan percetakan saudara Zarihi Nubhan. Beliau seorang yang sangat berbakat dalam melukis dan seni. Kali pertama berkolaborasi dengannya ialah ketika di Tingkatan 4, beliau melukis komik manakala saya pula sebagai penulis jalan cerita dan karya kami diterbitkan dalam majalah sekolah. Nubhan banyak memudahkan urusan penghasilan inovasi ini kerana beliau bukan sahaja boleh mencetak, tetapi juga boleh melukis grafik dan komik, punya kumpulan kartunis kreatif dan lebih mantap lagi beliau berpengalaman menjadi mutawwif yang sudah semestinya sangat memberikan nilai tambah dalam penghasilan kit inovasi pembelajaran haji dan umrah ini. Akhirnya, kit pembelajaran haji umrah ini dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan dan berjaya memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Antara pencapaian dan anugerah yang diterima inovasi ini ialah seperti berikut:

- Anugerah Qudwatur Rasul (Inovasi) oleh Kerajaan Negeri sempena Sambutan Maulidur Rasul 
  Peringkat Negeri Pulau Pinang
- Pengesahan produk inovasi daripada SS Dato’ Mufti Pulau Pinang
- Pingat Emas dlm iCompEx di Politeknik Sultan Abd Halim Shah, Jitra.
- Pingat Perak dlm Eureka Innovation Exhibition (Peringkat Antarabangsa) di UniKL MSI, Kulim
- Pingat Perak dlm Pertandingan Inovasi di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah
- Finalis Anugerah Inovasi MARA anjuran MARA
- Finalis MAGRIS anjuran Yayasan Inovasi Malaysia (16/200 produk)


Penggunaan kit inovasi dalam kelas Pendidikan Islam


Melalui proses ini, dengan jangka masa perlu disiapkan dalam masa setahun menjadikan saya seorang pemikir sehingga kadang-kadang terbawa-bawa ke dalam mimpi. Tetapi tidak sampai membawa kepada stress kerana kesihatan diri lebih utama. Bagi mengimbangi tekanan berinovasi, tugas hakiki, tugas sebagai warden (Guru Asrama) dan urusan keluarga, saya selalu bersukan bermain bola sepak. Guru dan staf sekolah kami memang punya kelab bola sepak yang aktif dan Balik Pulau juga ada banyak pasukan sehingga hampir setiap minggu ada sahaja perlawanan persahabatan. Balik rumah tengok anak pun boleh jadi terapi kerana mereka ini modal syurga kita.

Rutin hidup seharian pun banyak berubah. Saya lebih banyak membaca dan melakukan kajian untuk memantapkan hasil inovasi. Saya juga sudah tidak malu untuk berurusan dengan sesiapa sahaja. Alhamdulillah, sejak menggiatkan diri dengan projek inovasi seperti ini, saya berpeluang berkolaborasi dengan pihak Mufti Pulau Pinang dan pegawai-pegawainya, belajar berhubung dengan pihak luar seperti Yayasan Inovasi Malaysia, MyIPPO, Tabung Haji cawangan Pulau Pinang, UPM, Politeknik Balik Pulau dan sebagainya. Sejak itu, saya berpeluang mengenali dan berhubung rapat dengan inovator dari seluruh Malaysia. Saya mengambil inspirasi serta motivasi daripada mereka supaya tidak cepat berputus asa meneruskan langkah-langkah usaha ini melalui pertandingan inovasi yang disertai dan program-program anjuran Yayasan Inovasi Malaysia, pihak MARA, Microsoft Malaysia dan lain-lain.

Dalam penulisan ini, saya tidak berhajat menerangkan aspek teknikal Kit Pembelajaran Haji Umrah Al-Mutawwif rekaan kumpulan kami. Apa yang ingin ditekankan adalah refleksi daripada proses inovasi yang dijalankan. Ia bukanlah mudah. Ia adalah proses panjang yang memerlukan komitmen berterusan, motivasi diri, sokongan orang di sekeliling, keazaman diri yang tinggi dan sifat sentiasa ingin belajar. Selepas melalui semua ini, apabila melihat satu-satu hasil kreativiti di pameran-pameran inovasi, saya tidak lagi melihat fungsinya semata-mata. Saya sudah mula melihat prosesnya, keazaman para penciptanya dan pengorbanan di sebalik semua itu dan lebih menghargai hasil kerja orang. Kerana saya sudah melaluinya. 

Terima kasih kepada Encik Abu Zaki, mantan Pengetua MRSM Balik Pulau (sekarang Pengetua MRSM Kubang Pasu) yang sentiasa menyokong penuh dan memudahkan urusan saya dalam aktiviti inovasi yang dijalankan. Juga buat rakan kolaborasi saya yang juga isteri Nurul Adha Rajali yang menerima jemputan saya untuk berkolaborasi menyiapkan projek inovasi ini. Saudara Mohd Affan Rosli, pensyarah Politeknik Balik Pulau yang menghasilkan nota aplikasi android. Rakan-rakan seperjuangan dan ahli keluarga yang sentiasa memberikan galakan.

Prof. Madya Dr. Shamsilah dan pihak UPM, Yayasan Inovasi Malaysia, Jabatan Mufti Pulau Pinang, Politeknik Balik Pulau, SMK Teluk Kumbar, saudara Zarihi Nubhan dan pasukannya dan semestinya Coach Megat Zainurul Anuar serta Unit Penyelidikan dan Inovasi MARA yang mencungkil potensi diri ini dengan sentiasa memberikan saya peluang demi peluang untuk lebih berkembang lagi. Ketika ini, seudah lebih setahun saya bersama 24 orang kakitangan MARA yang lain terlibat sebagai Jurulatih Utama Inovasi MARA yang bertanggungjawab menyebarkan ilmu asas ilmu inovasi dalam organisasi MARA dan kami sedang mengusahakan sebuah portal inovasi untuk digunakan sebagai medium menyebarkan ilmu dan aktiviti inovasi.

Video Aktiviti PAK-21 
dengan Kit Pembelajaran Haji dan Umrah Al-Mutawwif



Junior Innovation Lab (JIL). Antara program yang dikendalikan
barisan Jurulatih Utama Inovasi MARA bagi mensyiarkan inovasi dalam
kalangan warga MARA

Comments