Alhamdulillah, setelah beberapa kali mengikuti kursus kejurulatihan inovasi yang dianjurkan oleh Unit Penyelidikan dan Inovasi MARA dan berkongsi ilmu melalui siri bengkel inovasi di organisasi-organisasi MARA di seluruh negara, sedikit sebanyak saya mula memahami ilmu asas inovasi. Seperti kata orang bijak pandai, ilmu itu sifatnya luas. Semakin kita mendalami, semakin kita tidak tahu. Sebab itu, melalui pemerhatian saya, orang-orang hebat yang dihormati masyarakat kerana keilmuan mereka selalunya amat merendah diri dan tidak pernah jemu menuntut ilmu. Manusia juga seringkali menjadi musuh kepada apa yang dia tidak tahu. Kejahilan itu selalunya akan membutakan mata kita dengan kebenaran. Daripada kejahilan pula akan terbitnya keegoan yang akan merebak menjadi barah kesombongan. Pesan orang tua, jadilah seperti resmi padi, semakin berilmu semakin tunduk. Kita perlu sentiasa berfikiran terbuka supaya fikiran kita jadi lapang dan kita sentiasa dapat belajar daripada apa yang ada di sekeliling kita terutamanya daripada lisan orang-orang berilmu dan bertakwa.
Tahun 2019 menerbitkan banyak kesan dalam hidup saya. Pengalaman baru sebagai panel pakar Fuzzy Delphi dalam dua kajian Ph.D mendedahkan saya kepada luasnya ilmu untuk ditimba. Fuzzy Delphi ialah pandangan dan
kesepakatan pakar akan menentukan objektif, isi kandungan, aktiviti pembelajaran, dan
bentuk penilaian yang sesuai digunakan. Dalam hati kuat menolak apabila mendapat jemputan menjadi panel kepada kajian Ph.D. Namun, saya berpegang kepada ilmu itu milik Allah SWT dan apabila Dia memberikan sedikit ilmu, ia menjadi tanggungjawab kepada kita untuk berkongsi dan menyebarkannya. Sebab itu, saya merasakan, berkongsi melalui laman sosial dan blog adalah sebagai salah satu cara untuk saya melangsaikan amanah tersebut. Kita tidak tahu kalau perkongsian kita menjadi inspirasi atau pencetus revolusi kepada kehidupan seseorang seperti mana yang saya dapat daripada perkongsian ramai orang di alam maya.
Pada Oktober 2019, saya berkesempatan berkongsi sedikit ilmu Design Thinking yang ada dalam kajian Puan Adila Md Hashim, pelajar Ph.D dari Fakulti Pendidikan UiTM Puncak Alam tentang The Development of Design Thinking Module to Facilitate Creativity for Project Based Learning. Dalam kajian ini, saya bertindak sebagai salah seorang panel pakar untuk berkongsikan pandangan mengenai amalan terbaik dalam cubaan mengaplikasikan Design Thinking dalam pembelajaran berasaskan projek. Kajian ini sangat menarik kerana kita bakal menggunakan Design Thinking dalam pembelajaran formal di sekolah sesuai dengan kehendak PAK-21 yang sedang cuba diaplikasikan di sekolah-sekolah pada ketika ini. Sekali lagi ingin saya war-warkan, Design Thinking atau DT adalah satu model asas dalam pembelajaran inovasi yang seharusnya diketahui oleh semua peringkat umur supaya usaha menjadi sebuah negara maju yang berdaya maju berasaskan budaya ilmu dapat dicapai. Terima kasih kepada guru inovasi saya Coach Megat Zainurulanuar dan Unit Penyelidikan dan Inovasi MARA yang memberi peluang kepada kami para Jurulatih Utama Inovasi MARA untuk menuntut ilmu inovasi. Kini masanya untuk kami membalas budi dengan mensyiarkannya.
Penghujung 2019 pula saya berkesempatan berkongsi pandangan dan idea dengan sahabat saya ketika belajar di Universiti Malaya dahulu, saudara Saiful Adli. Beliau mendapat cuti belajar dan sedang menjalankan kajian Ph.D mengenai Kepimpinan Guru. Dalam kajian beliau, saya bertindak sebagai salah seorang panel pakar Fuzzy Delphi yang berperanan menyumbangkan idea dan pengalaman mengenai aspek kepimpinan guru. Pandangan panel-panel yang dilantik ini akan diambil kira untuk saudara Saiful Adli membina kerangka soal selidik dalam kajian beliau nanti. Salah satu perkara menarik dalam kolaborasi ini ialah temuramah ini dijalankan melalui platform Skype. Hampir 2 jam kami berborak ilmu dalam laman ini dan sesi temubual berjalan lancar dengan sedikit masalah teknikal sahaja. Sekali lagi, teknologi merapatkan kita tanpa sempadan dan memudahkan urusan kita walaupun masing-masing jauh beribu batu. InsyaAllah, jika diizinkan Allah SWt ingin bertemu muka dengan Saiful sedikit masa untuk pekena teh tarik di meja kedai mamak. Banyak lagi ingin saya pelajari daripada penuntut Ph.D ini yang banyak ilmu dan pengalamannya dalam bidang pendidikan.
Persetujuan menyertai kajian bagi kajian
Reka bentuk dan Penilaian Instrumen Kepimpinan Guru Tempatan
Sesi temubual dan sembang akademik
Terima kasih atas kesudian dua orang ilmuan ini mengajak saya turut serta dalam kajian mereka. Semoga usaha dan perjuangan merekadi medan ilmu dipermudahkan oleh Allah SWT dan bakal memberi impak positif kepada sektor pendidikan di Malaysia.
Comments
Post a Comment