Alhamdulillah,
pada 21 Januari 2020 lalu saya berkesempatan berkongsi mengenai pengalaman
menggunakan platform Flipgrid dan Microsoft Teams dalam PDPC. Ini merupakan
kali pertama saya membuat perkongsian seperti ini melalui atas talian. Saya
ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Encik Zulhilmi Ahmad dari Microsoft
Malaysia yang memberi peluang dan tunjuk ajar kepada saya bagaimana menghoskan
webinar menggunakan Microsoft Teams.
Ini merupakan
kali kedua saya dapat bekerjasama dengan Encik Zulhilmi Ahmad. Kali pertama
ketika menghasilkan terjemahan e-book Panduan Penggunaan Wakelet Bagi Pendidik
ke dalam Bahasa Melayu pada penghujung 2019. Kedua-dua kerjasama ini sangat
memberikan makna yang besar kepada saya kerana banyak saya dapat belajar
melalui beliau terutama aspek teknikal dalam penggunaan teknologi dalam
pendidikan. Salah satu pengajaran yang saya dapat melalui usaha menjalankan
webinar ini ialah rehearsel sangat penting bagi memastikan perkongsian sebenar
berjalan dengan lancar. Untuk sesi webinar ini, kami menjalankan rehearsel
sebanyak dua kali iaitu sehari sebelum webinar berlangsung dan 15 minit sebelum
ia bermula. Alhamdulillah, webinar berlangsung dengan lancar.
Webinar atau
web seminar merupakan satu perkara yang biasa dijalankan dalam bidang
pendidikan pada masa kini. Di Malaysia jarang sekali kita mendengar perkataan
webinar kerana kita lebih selesa bertemu muka secara realiti di ruang fizikal.
Mungkin kerana beberapa perkara yang menghalang kita untuk berseminar secara
atas talian seperti kurang pengetahuan dalam bidang ICT, penggunaan teknologi
komunikasi untuk tujuan pendidikan belum menjadi budaya dalam masyarakat kita,
talian internet yang masih mahal dan lain-lain sebab yang boleh kita fikirkan
bersama. Namun, dalam bidang selain pendidikan seperti hiburan (permainan atas
talian, Tik Tok dll) dan bisnes kecantikan penggunaan aplikasi atas
talian melalui video sangat menggalakkan.
Pada pendapat
peribadi saya, pembudayaan dalam penggunaan aplikasi atas talian untuk bidang
pendidikan masih lagi perlu dipertingkatkan. Usaha yang dilakukan oleh pihak
Microsoft Malaysia untuk mengetengahkan budaya perkongsian ilmu melalui
platform atas talian Microsoft Teams ini sangat baik sekali terutamanya bagi
meningkatkan profesionalisme para pendidik di Malaysia. Pembelajaran Abad Ke-21
pada masa kini sedang giat diaplikasikan di sekolah-sekolah seluruh negara dan
webinar ini adalah salah satu usaha bagi merancakkan lagi pengamalan PAK-21.
Para pendidik berpeluang mengenali rakan pendidik yang lain dari seluruh negara
dalam satu ruang yang sama dan dapat bersoal tanya, berbincang, mengemukakan
pendapat secara audio visual atau menulis di ruangan chatting ketika sesi
webinar berlangsung. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja
selagi talian internet boleh dicapai.
Berdasarkan
pengalaman saya menggunakan aplikasi seperti Skype dan Microsoft Teams, sebagai
hos, kita memerlukan talian internet yang kuat namun jika sebagai peserta,
talian internet yang sederhana juga sudah cukup untuk kita mengikuti webinar
dengan baik. Sesi Webinar Bersama MIE Expert ini adalah satu usaha murni
mengumpulkan para pendidik dari seluruh negara bagi bertukar-tukar pandangan
dan berkongsi pengalaman seterusnya menjadi inspirasi dalam usaha mendidik
generasi pada masa kini serta menyediakan mereka dengan kelengkapan yang
mencukupi pada masa hadapan.
Jom,
kita hangatkan Pembelajaran Abad Ke-21 menggunakan Microsoft Teams sebagai
platform terbaik dalam menjalankan PDPC dan urusan rasmi seharian kita.
Microsoft Teams bukan sahaja boleh digunakan untuk berkomunikasi secara video conference, malah ia
berupaya menjadi medan perkongsian dan penyimpanan dokumen secara lebih formal
dan selamat dan banyak lagi kegunaannya. Terima kasih kepada mereka yang telah
menyertai webinar bersama saya tempoh hari.
Banyak lagi perkongsian yang bakal dilangsungkan selepas ini dalam
Webinar Bersama MIE Expert. Para pendidik semua dijemput memeriahkan lagi program
ini.
Comments
Post a Comment