COVID-19 dan HIJRAH bidang pendidikan



Cuti PKP yang berlangsung lebih sebulan ini sesungguhnya meninggalkan 1001 coretan kenangan pahit manis kepada umat manusia di seluruh dunia. Kita semua berjuang dan bersusah payah menghadapinya dengan segala kudrat, semangat dan kreativiti yang ada di samping memanjatkan doa yang tidak putus-putus kepada Yang Maha Berkuasa. Sebagai pendidik, hati sudah mula tergantung di pagar sekolah. Jiwa merayap ke kelas membayangkan diri berkumpul bersama-sama anak didik dalam perjuangan di medan ilmu. Namun, setakat ini itu semua dalam kenangan dan terus berdoa untuk Allah mengembalikan semua kenangan dan sejarah hidup kita sebelum semua ini berlaku. Namun yang pasti, kita perlu berubah.

Tahniah kepada para pendidik yang tidak jemu-jemu menyertai sesi webinar pendidikan yang berlangsung sepanjang PKP ini. Jangan ambil masa lama. Kita aplikasikan terus sedikit ilmu yang kita dapat dan kongsikan kepada semua orang yang kita mampu untuk manfaat bersama.

Kita perlu berhijrah setelah bermuhasabah dalam ruang masa yang Allah berikan kepada kita sepanjang PKP berlangsung. Hijrah memang susah. Hijrah memang payah. Hijrah itu menuju Allah. Kerana di hujungnya, sejahtera. Demikian petikan lirik lagu nasyid Saujana yang tiba-tiba terngiang-ngiang dan bermain di minda. Aku punya satu angan-angan agar perkara-perkara berikut bakal berlaku sekembalinya kami para pendidik dan juga anak-anak pelajar ke sekolah selepas perjalanan Hijrah yang panjang ini.

1.       Konsep BYOD (Bring Your Own Device)

Tidak dinafikan untuk sesetengah sekolah konsep ini adalah perkara biasa bagi mereka. Sedangkan sesetengah sekolah pula tidak bersetuju dengan konsep ini kerana dilihat menimbulkan lebih keburukan berbanding kebaikan. Contohnya, membawa telefon pintar dan komputer ke sekolah menyebabkan pelajar leka dan menyumbang kepada keruntuhan akhlak. Bagaikan Dejavu, aku masih ingat lagi bagaimana di sekolah rendah kami disuruh oleh cikgu menulis karangan bertajuk Kesan Negatif Television. Sekarang mungkin tajuk karangan anak-anak aku, Kesan Negatif Telefon Bimbit dan aku tak pasti saat cucu-cucu aku bersekolah nanti, apakah pula tajuk karangan mereka? Semua perkara ada positif dan negatifnya. Oleh itu, kita perlu duduk semeja, berbincang kaedah terbaik untuk melaksanakan semua ini. Kalau tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua. Cikgu-cikgu sudah mula bersedia dengan ilmu dan pengendalian kelas secara atas talian yang mereka lakukan sepanjang cuti PKP ini. Harap ada kesinambungan selepas semua ini berakhir.



Di antara sesi webinar & aktiviti pendidikan sempena PKP

Dalam masa yang sama, sekolah-sekolah yang belum dilengkapi kemudahan ICT terutamanya yang berada di luar bandar sama sekali tidak boleh dipinggirkan. Semestinya, ia menjadi prioriti dalam aktiviti pembangunan oleh pihak kerajaan dan boleh dijalankan secara berperingkat.


2.       Mengurangkan pembaziran yang tidak perlu

Kalau sebelum PKP, kita banyak “menyumbang” kepada pembaziran dan pencemaran alam sebagai contoh melalui penggunaan kertas bercetak tanpa kawalan. Justeru, marilah kita sahut kempen menjadikan dunia lebih harmoni dengan mengamalkan konsep Hijau dalam persekitaran kerja kita. Perkara ini telah diwar-warkan oleh PBB iaitu 17 perkara dalam Sustainable Development Goals (SDGs) bagi menjadikan dunia lebih lestari dan selamat menjelang 2030 nanti. Malaysia pun telah bersetuju mengamalkan SDGs ini. Caranya mudah, kita gunakan saja konsep awan (cloud) dalam persekitaran kita dengan menyimpan dan memberikan tugasan melalui pelbagai jenis peranti dan juga internet. Simpan kerja kita dalam One Drive, Google Drive dan gunakan kelebihan SHARE. Kurangkan penggunaan mesin cetak. Sebagai contoh, kita boleh melaksanakan sesi ujian dan peperiksaan melalui penggunaan Microsoft Forms, Google Forms dan sebagainya.

Pengendalian ujian boleh dikendalikan menggunakan Microsoft Forms

3.       Penilaian prestasi pelajar bukan melalui peperiksaan semata-mata

Sebenarnya perkara ini telah pun berlaku sejak beberapa tahun lepas. Paling ketara ketika, Perdana Menteri kita hari ini menjadi Menteri Pendidikan. Kita mula melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang antara lain meletakkan autoriti pihak sekolah (Baca: Guru) sebagai elemen paling dipercayai untuk menilai prestasi pembelajaran pelajar. Sejak itu kita mula melangkah lebih jauh dengan pengenalan dan perubahan dalam bidang pendidikan seperti konsep PAJSK (penilaian aspek ko-kurikulum pelajar) sebagai salah satu petunjuk prestasi bagi kemasukan ke IPTA, pengenalan soalan KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) dan lain-lain. Yang terbaru pelaksanaan KSSM secara berperingkat yang telah menunjukkan hasilnya. Namun, tidak dinafikan sebahagian daripada kita (guru, ibu bapa & masyarakat) masih lagi melihat Gred A sebagai pengukur kepada kecemerlangan pelajar. Media masih lagi seperti dahulu. Berkongsi kisah kejayaan berdasarkan “A” kerana “mungkin” itu kehendak masyarakat.

Di sebalik PKP yang berlangsung dengan tempoh masa cuti persekolahan yang belum pasti, solusi pembelajaran atas talian sudah mula menunjukkan peningkatan. Masyarakat sudah mula nampak PROSES pendidikan itu sebenarnya lebih penting berbanding penilaian GRED semata-mata. Ibu bapa dan guru mula redha jika PKP ini terpaksa dipanjangkan lagi kerana tadika, UPSR, PT3 bukan lagi masalah besar kerana ia sistem berasaskan sekolah. Mereka lebih risaukan SPM dan STPM yang setakat ini masih menentukan masa hadapan pelajar melalui penilaian berasaskan peperiksaan. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) telah menunjukkan hasilnya dan lebih disedari oleh masyarakat di musim PKP ini.

Apa yang perlu dilakukan seterusnya? Teruskan saja dan lakukan penambahbaikan kepada segala kekurangan. Revolusi kepada sistem peperiksaan SPM/STPM sedang diusahakan. Mengubah stigma peperiksaan sebagai petunjuk utama kecemerlangan yang telah mekar lama dalam minda masyarakat memang sedikit sukar dan mengambil masa. Cuma, COVID-19 ini dilihat dapat mempercepatkan proses itu. Hikmah yang dapat dilihat bagi mereka yang berfikir.


Kesimpulan:

Cukuplah setakat ini sahaja dulu harapan dengan angan-anganku. Jika tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya, jalankan setakat mana yang mampu pun sudah cukup besar rahmatnya. Terima kasih kepada pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan yang berani melakukan  perubahan besar kepada sistem pendidikan di negara kita. Warga pendidik, pelajar, ibu bapa serta masyarakat perlu sentiasa saling menyokong satu sama lain untuk melaksanakan perubahan dan HIJRAH. Cukup peristiwa HIJRAH Rasulullah SAW bersama para sahabat menjadi panduan kita. HIJRAH yang besar perlu dilakukan secara kolektif dan penuh berstrategi supaya matlamat yang ingin dicapai benar-benar mendatangkan manfaat kepada semua. Sesungguhnya COVID-19, makhluk yang Allah SWT baru ciptakan supaya menjadi peringatan dan menyatukan hati-hati kita. Wallahua’lam.

Comments