Menyusun kerja sekolah anak daripada group WhatsApp
sekolah
Ada sesetengah sekolah mewujudkan
group WhatsApp ibu bapa sempena PKP ini sebagai medium perantara untuk
menyampaikan maklumat tentang kerja sekolah anak-anak. Sifirnya mudah, semua
orang ada WhatsApp. Ia nampak mudah pada peringkat permulaan tetapi setelah
beberapa minggu, tugasan demi tugasan yang diberikan oleh guru-guru berbeza sudah
kelihatan seperti longgokan yang tidak mudah diurus lagi. Ibu bapa sedikit
lemas melihat group yang sudah mula penuh dengan maklumat yang tidak
tersusun.
Ditambah pula dengan kepelbagaian
format atau platform yang digunakan oleh guru-guru untuk menjalankan pengajaran
secara dalam talian. Ada guru yang bagi pautan/link ke laman tertentu
seperti Kahoot, Quizizz, Google Classroom, Microsoft Teams dan lain-lain. Ada
yang bagi gambar dalam bentuk jpeg atau png. Ada yang minta salin atau print
dan macam-macam lagi. Ibu bapa sudah mula pening sehingga ada yang terpaksa memilih
untuk membiarkan saja group tersebut atas pelbagai alasan seperti
masalah internet, kerja sekolah terlalu banyak dan sebagainya. Lebih-lebih lagi,
pembelajaran dalam talian ini bukan paksaan bagi sesetengah sekolah. Ada ibu
bapa yang gigih, melayari semula maklumat daripada hari pertama group WhatsApp
diwujudkan dan menyediakan senarai semak sendiri supaya anak-anak tidak
tertinggal satu pun kerja sekolah yang diberikan.
Dalam situasi ini saya memilih
untuk mengambil jalan tengah. Tidak menyalahkan guru, tidak juga menyalahkan
ibu bapa kerana ini semua adalah Norma Baharu. Saya ialah seorang guru, saya
juga seorang bapa. Kita perlu berlapang dada menerima kekurangan yang ada dan
membaikinya dari semasa ke semasa. Semua ini berlaku secara mengejut tanpa
persediaan secukupnya. Kita menghadapi serangan yang tidak terjangka dan
terpaksa menggunakan apa sahaja sumber yang ada dan yang kita ketahui bagi menghadapi
situasi ini. Paling penting, anak-anak perlukan ilmu dan pelajaran. Ibu bapa
dan guru pastinya mahu buat yang terbaik untuk anak-anak.
Sebagai cadangan, ibu bapa atau
guru boleh mencuba menggunakan platform Wakelet untuk membina koleksi kerja sekolah
anak dengan lebih tersusun. Wakelet memang dicipta untuk membina koleksi dan
mengumpulkan segala jenis link/pautan yang terdapat di dalam atau di
luar peranti kita seperti laptop dan telefon pintar. Dan lebih menarik lagi,
apabila koleksi telah siap, anda atau anak-anak boleh muatnaik kerja sekolah
dalam koleksi tersebut, dan bagi pautan/link kepada guru untuk membuat
semakan secara dalam talian.
Jom, ikuti sedikit tutorial ringkas ini untuk
mengetahui bagaimana menggunakan Wakelet untuk membina senarai semak kerja
sekolah anak-anak kita. Sila klik pautan ini https://www.facebook.com/faisal.fadzil.7/posts/10221349279337715 untuk mendapatkan tutorial.
Comments
Post a Comment