Alhamdulillah, pada minggu ini dapat kami usahakan satu siri webinar secara kecil-kecilan di peringkat maktab di bawah penganjuran Jawatankuasa Pembelajaran PAK-21. Memandangkan sekarang ini hanya pelajar Tingkatan 5 sahaja yang ada di maktab, pelajar-pelajar lain pula masih berada di rumah/kampung masing-masing, guru-guru perlu menjalankan PDPC secara dalam talian. Dan pelaksanaaan ini bukan sesuatu yang mudah kerana guru-guru juga ingin mempelbagaikan kaedah pengajaran secara dalam talian. Semua ini perlu dipelajari terutamanya tentang bagaimana penggunaan aplikasi-aplikasi pendidikan berbentuk digital yang dapat membantu guru melaksanakan PDPC dalam talian.
Webinar ini disertai oleh warga MRSM Balik Pulau terutamanya guru-guru dan juga disampaikan oleh para pendidik dan kakitangan MRSM Balik Pulau melalui platform Microsoft Teams. Ia bakal berlangsung dalam beberapa siri dan minggu ini bermula dengan Siri 1 yang telah disampaikan oleh 3 orang guru/kakitangan maktab.
Minggu ini webinar lebih memfokuskan kepada penggunaan asas Akaun Office 365 maktab. Sesi 1 dimulakan oleh Puan Yuriati Yusof, Penolong Pegawai Teknikal yang menyelaras dan menyediakan emel maktab kepada semua pelajar dan guru. Sesi 2 oleh Puan Siti Aishah Ebrahim, Penyelaras E-FRM (Fail Rekod Mengajar). E-FRM adalah pendokumentasian rekod mengajar secara dalam talian menggunakan Microsoft Teams dan Class Notebook menggantikan kaedah pemfailan lama menggunakan fail keras. Sesi 3 pula tentang asas penggunaan Microsoft Teams iaitu bagaimana menguruskan kelas dan menjalankan mesyuarat yang disampaikan oleh saya sendiri. Manakala Cikgu Aimi Shaheera bertindak sebagai moderator untuk sesi kali ini. Ustaz Mohd Romei pula sebagai pembaca doa.
Ketiga-tiga sesi ini saling berkaitan di antara satu sama lain dan dapat memantapkan kefahaman guru-guru tentang penggunaan Akaun Office 365 masing-masing. Berdasarkan respons dan cadangan, para peserta mencadangkan webinar ini diteruskan lagi dengan perkongsian-perkongsian amalan terbaik dan tunjuk cara aplikasi pendidikan. InsyaAllah, berdasarkan perbincangan dengan Timbalan Pengetua Kecemerlangan Akademik, Encik Norfairizam Nordin dan para AJK PAK-21, webinar akan diteruskan lagi dengan Siri 2 pula pada minggu hadapan dengan menjemput 4 orang lagi penceramah dalam kalangan guru-guru MRSM Balik Pulau.
Sebagai tambahan, ianya juga disiarkan secara langsung melalui saluran Youtube Cikgu Fitri, seorang pendidik Youtuber daripada maktab kami. Siaran Youtube ini menggunakan platform OBS. Penganjuran Webinar ini juga mengambil inspirasi daripada hasil cetusan idea Cikgu Fitri yang sebelum itu telah menganjurkan kelas OBS secara dalam talian khas untuk rakan-rakan guru MRSM Balik Pulau melalui saluran Youtube beliau. Banyak perkongsian menarik yang dikongsikan dalam salurannya. Beliau juga sangat mahir dalam menggunakan Adobe Photoshop dan menghasilkan video-video menarik.
Jom Subscribe Channel Cikgu Fitri
Terima kasih diucapkan kepada Tuan Pengetua, Tuan Haji Khairul Anuar, Timbalan Pengetua Kecemerlangan Akademik, Tuan Haji Fairizam, ahli-ahli jawatankuasa dan pihak pengurusan maktab yang menjadi penggerak kepada sesi webinar ini. Semoga ia dapat menjana ilmu pengetahuan dan mencetuskan pembudayaan kepada cara kerja digital di MRSM Balik Pulau.
Comments
Post a Comment