Minggu ini merupakan minggu pertama persekolahan bagi pelajar-pelajar MRSM Tingkatan 1 hingga 3. Cuti lama dan berada di kampung halaman hampir 5 bulan menghadirkan pelbagai pengalaman pahit manis dalam kalangan pelajar. Antaranya, pengalaman mengikuti kelas secara dalam talian.menggunakan pelbagai jenis aplikasi dan pelantar di ruangan internet terutamanya.
Setelah mereka kembali ke sekolah, saya mahu melihat semua ini ada kesinambungan. Saya melihat pembelajaran dalam talian masih perlu diteruskan walaupun bukan melibatkan Distance/Remote Learning.
Hal ini kerana, dalam era Industri 4.0 ini, pelajar perlu dibiasakan dengan aktiviti teknologi seperti penggunaan komputer supaya pada masa akan datang mereka tidak kekok untuk 'bermain' dengan teknologi. Saya ingin melatih pelajar-pelajar untuk menghasilkan inovasi teknologi mereka sendiri bukan sekadar menjadi pengguna tegar.
Oleh itu, sikap originaliti perlu dipupuk dalam jiwa dan pemikiran pelajar. Aktiviti pembelajaran minggu ini saya fokuskan kepada penghasilan buku teks digital menggunakan Wakelet. Sebelum ini saya pernah memperkenalkan Wakelet kepada pelajar tetapi ramai yang lupa ekoran cuti sekolah akibat wabak COVID-19 yang masih berlaku sehingga kini.
Jadi saya perkenalkan semula ciri-ciri asas Wakelet kepada mereka, dan alhamdulillah generasi pada masa kini sangat cekap menggunakan komputer dan tak perlu saya tunjuk satu persatu. Malah mereka lagi cepat belajar dan hebat daripada guru.
Setiap pelajar saya berikan satu bab. Sebagai contoh, buku teks Pendidikan Islam Tingkatan 1 ada 30 bab, setiap pelajar dapat satu bab. Mereka perlu pergi ke akaun saya untuk mendapatkan koleksi buku teks digital yang saya bina sendiri, dan mereka hanya salin (copy) koleksi saya dan masukkan ke akaun mereka kemudian olah semula buku teks digital saya, kepada versi mereka sendiri.
Pada akhirnya, setiap pelajar ini akan berkolaborasi melengkapkan 30 topik pembelajaran yang lengkap dengan material interaktif seperti video berkaitan, kuiz, ulasan pelajar tentang topik dan lain-lain bahan yang penting untuk disertakan sekali. Pada akhirnya, terhasillah satu buku teks digital yang hidup dan bukan semata-mata berbentuk teks dan gambar seperti penampilan buku teks fizikal atau versi PDF sebelum ini.
Apabila koleksi ini telah lengkap, pelajar-pelajar akan berkongsikan pautan buku teks ini kepada khalayak pelajar di seluruh negara. Buku teks digital ini akan menjadi satu sumber rujukan pembelajaran tambahan yang sedia digunakan oleh pelajar mahupun guru. Jika digunakan sepenuhnya, ia mampu mengatasi masalah buku teks berat yang dialami oleh pelajar-pelajar pada masa kini. Malah ia boleh digunakan di mana sahaja pada bila-bila masa.
Buku Teks Digital Guru (Asal): Pelajar boleh salin koleksi ini & ubah mengikut versi sendiri
Buku Teks Digital Pelajar yang baru dikumpulkan semula dengan ciri lebih interaktif
Comments
Post a Comment