Al-kisah Kebun Durian MRSM Balik Pulau

Panorama indah kebun di atas bukit belakang maktab yang sudah lapang

Tahun 2020 sudah sampai ke penghujungnya. Pelbagai peristiwa pahit manis berlaku sepanjang tahun ini di samping pandemik Covid-19 yang menyerang dunia. Namun, kehidupan perlu diteruskan dengan gaya yang positif.

Di MRSM Balik Pulau, kami ada gaya tersendiri. Satu perubahan besar-besaran sedang dirancang dan dilaksanakan pada tahun ini melibatkan landskap dan fizikal maktab ini. 

Di antara projek 'mega' yang sangat menarik ialah mewujudkan sebuah kebun durian di belakang maktab. Kebun durian sedia ada sudah sedikit uzur dan bersemak umpama hutan. 

Dengan usaha kumpulan staf dan guru, hutan telah menjadi lapang dan ditanam dengan pelbagai jenis anak pokok durian Balik Pulau hasil sumbangan guru dan staf maktab. Jagung sudah menbuahkan hasil, durian pula sedang meniti hari-harinya.

Usaha mewujudkan semula kebun durian dan ruang rekreasi dapat menjadi satu nadi baru MRSM Balik Pulau. Di sebaliknya adalah manifestasi perpaduan, perit jerih, usaha gigih, keazaman tinggi dan kerjasama sesama warga maktab dalam menyempurnakan visi maktab demi manfaat generasi akan datang. 

Tahniah dan syabas tuan pengetua, Tuan Haji Mohd Khairul Anuar atas usaha beliau dan juga kumpulan staf dan guru yang bertungkus lumus menjadikannya satu realiti. Semoga usaha gigih tanpa jemu anda semua diberkati Ilahi. Berbakti pada tanah tidak akan sia-sia. Hasilnya bakal dinikmati bersama dan pastinya menjadi amal jariah yang tidak putus-putus pahalanya di sana.

Aksi menumbangkan pokok dan melapangkan kebun


Comments