Terima kasih pihak penganjur Modern Classroom Webinar, Cikgu Aman,
Digital Classroom Malaysia dan
Pusat STEM Negara
atas kesudian memberi peluang kepada saya untuk berkongsi pengalaman menggunakan Windows 10 dan Surface Go bersama rakan pendidik dari seluruh negara. Alhamdulillah selama lebih kurang 1 jam, dapat saya kongsikan sedikit tentang manfaat Windows 10 bagi kegunaan para pendidik bersama pelajar. Sebenarnya, terlalu banyak kelebihannya jika digunakan secara maksimum. Perkongsian dalam masa yang singkat ini tidak dapat menceritakan secara keseluruhan tetapi pada saya ia sudah cukup untuk memberi pendedahan kepada para pendidik tentang potensi Windows 10 dan keberkesanannya dalam membentuk pedagogi pendidikan yang lebih mapan.
Lebih berkesan lagi, jika Windows 10 dapat diintegrasikan dengan akaun Office 365 para pendidik. Gabungan Windows 10, Office 365 dan lain-lain aplikasi pendidikan pada akhirnya akan membentuk pemikiran kreatif, melahirkan sifat kendiri yang tinggi dalam kalangan pelajar. Di samping pengggunaan gajet, jangan kita lupakan tentang pedagogi dan kaedah sentuhan insani kepada pelajar-pelajar kita. Perhatian dan sifat prihatin pendidik adalah kaedah terbaik dalam mendidik para pelajar. Apatah lagi bila ia digabungjalin dengan teknologi pendidikan, pastinya akan mendatangkan manfaat besar dan dapat menyediakan pelajar kita dengan segala kelengkapan ilmu dan kemahiran tinggi bagi menghadapi masa hadapan mereka terutamanya dalam bidang pekerjaan serta pembentukan sahsiah.
Bergandingan dengan ikon pendidikan kebangsaan dan Cikgu Juara Digital, Cikgu Aman memberikan saya pengalaman yang begitu manis kerana saya amat mengagumi kesungguhan, kreativiti dan keghairahan beliau dalam berkongsi ilmu pengetahuan dengan khalayak pendidik seluruh negara. Beberapa kali berpeluang bersembang santai atau pun berdiskusi serius dengan beliau, saya dapat melihat Cikgu Aman tidak pernah kedekut berkongsi ilmu, pengalaman dan pengetahuannya yang luas. Saya juga banyak meminta pandangan dan khidmat nasihat beliau sebelum webinar ini berlangsung. Beliau sememangnya menjadi inspirasi para pendidik di seluruh negara atas kejayaan demi kejayaan yang telah beliau kecapi.
Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang turut serta dalam webinar. Jom sertai perkongsian dari rakan pendidik yang lain dalam siri-siri selepas ini. Begitu juga isteri saya, Nurul Adha Rajali yang sentiasa menjadi penyokong kuat, menjadi juri tidak rasmi untuk saya sentiasa membuat penambahbaikan dalam setiap sesi ceramah yang saya sampaikan.
Semoga perkongsian malam tadi memberikan manfaat kepada semua insyaAllah.
Comments
Post a Comment