Bedah buku: The Brain Training Revolution


Cikgu dan Inovasi membuka episod khas kali ini dengan segmen Bedah Buku. Terdapat terlalu banyak buku di pasaran yang sangat sesuai untuk dibaca oleh mereka yang meminati bidang invovasi dan para inovator. Antara buku yang ingin saya kongsikan di sini ialah: 

Tajuk      :    The Brain Training Revolution (A Proven Workout For Healthy Brain Aging)

Penulis   :     Paul E.Bendheim, MD

Terbitan :    Sourcebook,Inc (terbitan Advantage Quest Publications, Petaling Jaya (Malaysia))

Maklumat Tentang Penulis

Video Tentang Penulis

Tajuk buku ini menarik minat saya untuk mengetahui lebih lanjut tentang bagaimana memaksimumkan penggunaan otak dan daya fikir kita. Secara ringkasnya, penulis memfokuskan kepada bagaimana untuk melatih otak dalam kehidupan seharian sebagai persediaan menghadapi hari-hari tua. Mengikut pendapat penulis, melatih otak sama pentingnya dengan melakukan senaman untuk melatih otot-otot dan menguatkan fizikal kita. 

Otak juga perlu diberikan nutrisi sepenuhnya sebagaimana kita memberikan organ-organ dalam badan kita dengan zat-zat dalam makanan supaya otak kekal cergas dan dapat mengelakkan daripada terkena penyakit lupa, kurang daya ingatan dan proses membuat keputusan atau lebih teruk lagi penyakit Alzheimer. 

Pada pendapat saya, buku ini bukan sahaja sesuai untuk mereka yang sedang meningkat usia yang sedang tercari-cari kaedah terbaik memaksimumkan fungsi otak seperti mana usia muda mereka, tetapi ia juga sesuai untuk mereka yang ingin mengenal potensi diri sendiri melalui kaedah mempelajari penggunaan fungsi otak yang sistematik.

Buku ini dibahagikan kepada 3 bahagian utama iaitu pada bahagian 1 (3 bab), pembaca akan didedahkan dengan pengenalan kepada struktur anatomi otak dan bagaimana proses otak dalam menyimpan memori, menaakul, membuat keputusan sehinggalah kepada mengawal pergerakan anggota badan seperti pernafasan dan mengawal degupan jantung. Proses kompleks ini ada tatacaranya yang tertib dan sistematik, yang apabila kita mengetahuinya secara mendalam ia dapat membuat kita sedar atas perilaku dan perkara yang berlaku terhadap diri kita dan orang lain. 

Pada bahagian 2 (6 bab), penulis melebarkan perkongsiannya kepada bagaimana kita melatih menggunakan otak melalui pergerakan-pergerakan khas (Brain Gym), keperluan makanan untuk memaksimumkan dengan keupayaan otak, kepentingan senaman dan stamina, latihan memantapkan memori melalui bahan visual seperti permainan silangkata, padanan gambar dan banyak lagi. Penulis juga mendedahkan bagaimana stress boleh mengakibatkan kehilangan memori dan bagaimana kaedah terbaik mengatasinya. Kepentingan dan ulasan mengenai keperluan tidur yang mencukupi bagi melatih minda yang cerdas juga diulas dengan begitu baik. 

Pada bahagian rumusan, penulis membuat kesimpulan bahawa program Brain Training Revolution yang diasaskan oleh beliau dan rakan-rakannya menekankan kepada 3 aspek utama bagi mengekalkan kecerdasan otak seiring dengan proses penuaan iaitu yang pertama senaman fizikal yang sederhana, pengambilan nutrisi makanan yang sihat serta kerap melakukan aktiviti-aktiviti Brain Gym. 3 aspek ini jika dilaksanakan secara kerap dan sistematik dapat membantu seseorang individu merasakan kualiti hidup yang lebih baik di samping menjalani aktiviti sosial, tidur yang konsisten, mengurus stress dengan baik dan menjalani gaya hidup sihat. 

Pada bahagian 3, disediakan jawapan-jawapan kepada pelbagai aktiviti Brain Gym yang disediakan pada bahagian 2, dan juga sumber-sumber rujukan pelbagai jenis buku oleh penulis. Setelah membaca buku ini, ia dapat memberikan kefahaman kepada saya bahawa, mengenali struktur anatomi otak yang mengandungi pelbagai bahagian dan memahami fungsi setiap bahagian secara spesifik dapat membuat saya berfikir dengan penuh kesedaran tentang proses sebenar yang berlaku seterusnya mampu menajamkan daya fikir terutamanya dalam prosses membuat keputusan. 

Kesedaran menjaga kurniaan Tuhan yang sangat hebat ini lebih awal dapat memelihara kita daripada penyakit lupa seperti alzheimer dan menjadikan hidup kita lebih bermakna kerana kita sedar walau bagaimana canggih pun ciptaan manusia seperti super komputer, ia masih terlalu jauh untuk menandingi kehebatan otak yang Allah SWT ciptakan. Tepatlah madah ahli sufi yang menyebut "Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka dia akan mengenal tuhannya"


Comments