Alternatif terbaik bagi kelas PdPR secara WhatsApp



Situasi biasa PdPR di WhatsApp

Sebahagian pendidik selesa menjalankan kelas PdPR melalui WhatsApp. Teks arahan, video-video pengajaran, lembaran aktiviti dan kuiz diletakkan dalam group WhatsApp. Kehadiran pelajar juga  diambil dengan WhatsApp melalui kaedah 'copy paste' daripada mesej asal. Selepas itu, murid pula perlu hantar tugasan (biasanya dalam bentuk gambar dan video) dalam kumpulan Whatsapp yang sama. 

Masalah PdPR dalam WhatsApp 

Kaedah ini mudah pada peringkat permulaan tetapi lama kelamaan ia akan menjadi sukar untuk diuruskan kerana kebanjiran begitu banyak teks, gambar dan maklumat-maklumat yang lain. Bagi guru yang menjadi Admin, mereka akan mengalami masalah seperti sukar mengumpul tugasan pelajar, terpaksa muat turun semua tugasan pelajar sehingga memenuhi ruang setoran telefon/gadjet mereka. 

Lebih sukar lagi, jika guru tidak sempat muat turun tugasan tersebut sesegera mungkin, ia tidak boleh dimuat turun lagi kerana sumber asal gambar/video itu telah dipadamkan oleh pelajar sebagai contoh. Selain itu, terlalu banyak teks contohnya rekod soal jawab, respon pelajar dan lambakan fail di ruang WhatsApp akan menyebabkan keserabutan dalam mengurus kelas pada masa akan datang.

Guru-guru menyukai WhatsApp kerana sifatnya yang ringan dan mudah untuk menjalankan kelas PdPR tetapi kesukaran menguruskan fail secara sistematik seperti penyimpanan eviden menyebabkan WhatsApp bukanlah pilihan terbaik. 

Google/Microsoft Forms alternatif terbaik

Saya mencadangkan, kita gunakan Google Forms atau Microsoft Forms. Dalam penulisan ini, saya akan memfokuskan kepada penggunaan paling asas sahaja. Saya akan tunjukkan fungsi sama Google/ Microsoft Forms yang mampu menyelesaikan masalah tersebut.

Kebiasaannya kelas dimulakan dengan merekod kehadiran pelajar, tayangan video, membaca nota dan diakhiri dengan menjawab soalan. Dengan hanya menggunakan satu 'borang' Google/Microsoft Forms saja, kita boleh menjalankan satu sesi PdPR dengan lancar dan sistematik. Cadangannya, adalah menyatukan rekod kehadiran, video (youtube, ciri ini saya paling suka), pelbagai jenis soalan subjektif dan objektif serta memberikan kuiz semuanya di dalam satu borang sahaja. 

Penjelasannya adalah seperti berikut:

  • Rekod Kehadiran
Sebagai contoh, boleh gunakan fungsi soalan berbentuk Multiple Choice (Google Forms)/Choice (MS Forms) untuk mengambil kehadiran pelajar. 





  • Video
Kita boleh meletakkan pautan video daripada Youtube ke dalam Google/MS Forms. Bagi MS Forms, klik saja pada image pada soalan, kemudian pilih Insert Media (video) dan pastekan sahaja pautan URL daripada video di Youtube dalam ruang disediakan. 



Bagi Google Forms, klik saja ikon video di sebelah kanan Forms kemudian pastekan URL pada ruang disediakan. Google Forms membenarkan pengguna membuat carian Youtube dalam borang ini juga manakala MS Forms, perlu buat carian di laman Youtube yang asal. 

  • File Upload
File Upload berfungsi untuk mengutip respon berbentuk fail daripada pelajar. Pelbagai bentuk fail boleh dikumpulkan daripada responden dengan menggunakan fungsi ini. Ia membolehkan pelajar/responden memuat naik pelbagai jenis fail (contohnya imej, video, PDF, audio, Word/Document, Excel/Spreadsheet, Power Point/Presentation) bermula dari saiz 1MB sehingga 10 GB. 


Fail-fail ini akan dikumpulkan dalam satu folder Google Drive (Google Forms)/One Drive (Microsoft Forms). Guru tidak perlu lagi muat turun satu persatu atau menyusun semua tugasan pelajar secara manual dalam komputer/telefon mereka. Paling baik, ia tidak makan ruang setoran dalam peranti kita. Fungsi yang sangat besar manfaatnya. 

  • Kuiz
Guru boleh menggunakan pelbagai fungsi soalan dalam Google Forms seperti Multiple Choice, Checkboxes, Short answer, paragraph dan lain-lain mengikut kesesuaian dan keperluan kelas masing-masing. Bagi MS Forms pilihannya ialah Choice, Text, Ranking, Rating dan lain-lain. 

Jika guru ada pautan kuiz di platform lain seperti Quizizz, Kahoot dan sebagainya, apa kata copy saja pautan kuiz tersebut dan masukkan ke dalam Google/MS Forms dengan memilih fungsi Text atau Short answer. 


Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara dan strategi untuk memastikan PdPR berjalan dengan lancar dan sistematik. Ia terpulang kepada kesesuaian dan keperluan proses PdPR itu sendiri. Tidak kira betapa ringkasnya proses pembelajaran atau betapa canggihnya platform yang kita gunakan, akhirnya semua itu perlu mengambil kira objektif dan keberkesanan terhadap pelajar kita. 









Comments