Susulan pengumuman yang dibuat oleh Senator Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin, Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia) tentang pemansuhan UPSR bermula tahun ini dan pembatalan PT3 2021, terdapat respons bercampur baur dalam kalangan warganet.
Ada yang setuju, ramai juga yang tidak bersetuju, ada juga
yang melahirkan kebimbangan tentang pembaharuan yang sedang dilakukan.
Saya secara peribadi melihat ini sebagai satu perkembangan yang positif dalam bidang pendidikan di negara kita. Hal ini kerana, kita selepas ini tidak lagi menjadikan peperiksaan sebagai satu instrumen utama untuk menilai kebolehan anak-anak.
Pihak sekolah mahupun mereka yang berkecimpung dalam bidang pendidikan di
sekolah selepas ini mempunyai lebih masa untuk menilai, menggred seterusnya
membangunkan potensi pelajar berdasarkan kecerdasan masing-masing.
Perkara ini sebenarnya bukan
baharu. Sejak Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkenalkan
beberapa tahun dahulu, ketika Perdana Menteri kita menjadi Menteri Pendidikan
lagi, langkah serius untuk memperkenalkan sistem tanpa Peperiksaan Awam dalam
pendidikan di sekolah telah diambil.
Generasi pertama PBS sekarang ini telah pun melangkah ke Tingkatan Lima dan merupakan generasi pertama yang bakal menduduki peperiksaan SPM dengan format baru KSSM.
Maka tidak hairanlah,
pengumuman pemansuhan UPSR diumumkan secara rasmi bermula tahun ini sekali
dengan Pembatalan PT3 2021, lebih-lebih lagi ketika situasi Pandemik Covid-19
belum nampak lagi kesudahannya.
Pada pendapat saya, pengumuman
ini tidak diambil secara tergesa-gesa kerana secara praktikalnya, para
pendidik di sekolah rendah mahupun menengah sebenarnya telah melaksanakan PBS
selama bertahun-tahun cuma mungkin dengan sedikit penekanan sahaja kerana fokus
kita sebelum ini adalah pada meningkatkan skor dalam peperiksaan dan
pentaksiran awam.
Pihak atasan dan kita sendiri lebih
mengutamakan skor akhir pelajar. Bagi peringkat sekolah rendah, kita lebih
mengutamakan skor akhir dengan bilangan A pelajar dalam UPSR untuk menentukan
kemasukan ke asrama penuh misalnya. Begitu juga dengan PT3. "Lebih banyak
A lebih bagus atau lebih cerdik pelajar itu".
Selepas pengumuman ini, fokus kita lebih kepada proses dan bukan skor akhir. Pembelajaran itu sendiri adalah proses, hasilnya tidak semestinya dapat dilihat dengan segera. Kerana bila disebut sebagai proses, ianya mengambil masa.
Sekolah rendah sendiri
mengambil masa 6 tahun, sekolah menengah sekurang-kurangnya 5-7 tahun, manakala
proses pembelajaran di IPT juga sama. Penekanan kepada proses
pembelajaran adalah lebih utama berbanding skor akhir.
Keresahan umum tentang pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 perlu diubati dengan penjelasan demi penjelasan oleh pihak kerajaan tentang kebaikan perkara ini. Warga pendidik juga diharapkan berganding bahu, bersama-sama mengambil peluang ini untuk membangunkan potensi diri pelajar.
Pemansuhan dan pembatalan ini pada
hakikatnya tidak mengurangkan sedikit pun beban para pendidik malah ianya
menjadi satu lagi cabaran yang lebih berat kerana potensi dan masa hadapan
pelajar dinilai secara menyeluruh bukan setakat aspek akademik.
Tapi
sekurang-kurangnya, kita berasa lega sedikit kerana kita percaya stigma
sesetengah masyarakat yang melihat kepada ukuran kecerdikan semata-mata pada
bilangan A dalam bidang akademik lambat laun akan berubah kepada
melihat kepada pelbagai aspek kecerdasan individu dalam bidang bukan akademik
juga.
Pemansuhan dan pembatalan in bukan lah
bermaksud tiada langsung peperiksaan, tetapi kali ini autoriti diberikan
lebih kepada pihak sekolah di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan
Pentaksiran Bilik Darjah yang dinilai melalui Penilaian Formatif
(sepanjang tahun) dan Penilaian Sumatif (akhir).
Ringkasnya, guru yang lebih mengenali pelajarnya dan paling dekat untuk menilai potensi pelajar.
Pentaksiran
Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang
sememangnya telah dilaksanakan sejak PBS diperkenalkan tetapi kurang menjadi
fokus kepada umum, adalah bentuk penilaian yang lebih menyeluruh dan
lebih baik berbanding sistem peperiksaan semata-mata.
Mungkin ia memerlukan sedikit masa untuk umum membiasakan dengan satu-satu pembaharuan.
Jalankan saja kerja kita, kita sokong perkara baik yang dapat membangunkan negara. Sebagai pendidik, kita telah pun masuk Gear 4 dalam pelaksanaan alternatif kepada sistem peperiksaan sebelum ini.
Cuma kali ini, kita pacu Gear 5 dan bakal memotong atau
sekurang-kurangnya seiring dengan sistem pendidikan negara maju yang lain.
Semestinya, pelaksanaan bukannya semudah
yang disangka, tetapi sekurang-kurangnya kita telah memulakan langkah ke arah
sistem pendidikan yang bertaraf global. Syabas!
Comments
Post a Comment