Kursus Pendidik Tik Tok :Pengalaman Cikgu Juara Digital 2021

5 jenis format video Tik Tok yang boleh dihasilkan pendidik 


9 Jun 2021 adalah hari mulanya pertemuan 30 orang Cikgu Juara Digital 2021 di platform maya setelah dinobatkan sebagai CJD. 

Pertemuan pertama ini dengan tujuan menghadiri Kursus Pembangunan Pengisian Digital bersama Tik Tok / TikTokGuru Edu Workshop  yang disampaikan oleh Encik Darren dari Tik Tok Malaysia melalui platform Zoom. Kursus ini dipengerusikan oleh Encik Johan, pegawai dari MDEC.

Sebelum ini kami hanya berkumpul di kumpulan WhatsApp sahaja dan belum bertemu muka. Pada sesi ini, kami juga belum sempat berkenalan di antara satu sama lain kerana pertemuan rasmi CJD 2021 dengan pihak MDEC akan diadakan pada 10 Jun 2021, iaitu pada esok harinya.

Perkongsian mengenai Tik Tok oleh Encik Darren sangat menarik. Beliau banyak menunjukkan contoh-contoh Tik Tok yang bersifat pendidikan oleh para pendidik dari seluruh dunia terutamanya di Malaysia. 

Kami diperkenalkan dengan beberapa jenis video Tik Tok yang boleh digunakan dan diaplikasikan oleh para pendidik untuk digunakan sebagai platform pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, banyak tips yang diberikan beliau terutamanya pada penggunaan #hashtag. Hashtag menurutnya sangat penting supaya video yang dihasilkan akan tersebar lebih jauh dan menuju kepada pengguna yang tepat. 

Apa yang menarik juga, dikongsikan tentang Golden Rule Tik Tok salah satunya adalah 3 saat pertama. Pencahayaan dan filter contohnya dapat menarik minat orang ramai menonton video kita.

CJD 2021 bersemuka di alam maya untuk kali pertama


Ada beberapa perkara yang tidak digalakkan dalam penyampaian video Tik Tok. Durasi video melebihi 60 saat tidak berapa digalakkan kerana kebanyakan video dalam Tik Tok berdurasi kurang 60 saat dengan isi kandungan yang padat dan ringkas.  

Selain itu, penggunaan video dengan watermark juga tidak digalakkan kerana ia mungkin menyebabkan video tidak bergerak jauh. Tik Tok juga dinyatakan hanya sesuai untuk 13 tahun ke atas. Penggunaan Tik Tok oleh golongan bawah umur juga selalu dipantau oleh pihak mereka. Tik Tok ada menyediakan 'Parenting Control' juga bagi memudahkan kawalan oleh ibu bapa terhadap anak remaja mereka.

Disebabkan saya belum biasa menggunakan Tik Tok, kebanyakan maklumat yang dikongsi oleh Encik Daren sangat bermanfaat dan baru untuk saya. 

Contohnya, fungsi Tik Tok Live hanya diberikan kepada pemegang akaun yang memiliki lebih daripada 1000 followers

Penggunaan hashtag seperti #FYP (For Your Page) sebenarnya sangat terkenal dan boleh membantu video kita menjangkau khalayak pengguna. 

Hashtag seperti #TikTokGuru, #LearnOnTikTok dan lain-lain sangat sesuai digunakan oleh para pendidik.

Hashtag yang sesuai untuk konten pendidikan


Banyak lagi hasil perkongsian yang disampaikan oleh Encik Daren selama 2 jam yang tidak dapat saya rakamkan di sini. 

Apa yang dapat saya simpulkan ialah, apa pun platform yang kita gunakan ada pro dan kontranya. 

Sebelum ini, pandangan saya terhadap Tik Tok amat skeptikal. Saya melihat Tik Tok penuh dengan unsur-unsur negatif dan hiburan kosong yang tidak bermanfaat dan mem'bahaya'kan generasi masa kini.

Tetapi setelah membuat carian di Tik Tok, saya dapati ramai juga para ilmuan, ahli akademik, profesional, motivator dan pendidik yang menggunakan Tik Tok untuk menyebarkan pengetahuan. 

Mereka diikuti oleh ribuan dan ratusan ribu pengikut, banyak video dihasilkan mereka juga ditonton jutaan kali oleh penonton yang pastinya memberikan kesan positif kepada mereka. 

Ia tentang pilihan. Konten bermanfaat seperti ini perlu diperbanyakkan lagi, supaya medan Tik Tok ini lebih seimbang dan mendatangkan manfaat untuk semua.

Di penghujung bengkel, kami saling bertukar pautan ke laman Tik Tok masing-masing. Sebahagian daripada kami masih baru dengan Tik Tok, sebahagiannya pula memang sudah pakar dan menjadi influencer Pendidik Tik Tok. 

Terima kasih pihak MDEC, penceramah dan semua yang terlibat. CJD menjadi medan silaturahim bagi warga pendidik untuk terus berbakti kepada anak watan.

Ikuti saya di pautan berikut https://www.tiktok.com/@cikgudaninovasi?lang=en

Masih belajar dan ingin terus belajaršŸ˜€.

Comments