Computational Thinking: Penting untuk bidang pendidikan

 

Asas CT

Baru-baru ini saya berkesempatan mengikuti beberapa siri kursus Computational Thinking (CT) yang dianjurkan oleh pihak MDEC. Kursus ini disertai oleh semua #CikguJuaraDigital daripada 3 kohort berbeza. Kursus ini dikendalikan secara dalam talian dengan Encik Johan dari MDEC sebagai moderator, manakala penceramahnya ialah Puan Eleanor Cheah, seorang Computational Thinking Specialist dari Craft Guru Sdn Bhd.

Kursus ini dijalankan pada 22, 23, 26 dan 27 Julai 2021 secara dalam talian menggunakan platform Zoom sepenuhnya. Puan Eleanor sememangnya pakar dalam CT. Penerangannya sangat jelas dengan menggunakan bahasa yang mudah. Contoh-contoh yang diberikan beliau begitu dekat dengan bidang pendidikan dan membolehkan kami faham dengan konsep asas CT.

Kaedah pengendalian kursus ini pun sangat menarik. Beliau banyak menggunakan fungsi Breakout Rooms setiap kali tugasan diberikan. Sepanjang 4 hari berkursus ada kira-kira 3 tugasan yang diberikan. 3 tugasan tersebut dibahagikan kami kepada kumpulan yang berbeza-beza. Jadi dapatlah kami bersuai kenal dengan peserta-peserta berbeza yang sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Walaupun, kebanyakan daripada kami masih baru dalam mempelajari CT, namun itu tidak menghalang kami untuk cuba mengaplikasi sebaik mungkin ilmu tersebut.

Puan Eleanor memberikan tugasan mengikut tahap kefahaman. Pada peringkat permulaan, beliau cuma meminta kami berikan satu contoh berkaitan CT yang berlaku di sekeliling. Ada yang memberikan contoh mengemas setor, menyuruh anak buat kerja sekolah, melipat pakaian, membasuh baju dan lain-lain. Contoh-contoh mudah yang berlaku seharian dalam hidup kita ini sebenarnya adalah sebahagian daripada Computational Thinking. Contoh mudah tetapi berkesan dalam memahami ilmu yang sangat baharu ini. 

Tip mengingat 6 jenis CT oleh CJD Khairil Azmir

Pada tugasan berikutnya, Puan Eleanor memberikan situasi dan meminta peserta menghuraikan situasi tersebut dan memberikan cadangan penambahbaikan. Kumpulan kami mendapat tugasan tentang bagaimana seorang guru dapat mengimplementasikan CT dalam perbincangan sekumpulan pelajar yang sedang berbincang mengenai Latihan Kebakaran. Perbincangan dalam Breakout Rooms dapat dijalankan dengan baik dan tugasan dapat disiapkan dalam masa kira-kira 10 minit. Cikgu Razif@Cikgu Siber dari Perak mewakili kumpulan untuk sesi pembentangan. 

Dalam satu tugasan yang lain, tahap kesukaran sedikit bertambah apabila setiap kumpulan dikehendaki membincangkan tentang aktiviti dalam buku teks subjek tertentu dan masukkan unsur CT dalam proses PDPC topik tersebut. Tugasan ini agak mencabar kerana subjek yang diperolehi oleh kami adalah bukan subjek yang kami ajar. Kumpulan kami mendapat topik Pendidikan Seni dan perlu berfikir bagaimana menerapkan unsur CT dalam topik pembelajaran Rekaan Asas. Alhamdulillah, berkat kerjasama ahli kumpulan tugasan ini dapat diselesaikan dan dibentang dengan baik sekali oleh Cikgu Julie Mozianda dari Perlis. 

Tugasan seterusnya adalah lebih mencabar. Apabila semua peserta telah didedahkan dan dilatih menggunkan CT dalam PDPC, kami dikehendaki mengakses ke portal rasmi Bahagian Pembangunan Kurikulum dan  mengakses kepada modul subjek tertentu. Kemudian mencadangkan aktiviti dengan penerapan CT yang boleh dimasukkan ke dalam RPH yang telah disediakan. RPH atau modul tersebut sebenarnya telah dimasukkan unsur CT dengan nama Pemikiran Komputasional, tetapi kami diminta membuat cadangan penambahbaikan pada perkara tersebut berdasarkan latihan dan kursus yang telah disampaikan kepada kami. Cikgu Fadzli Ishak bertindak sebagai ketua kumpulan kami.

Kursus ini sangat bermanfaat kerana penerapan CT dalam bidang pendidikan menjadikan pelaksanaan PAK-21 lebih mudah kerana CT berpusatkan pelajar. Kaedah pembelajaran berpusatkan guru tidak sesuai dengan pelaksanaan CT. Ia juga menggalakkan elemen merentas kurikulum. Pembelajaran CT sangat penting dalam membudayakan pemikiran inovatif, penyelesaian masalah berasaskan teknologi dalam kehidupan seharian. 

Comments