Hadiah sebagai Cikgu Juara Digital





Pelbagai kelebihan yang diberikan kepada guru sekiranya berjaya bergelar Cikgu Juara Digital. Program tahunan anjuran MDEC ini memberikan peluang kepada guru yang terpilih untuk menimba lebih banyak ilmu berkaitan digital yang boleh diaplikasikan dalam sesi pengajaran.

Malah, guru bertindak sebagai agen pembangunan dan kemajuan dalam pembudayaan teknologi digital dalam kalangan pelajar. Pada tahun ini, Top 30 Cikgu Juara Digital bersama dengan Cikgu Juara Digital pada 2 tahun sebelum ini bakal diberikan peluang untuk mengikuti beberapa siri kursus berkaitan teknologi digital yang dihoskan oleh MDEC dan tenaga-tenaga pakar dalam industri.

Selepas bergelar Cikgu Juara Digital pada tahun ini, MDEC tidak mengambil masa yang lama untuk memberikan kami latihan khusus dalam bidang teknologi. Setakat ini, kami telah diberikan peluang mengikuti beberapa siri kursus seperti Tik Tok dalam pendidikan, pengekodan dalam platform SAM Lab dan pada minggu hadapan kursus berkaitan Computational Thinking yang sememangnya sangat berharga.

Latihan-latihan lain akan diberikan lagi sepanjang tahun ini. Semakin banyak ilmu baru yang diperolehi, terasa semakin banyak lagi yang kami tidak tahu. Begitulah sifat ilmu, ibarat lautan yang tidak pernah kering airnya dan tanpa batasan manfaatnya, semakin digali semakin dalam.

Pada minggu ini, bungkusan Tab Samsung A5 tiba di rumah sempena pengiktirafan sebagai Top 30 #CikguJuaraDigital tempoh hari. Kami juga menerima sijil penghargaan, plak yang sangat cantik serta baju t-shirt putih eksklusif. Terima kasih diucapkan kepada #mdecmalaysia atas hadiah yang sangat bermakna ini ...Sangat bermanfaat lebih-lebih lagi di musim PdPR ini.

Jom budayakan teknologi digital dalam pengajaran kita. Mulakan pendokumentasian aktiviti kelas berasaskan digital anda dari sekarang dan sertai pertandingan Cikgu Juara Digital pada tahun hadapan. Mana tahu ada rezeki.

Comments