Alhamdulillah, awal bulan Julai cikgudaninovasi berkesempatan mengikut satu kursus yang sangat menarik. Kursus secara dalam talian ini adalah mengenai pengekodan, satu bidang yang begitu asing kepada cikgudaninovasi. Pengekodan adalah satu ilmu yang sangat penting pada masa kini di mana asas kepada ilmu ini adalah pengetahuan mengenai Computational Thinking.
Kursus ini bertajuk Sam Lab yang disampaikan oleh Encik Khai Ahmad dari Cybertech Malaysia. Kursus anjuran MDEC ini dipengerusikan oleh Encik Johan, pegawai di MDEC yang menyelia program Cikgu Juara Digital. Lebih istimewa lagi, kursus ini menemukan Cikgu Juara Digital daripada semua siri (3 siri). Kursus bertambah meriah kerana masing-masing sudah lama tidak berjumpa dan mengambil kesempatan bertanya khabar dan berdialog secara santai sepanjang kursus berlangsung.
Kursus yang berlangsung hampir 2 jam ini mendedahkan kami dengan platform SAM Lab yang boleh dilayari secara percuma dengan pelbagai ilmu berkaitan pengekodan. Untuk tujuan pengenalan, Encik Khai menunjukkan kami bagaimana asas log masuk ke platform berkenaan dan menunjukkan tutorial mudah bagaimana melakukan pengekodan asas seperti menjana suis, lampu isyarat, kotak muzik dan beberapa tutorial lagi.
Disediakan juga pelbagai nota pengekodan yang boleh dimuatturun melalui laman web syarikat Cyber Tech dan Sam Lab. Encik Khai juga menunjukkan satu produk pengekodan berjenama Maker Kit yang sangat menarik dan boleh dihubungkan secara langsung dengan platform Sam Lab. Bagi tujuan pembelajaran pengekodan, produk ini sangat berbaloi untuk dimiliki bagi menyemarakkan lagi pembudayaan STEM dalam kalangan pelajar.
Layari laman web Cybertech Malaysia |
Comments
Post a Comment