Junior Innovation Lab kepada Pelajar Tingkatan 3

Pada 26 dan 27 Oktober 2021, bengkel inovasi yang dikenali sebagai Junior Innovation Lab (JIL) telah diadakan khusus untuk pelajar Tingkatan 3, MRSM Balik Pulau. Bengkel ini dianjurkan oleh Bahagian Inovasi dan Teknologi Kreatif MARA (BITK). 

Penganjuran JIL kali ini sedikit berbeza daripada sebelumnya kerana dianjurkan sepenuhnya secara dalam talian. Pada tahun sebelum ini, siri JIL dianjurkan di peringkat kebangsaan mengikut pembahagian zon. Setiap MRSM ketika itu menghantar wakil peserta dan berkumpul di salah sebuah MRSM yang menjadi tuan rumah dan dilaksanakan secara fizikal selama 2 hari 1 malam.

Pada siri kali ini, ia dilaksanakan di peringkat pusat masing-masing dengan penyertaan oleh para pelajar pusat tersebut dan dikendalikan sepenuhnya secara dalam talian. Kursus dikendalikan sendiri oleh tenaga dalaman pusat yang ditauliahkan sebagai Jurulatih Inovasi MARA atau para pegawai yang telah mengikuti beberapa siri latihan dan kursus inovasi anjuran MARA. Modul pelaksanaan disediakan oleh pihak BITK. 

Pandemik yang melanda tidak membantutkan usaha MARA untuk menyebarluaskan lagi ilmu inovasi dalam kalangan warganya malah diteruskan lagi dengan kaedah yang lebih unik dengan sedikit pengubahsuaian pada pelaksanaan modul asas inovasi seperti Design Thinking dan Business Model Canvas. Pada edisi kali ini juga, modul Technology Readiness Level (TRL) atau Tahap Ketersediaan Teknologi diperkenalkan kepada para peserta bagi memantapkan pengetahuan inovasi para pelajar MRSM. 


JIL di MRSM Balik Pulau


JIL di MRSM Balik Pulau dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa School Enrichment Model (SEM) dan Jawatankuasa Pembelajaran Abad Ke-21. Penyelaras Jawatankuasa SEM, Encik Muhammad Shah Hilmi bin Mohd Shamsuddin manakala saya pula Penyelaras bagi Jawatankuasa PAK-21. Kami dilantik oleh pihak BITK sebagai tenaga penceramah bagi bengkel yang berlangsung selama 2 hari ini. Cikgu Hanisah binti Mohamad Dahlan pula mengkoordinasikan program bersama para peserta yang terdiri daripada semua pelajar Tingkatan 3, MRSM Balik Pulau.

Hari Pertama. 


Pada hari pertama, pelajar diperkenalkan dengan konsep asas Design Thinking (DT). Pengetahuan tentang DT akan membolehkan pelajar melaksanakan proses inovasi bermula daripada peringkat idea sehinggalah kepada penghasilan prototaip supaya menjadi lebih sistematik, terarah dan bermanfaat untuk pengkomersialan. Secara ringkasnya, DT adalah satu kaedah pemikiran yang boleh dijadikan alat untuk menyelesaikan masalah dalam pembangunan sesuatu produk inovasi yang telah digunakan secara meluas di seluruh dunia. 

Setelah mengikut sesi pengenalan dan ceramah, para peserta dibahagikan kepada 14 kumpulan kecil melalui fungsi automatik Breakout Room menggunakan platform Microsoft Teams. Penggunaan Breakout Room sangat efisien dalam pelaksanaan bengkel besar yang melibatkan ramai peserta. Para peserta diberikan tugas menyiapkan slides bagi produk inovasi pilihan masing-masing dan membentangkan hasil penyelidikan mereka pada sesi sebelah petang. 

Walaupun diberikan masa selama 2 jam sahaja sebagai persediaan, pelajar dapat menyiapkan pembentangan yang sangat menarik dan penuh informasi. Mereka juga selesa membentang secara dalam talian serta dengan gaya yang bersahaja menunjukkan yang mereka faham dengan ilmu Design Thinking yang baru mereka pelajari. Antara produk inovasi yang dipilih oleh kumpulan pelajar adalah Food Panda, Panel Solar, i-Phone 13, Biometrick Door Lock, Harmony Os, Kamera DJI  Ronin 4D dan lain-lain lagi. Produk pilihan masing-masing dijadikan sebagai nama kumpulan.

Encik Shah Hilmi bertindak sebagai tenaga penceramah dan melatih para peserta pada hari pertama program khusus kepada topik Design Thinking. Encik Zulkifli Abdul Rahim, Ketua Jabatan Sains, MRSM Balik Pulau dan saya sendiri sebagai juri bagi menilai dan menitipkan komen kepada pembentangan pelajar. 


Hari Kedua

Sesi Business Model Canvas (BMC)


Hari kedua dimulakan dengan pembentangan 4 buah kumpulan yang tidak sempat membentang pada hari pertama. Setelah sesi pembentangan, komen dan pemarkahan juri selesai, program diteruskan dengan sesi pengenalan kepada Business Model Canvas (BMC). Secara ringkasnya BMC adalah satu kanvas satu kanvas pelbagai guna dengan susunan 9 buah segmen atau building block yang diasaskan oleh Alexander Osterwalder yang boleh digunakan untuk merancang, menilai atau membina satu-satu perniagaan.  

Ia juga boleh digunakan sebagai medium bagi mengenalpasti kekuatan dan kelemahan sesuatu perniagaan sama ada ketika ia belum dijalankan, semasa atau selepas. Ia nampak ringkas, tetapi penuh kekuatan serta boleh dijadikan sebagai senjata rahsia juga dalam melaksanakan proses pitching atau pembentangan perancangan perniagaan. 

Bagi peringkat peserta JIL, pengetahuan tentang BMC membolehkan pelajar mengetahui potensi pengkomersialan produk inovasi mereka dan juga dapat melatih minda keusahawanan sedari awal lagi. Apa yang menarik, BMC juga boleh diubahsuai menjadi satu kanvas yang berguna dalam proses mengurus organisasi bukan bermotifkan perniagaan bergantung kepada kreativiti kita. Para peserta ditunjukkan dengan beberapa video tentang BMC bagi membuka minda dan menambahkan kefahaman mereka.

Selepas mengikuti siri ceramah, mereka dibahagikan kepada kumpulan yang sama seperti semalam dalam Breakout Room tetapi kali ini mereka berkolaboratif menyiapkan BMC produk masing-masing dalam satu platform yang sama. 

Untuk sesi perbincangan kumpulan ini, kami menggunakan fungsi SHARE dalam Microsoft Power Point Office 365 dengan berkongsi kepada para peserta satu pautan, kemudian semua peserta dapat mengedit dan bekerja dalam satu slide pembentangan dalam masa yang sama. Masa perbincangan diberikan selama kira-kira 80 minit. 

Pada akhir sesi, kumpulan peserta dapat menyiapkan 1 slide pembentangan lengkap yang mengandungi 14 jenis BMC yang berbeza. Penceramah memberikan komen kepada hasil kerja mereka dan mencadangkan penambahbaikan. Daripada pengamatan kami, para pelajar secara umumnya daapat memahami dengan jelas fungsi asas BMC dan juga dapat membuat hubungkait di antara DT dan BMC. 


Sesi Pitching Deck


Setelah sesi BMC, pelajar didedahkan pula dengan teknik pembentangan yang dinamakan Pitching Deck. Video pitching seorang pelajar sekolah seusia mereka dari rancangan terkenal Shark Tank ditayangkan kepada mereka sebagai pengenalan dan inspirasi bahawa ilmu berkaitan inovasi dan perniagaan ini sangat sesuai diterapkan semenjak di alam persekolahan lagi. Pelbagai tips dan maklumat tentang pitching dikongsikan dalam sesi ini. 

Sesi Technology Readiness Level (TRL)


Untuk sesi penutup, para peserta didedahkan pula dengan ilmu tentang Technology Readiness Level (TRL). TRL adalah satu medium atau prosedur yang boleh digunakan untuk menilai tahap ketersediaan teknologi bagi satu-satu produk inovasi. Ia diperkenalkan dan diamalkan oleh pihak NASA dalam membangunkan inovasi mereka. Pada masa kini, TRL telah digunakan di seluruh dunia dalam pelbagai bidang termasuk di Malaysia oleh banyak organisasi termasuk SIRIM, Technology Park Malaysia dan lain-lain. 

Pengetahuan tentang TRL dapat menjadi panduan kepada kita tentang bagaimana melaksanakan kerja-kerja inovasi dengan lebih sistematik. Ia juga menjadikan halatuju inovasi kita lebih jelas dengan sudut pandang yang lebih luas tentang tujuan sebenar berinovasi, iaitu mampu memberikan manfaat besar kepada khalayak sehingga mampu dikomersialkan. Jadi, selepas ini tidaklah kita menghasilkan sesuatu inovasi sekadar melengkapkan tugasan sekolah atau organisasi juga bukan semata-mata kerana hobi atau memenuhi masa lapang. 


Ucapan terima kasih


Pihak kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Bahagian Inovasi dan Teknologi Kreatif MARA (BITK) atas penganjuran dan kepercayaan kepada kami sebagai tenaga jurulatih dalam program ini. Begitu juga kepada pihak pentadbiran MRSM Balik Pulau yang menyokong usaha dan menjadikan program ini berjalan lancar. 

Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat Jurulatih Inovasi MARA yang sudi berkongsi idea dan bahan tentang pelaksanaan lab inovasi di pusat masing-masing. Tahniah dan syabas terutamanya kepada para peserta yang memberikan komitmen penuh dan sangat responsif sepanjang dua hari program dijalankan. Semoga ia bermanfaat dalam memacu daya inovasi yang lebih cemerlang kepada mereka. 

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada guru kami, Coach Ts. Megat Zainurul Anuar Megat Johari dari Skywiki Consulting yang memperkenalkan, banyak membimbing dan tidak pernah berkira dalam perkongsian ilmu berkaitan inovasi kepada warga MARA dan Jurulatih Inovasi MARA khasnya. Terima kasih kepada Coach Khairul Anwar dari DT LEADERSHIP, Prof. Madya Dr. Muhammad Herman bin Jamaluddin dari UTEM atas bimbingan mereka, juga kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. 

Comments

  1. tahniah team jurulatih semua!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih Dr Maryam atas sokongan..mohon tunjuk ajar juga kpd kami yg junior ni😁

      Delete

Post a Comment