Ceramah Teknik Belajar Pendidikan Islam Modul Gaya Pro


Pada hari Sabtu, 15 Januari 2022 baru-baru ini saya telah dijemput untuk berkongsi tentang kaedah belajar Pendidikan Islam di MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak kepada pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM 2021 sedikit masa lagi. 

Program Parallel, Kertas 1 Pendidikan Islam ini memfokuskan kepada topik Sirah dan Tamadun Islam iaitu antara topik yang dikatakan sukar oleh pelajar dalam mempelajari subjek ini. Dengan masa lebih kurang 40 hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya SPM, saya berkongsikan tentang satu kaedah yang diberi nama Membina Nota Gaya Pro. Kaedah ini saya susun khusus untuk topik Sirah dan Tamadun Islam serta Topik Fiqah bagi SPM KSSM.



Kaedah Gaya Pro ini mengambil inspirasi daripada pelbagai kaedah daripada pelbagai sumber. Misalnya, kaedah perbandingan saya gunakan paksi X dan paksi Y daripada subjek matematik, kaedah computational thinking juga digunakan dengan menerapkan kaedah abstraction dan pattern recognition. Selain itu juga, kaedah perfileman seperti inspired by the true story juga diterapkan bagi menarik minat dan memudahkan pembelajaran topik sirah dan tamadun Islam. Kaedah Mnemonik iaitu peringkasan abjad atau meringkaskan fakta kepada abjad banyak digunakan dalam bidang Fiqah.

Pembelajaran tentang kaedah menulis nota ini sangat penting dalam mempersiapkan pelajar dengan pembelajaran kendiri. Dalam PAK-21. pembelajaran kendiri atau self-learning adalah salah satu elemen paling utama yang perlu diterapkan kepada pelajar. Dengan mengetahui kaedah membuat nota yang betul, pelajar lebih mudah belajar sesuatu topik yang susah walaupun perlu belajar sendiri. Sebab itu, kaedah ini disusun khas bagi memastikan pelajar menguasai kemahiran kendiri. Kaedah ini juga sesuai digunakan dalam apa juga jenis mata pelajaran.

Program ini melibatkan hampir 150 orang pelajar. Mereka dibahagikan kepada 4 kumpulan besar dan setiap kumpulan diberikan masa selama 2 jam untuk mempelajari teknik ini. Program yang dinamakan parallel ini melibatkan 4 mata pelajaran sehari dan pelajar dilatih oleh 4 orang penceramah daripada 4 subjek berbeza bermula pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Program ini walaupun sangat padat, tetapi pada saya ia mendatangkan kebaikan kepada pelajar kerana pelajar diberikan 'roh' untuk menghadapi peperiksaan dan sedikit tekanan untuk ke hadapan dengan SPM yang tinggal sedikit masa sahaja lagi. Saya dikhabarkan, pada keesokan harinya juga pelajar akan menghadiri bengkel yang serupa macam hari ini juga tetapi dalam 4 subjek yang berbeza pula.

Dalam bengkel ini, kami hanya memfokuskan kepada topik Sirah sahaja tetapi meliputi semua topik Tingkatan 4 dan 5. Pengendalian bengkel begitu lancar sekali kerana para pelajar telah dibekalkan terlebih dahulu dengan bahan dan disempurnakan bersama-sama ketika sesi berlangsung. Para peserta juga sangat aktif melibatkan diri dengan aktiviti yang dijalankan. Antara aktiviti yang dibuat adalah Aktiviti Siapa Menang, Aktiviti Khalifah 'Hidup' Kembali dan Aktiviti Penglipur Lara. Semua aktiviti ini melibatkan para pelajar sebagai teraju utama dan dilaksanakan bagi mengukuhkan lagi kefahaman terhadap topik sirah.

Kesimpulannya, teknik belajar Pendidikan Islam menggunakan Modul Membina Nota Gaya Pro penting bagi menyediakan pelajar dengan kemahiran belajar secara kendiri (self-learning). Kemahiran yang penting dalam era PAK-21 ini boleh diterapkan bukan sahaja dalam subjek Pendidikan Islam tetapi dapat digunakan dalam pelbagai subjek lain seperti Sejarah, Geografi, Bahasa dan lain-lain. Sempena tahun 2022 ini, saya berazam dan berhasrat untuk menyebarluaskan kaedah ini kepada seberapa ramai pelajar dan guru serta berharap untuk bekerjasama dengan mana-mana indivitu atau organisasi. Saya juga sedia menerima sebarang komen penambahbaikan daripada sesiapa sahaja bagi mencari kaedah terbaik  untuk membangunkan kemahiran para pelajar khususnya. 


Comments